Selasa, 22 Julai 2014

Masalah menghantar koleksi melalui pos

Masalah menghantar koleksi melalui pos sudah lama di alami oleh para penjual duit lama sejak saya mula menjadi peniaga online pada tahun 2003. Di Facebook hampir setiap hari saya terbaca rakan-rakan yang menceritakan bagaimana mereka memarahi pekerja pos. Ada yang disebabkan oleh kerana sampul mereka dibuka, koleksi didalam sampul surat hilang dan tak kurang juga kerana koleksi rosak ketika sampai ke tangan penerima.

masalah pos

Pos yang saya perkatakan disini adalah perkhidmatan yang disediakan oleh Pos Malaysia. Tidak kiralah perkhidmatan Poslaju, Pos Ekspress ataupun Pos Daftar. Saya hanya memberi tumpuan kepada Pos Malaysia kerana kebanyakkan daripada rakan-rakan semua menggunakannya.

Ramai yang tidak sedar, Syiling dan mata wang (termasuklah matawang asing) adalah termasuk didalam senarai Barangan Larangan Pos. Jika ianya diserahkan untuk penghantaran, akan ditolak penerimaannya atau, jika dikesan dalam perjalanan, ia akan ditahan. Ramai juga yang tahu tentang perkara ini tetapi tidak mengendahkannya.

Oleh yang demikian, Pegawai Pos tersebut berhak untuk membuka dan tidak menghantar barangan anda. Terutamanya kepada rakan-rakan yang masih lagi menggunakan "Pos Ekspress" untuk menghantar barang-barang. Di hadapan sampul pos itu sudah jelas menyatakan ianya adalah hanya untuk dokumen sahaja. Oleh kerana ingin mendapatkan kos yang murah tanpa kita sedari, kita mendedahkan diri sendiri kepada kerugian. Apabila mereka mensyaki ianya bukan dokumen, mereka boleh membuka sampul tersebut. Kemungkinan barang-barang koleksi yang dihantar itu hilang menjadi tinggi apabila kita melakukan kesalahan, membuka peluang kepada "pencuri" untuk melihat apa yang ada didalam sampul. Pekerja pos pun manusia seperti kita juga, ada juga diantara mereka yang tidak jujur. Jadi kita sendiri perlu melihat jika tindakan kita itu akan merugikan kita dimasa hadapan.

Saya adalah pengguna Poslaju untuk menghantar barang-barang pelanggan sejak tahun 2003 lagi, tidak ada satu pun barang-barang saya yang hilang atau rosak (tidak ada pelanggan yang mengadu barang rosak dsb kepada saya). Hanya dua kali sahaja barang saya (bukan syiling atau wang kertas) ditahan oleh pos di Johor Baharu dan juga Kota Kinabalu. Saya dapat menyelesaikannya dengan membuat sedikit panggilan ke nombor-nombor yang berkenaan.

Apa yang penting bagi saya ialah, kita berkawan baik dengan mereka yang menjaga kaunter poslaju serta jika boleh posmen. Apa salahnya belanja mereka makan kerana mereka juga membantu kita didalam perniagaan. Jika ada timbul sebarang masalah, kita boleh meminta bantuan mereka. Mereka hanya menjalankan tugas mereka, mereka berkerja makan gaji. Janganlah memarahi mereka kerana mereka menjalankan tugas mereka.

Jika ada kakitangan Poslaju yang bermasalah, saya akan berpindah ke cawangan Poslaju yang lain untuk mengelakkan barang-barang saya hilang/rosak dsbnya.

Barangan yang hendak dihantar juga hendaklah di bungkus dengan baik. Sebaiknya bungkusan yang kita buat itu tidak membuatkan mereka mensyaki ianya adalah barang berharga.

Walaupun begitu, sememangnya sejak tahun lepas, Poslaju mengalami beberapa masalah dalaman yang secara tidak langsung menjejaskan masa penghantaran mereka kepada pengguna. Awal tahun masalah itu masih lagi ada tetapi saya tidak pasti jika ianya masih lagi berlaku sehingga kini. Saya telah berhenti menjual duit lama sejak bulan Disember 2012 lagi.

Kepada mereka yang ingin belajar bagaimana untuk membuat duit dengan menjual duit lama, boleh baca artikel ni; Cara mudah buat duit tanpa modal.