Semalam kecoh di Facebook berkenaan dengan "Broker Numismatik" yang terperangkap dengan mainan sendiri apabila beliau menjual barang-barang numismatik milik orang lain, pembelinya kemudian cuba untuk menjual semula barang-barang tersebut kepada penjual asal. Harga yang ditawarkan kepada pemilik asal tersebut sekali ganda daripada harga asal yang ditawarkan.
Ini bukanlah kes yang pertama melibatkan "Broker Numismatik" tak bertauliah dan tidak beretika sebegini. Beberapa tahun dahulu, mereka ini hanya menjadi broker kepada penjual kedai duit lama. Kini ianya sudah menjadi satu kerjaya "mudah" buat orang-orang muda yang tidak mempunyai modal untuk berniaga.
Didalam numismatik, mereka ini pada kebiasaannya tidak mempunyai barangan numismatik yang di iklankan. Modal mereka hanya kepada air liur (kata-kata) dan adakalanya hanya gambar daripada tuan punya barang. Ada juga yang menjual syiling peringatan yang akan dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia didalam masa terdekat.
Ada yang memanggil mereka sebagai Broker dan ada juga yang memanggil mereka sebagai orang tengah atau perantara.
Jika mereka bukan beragama Islam, saya berpendapat tidak mengapa buat mereka melakukan pekerjaan yang sedemikian selagi mereka tidak melakukan sebarang penipuan. Namun, kepada mereka yang beragama Islam, adakah mereka ini pernah terfikir mengambil untung atas angin atau broker numismatik ini, adakah ianya dibolehkan di dalam Islam?
Saya bukannya seorang pakar agama dan bukan bertujuan untuk membincangkan mengenai isu agama didalam blog ini. Namun, untuk membincangkan mengenai numismatik, kita tidak boleh lari dari membincangkan mengenai isu agama Islam kerana kebanyakkan dari pengemar numismatik adalah orang Islam.
Berikut adalah pendapat Ustaz Wan Jemizan W Deraman:
UNTUNG atas angin adalah istilah yang sudah difahami dalam masyarakat di Malaysia. Ia biasanya dikaitkan dengan sebarang aktiviti yang dilakukan oleh individu dalam urusniaga yang menyebabkannya memperolehi keuntungan tanpa melalui usaha ataupun modal.
Ia biasanya dilakukan oleh mereka yang menjadi perantaraan sesuatu urusan atau lebih dikenali sebagai 'orang tengah'.
Keuntungan yang diperolehi itu disebut dengan pelbagai istilah seperti imbuhan, insentif, komisen dan sebagainya. Sama ada ia dibolehkan dalam sudut syariah bukan sahaja bergantung kepada konotasi, tetapi juga metodologi yang digunakan bagi memperolehinya.
Kita semua perlu berhati-hati kerana pada kebiasaannya aktiviti mengambil untung atas angin mempunyai unsur syubhat bahkan ada yang mencapai tahap haram.
Namun, ada juga yang dibenarkan dan diharuskan jika ia mengikuti syarat dan etika yang ditetapkan oleh syariah.
Untung atas angin mungkin boleh berlaku dengan beberapa cara. Antaranya, dengan menjadi wakil atau orang tengah bagi membuat pembelian sesuatu barang yang terdapat di pasaran.
Oleh kerana kuantiti barang yang ingin dibeli itu banyak, maka penjual akan memberi diskaun terhadap setiap unit yang dibeli. Wakil akan mendapat habuannya melalui diskaun yang diberikan kerana dia tetap mencatatkan harga asal pada sebut harga barangan berkenaan.
Halal atau tidak keuntungan yang diperolehi itu bergantung kepada keizinan oleh pihak pembeli atau pihak pewakil.
Sekiranya wakil diberi hak oleh pewakil untuk mengambil keuntungan daripada diskaun yang diberikan, maka apa yang diambilnya itu adalah halal daripada segi syarak.
Namun, sekiranya dia tidak diberi kebenaran, maka tidak harus baginya untuk mengambil keuntungan dan sekiranya ada diskaun, ia perlu dipulangkan semula kepada pembeli.
Sumber: Utusan
Untung atas angin didalam numismatik kini sudah betul-betul ambil untung. Selain daripada harga yang sekali ganda daripada harga yang ditawarkan oleh penjual asal. Para "Broker" ini juga sudah boleh menjalankan perniagaan mereka dengan hanya melihat komputer. Modus Operandi mereka amat mudah, cari barang yang menjadi minat pembeli dan kemudian jual pada harga yang boleh memberi keuntungan kepada mereka.
Mereka tidak perlu pun bersusah payah untuk pergi membungkus atau membuat penghantaran pos, pemilik asal barangan tersebut akan diminta untuk melakukannya.
Jika mereka mendapat keizinan daripada penjual yang asal, rasanya tidak ada sesiapa yang akan pertikaikan mereka. Namun, kebanyakkan "Broker Numismatik" ini tidak mendapat keizinan untuk membuat jualan semula.
Daripada pemerhatian saya juga, apabila akaun Facebook "Broker Numismatik" telah tercemar (ada pembeli yang membuat aduan dengan rakaan-rakan numismatik etc), mereka pada kebiasaannya akan membuat akaun Facebook yang baru.
Perkara sebegini tidak sewajarnya berlaku didalam numismatik kerana pada pendapat saya, ianya adalah perkara yang tidak sihat. Kemungkinan untuk penipuan adalah sangat tinggi.
Namun, jika tidak ada permintaan, maka tidak adalah penawaran. Jika tidak ada sokongan daripada pengemar numismatik, tidak adalah "broker" didalam numismatik.