Jumaat, 25 April 2014

Pasar Karat Jalan Sultan-beroperasi secara haram?

Beberapa hari lepas, Utusan Malaysia ada menyiarkan berita mengenai isu peniaga di salah satu daripada Pasar karat popular di Malaysia, Pasar Karat Jalan Sultan yang masih lagi berniaga walaupun telah diserbu oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada bulan Mac tahun ini didalam Operasi Tegas Siri 3. Didalam operasi itu, barangan 80 peniaga telah disita mengikut Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 di bawah Seksyen 46 (1) (d) serta Akta 3 (1) Undang-Undang Kecil Pelesenan, Penjaja dan Gerai 1989.

Jalan Sultan

Timbalan Penguasa Kanan DBKL, Tanda Usoh berkata, kesemua penjaja di kawasan yang menjual barangan terpakai itu tidak mempunyai sebarang permit serta lesen untuk menjalankan perniagaan.

"Kesemua pesalah dikenakan kompaun sebanyak RM300 dan sekiranya tidak dijelaskan atau peniaga tidak memohon untuk mendapatkan semula barangan yang disita dalam masa tiga bulan, kesemuanya akan dilupus," katanya.

Operasi yang bermula pada pukul 7 pagi hingga 10.30 pagi itu melibatkan 108 pegawai dan anggota DBKL, Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Jabatan Imigresen dan Jabatan Pendaftaran Negara.

"Mereka yang mahu menjaja perlu mematuhi prosedur dan syarat yang ditetapkan supaya bandar raya ini tidak tercemar dengan penjaja haram terutama semasa Tahun Melawat Malaysia 2014," katanya.

Pasar Karat tersebut adalah diantara pasar karat yang popular di Lembah Klang kerana kepelbagaian barangan yang ditawarkan disitu serta harganya yang murah. Isu mengenai ada barang-barang dipasar karat itu sebagai barang curi tidak menghalang pembeli dari terus mengunjungi pasar karat terbabit. Pasar karat itu sudah berusia lebih kurang 10 tahun dan ianya dibuka setiap hari seawal jam 4.30 pagi dan biasanya aktiviti jualan berakhir pada jam 8.00 pagi. Hari Sabtu dan Ahad adalah hari paling ramai pembeli dan penjual yang datang berkunjung ke pasar karat tersebut.

Saya memang tidak tahu pasar karat ini beroperasi secara haram tetapi saya pernah melihat kakitangan DBKL datang pada jam 8 pagi, kesemua peniaga disana beransur-ansur bersurai.

Saya juga tidak pasti jika ada peniaga dikawasan itu yang mempunyai permit atau lesen. Saya juga tidak pasti jika ada usaha daripada DBKL sebelum ini untuk memastikan peniaga disana mempunyai lesen atau tidak.

Pada pendapat saya, adalah lebih baik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menghalalkan kawasan pasar karat tersebut dengan mempunyai rekod peniaga yang menjalankan aktiviti ditempat tersebut. DBKL boleh mendapat hasil dan juga peniaga boleh terus menjalankan perniagaan mereka.

Beberapa kali kunjungan saya ke sana, pasar karat itu turut dikunjungi oleh pelancong asing. Bermakna Pasar Karat Jalan Sultan turut boleh dijadikan sebagai tarikan kepada pelancong sempena tahun melawat Malaysia 2014.

Pasar karat itu dibuka jam 4.30 pagi dan ditutup sebaik sahaja Kuala Lumpur mula sibuk atau kedai dikawasan itu mula dibuka bermula dalam jam 8.00 pagi. Pada pendapat saya, mereka tidak menganggu peniaga yang mempunyai kedai dikawasan tersebut, malahan membawa pelanggan ke kawasan tersebut.

Bagi saya, Pasar Karat Jalan Sultan adalah unik kerana dibuka pada awal pagi berbanding dengan pasar karat yang lain. Selain itu, peniaga disini kebanyakannya menjual barang-barang antik dan collectibles item. Walaupun, ada banyak isu koleksi duit lama tiruan yang dijual di Pasar karat ini.

Apa pendapat anda?

Sumber: Utusan Malaysia