Sabtu, 4 Oktober 2014

Syiling 50 sen 1969 dilelong RM81,846

Sekeping syiling 50 sen 1969 dilelong RM81,846 (termasuk premium pembeli) didalam satu acara lelongan numismatik oleh Collectibles Auction Asia (CAA) di Singapura pada jam 2.30 petang tadi (4 Oktober 2014). Duit syiling 50 sen 1969 itu adalah duit syiling tanpa sisi sekuriti (Milled Edge) yang telah digred MS65 oleh Syarikat Pengredan dari Amerika Syarikat, Numismatic Guaranty Corporation (NGC). Duit syiling itu adalah daripada koleksi Sifu Numismatik dari Singapaura, Mr. Wong Hon Sum.

50 sen 1969

Gred MS65 adalah gred yang terbaik setakat ini untuk duit syiling 50 sen Milled Edge. Selain syiling ini, ada sekeping sahaja syiling 50 sen 1969 Milled Edge yang mendapat gred MS62, syiling kedua terbaik untuk kategori syiling ini.

Untuk pengetahuan rakan-rakan bukan collector, syiling ini bukanlah seperti syiling 50 sen terbelah untuk tahun 1967, 1968 dan 1969 yang anda ada. Syiling terbelah itu adalah syiling bersisi sekuriti, syiling normal untuk tahun-tahun tersebut. Untuk tahun 1969, Bank Negara Malaysia hanya membenarkan pengeluaran sebanyak 2juta keping syiling sahaja. Daripada 2juta syiling ini hanya ada beberapa keping syiling Milled Edge yang terlepas keluar ke dalam edaran. Anda boleh membaca dengan lebih lanjut mengenai syiling 50 sen 1967, 1968 dan 1969 didalam artikel ini: Information about 50 sen 1967-1968-1969.

Syiling ini juga adalah syiling yang telah digred oleh pihak ketiga dan mendapat markah yang tertinggi setakat ini untuk syiling seperti ini. Oleh itu, adalah sukar untuk mendapatkan syiling yang mempunyai kualiti seperti ini dimasa hadapan.

copper clad steel

Selain itu, syiling 1 sen 1970 Copper Clad Steel yang dilelong didalam acara lelongan tersebut turut mendapat harga penutup yang tinggi pada harga RM46,769 termasuk premium pembeli. Pada masa ini, hanya ada 4 keping syiling 1 sen 1970 Copper Clad steel yang telah direkodkan. Syiling 1 sen 1970 yang normal adalah diperbuat daripada copper berbanding dengan syiling ini daripada copper clad steel yang melekat pada magnet.

Pada ketika ini, syiling 1 sen 1970 berada ditempat yang kedua untuk duit syiling termahal Malaysia, selepas duit syiling 50 sen 1969 Milled Edge di atas.