Selasa, 28 Ogos 2012

Huruf GC duit syiling parlimen

Pernahkah anda membelek duit syiling Parlimen? Tak pernah? Jika ketika ini anda mempunyai duit syiling Parlimen Malaysia, cuba tengok apa yang ada di bawah bangunan parlimen itu. Anda mesti akan terjumpa dengan huruf GC. Kepada yang tidak menjumpainya, anda mungkin memerlukan kanta pembesar atau syiling anda itu adalah duit error, ketika syiling ditempa, die pada huruf GC tersumbat. Jika anda tidak tahu kedudukan sebenar huruf yang saya maksudkan tadi, anda boleh lihat gambar yang saya sertakan bersama. Kesemua duit syiling parlimen sepatutnya mempunyai Initial GC ini, jadi jika anda bertanyakan berkenaan harga. Ianya sama harga dengan duit syiling parlimen yang lain. Apakah maksud huruf GC pada duit syiling parlimen?

Huruf GC

Ukiran huruf GC pada belakang duit syiling parlimen tersebut adalah initial untuk Geoffrey Colley, pereka duit syiling pertama Malaysia. Ada orang yang mengatakan bahawa ianya adalah "mint mark" tetapi sebenarnya ia hanyalah initial atau tanda ukiran perekanya. Ada penjual duit lama yang mungkin menjual syiling parlimen tanpa mint mark ini dengan harga yang tinggi sedikit. Pada pendapat saya, harga syiling tanpa initial GC ini sepatutnya tidaklah terlalu jauh berbeza dengan yang ada GC. Terpulang kepada anda untuk menilainya. Apa-apa halpun, harga sesuatu syiling itu bergantung kepada persetujuan penjual dan pembeli. Harga di buku hanyalah panduan kepada kita didalam urusan jual beli.

Geoffrey Colley dilahirkan di Gillenham, United Kingdom pada tahun 1934. Beliau telah banyak menghasilkan rekabentuk untuk duit syiling terutamanya ditahun 1970an. Selain duit parlimen Malaysia, beliau juga ada menghasilkan rekabentuk untuk syiling Bahrain, Iceland, Iraq, Nigeria, Rwanda, Trinidad & Tobago dan United Arab Emirates. Pada tahun 1960 beliau telah dipilih untuk menjadi ahli Persatuan Diraja Pengukir Bersatu British dan menjadi Fellow persatuan itu pada tahun 1970. Anda boleh membaca dengan lebih lanjut mengenai beliau dan melihat gambar-gambar beliau di blog saya; Malaysia 1st series coin designer.

Read More

Isnin, 27 Ogos 2012

Logo baru 55 tahun Merdeka?

Setelah ramai yang memprotes logo 55 tahun Merdeka-Janji ditepati sebelum ini. Dikatakan muncul logo baru 55 tahun merdeka yang boleh dilihat disekitar Kuala Lumpur pada ketika ini. Saya cuba mendapatkan pencerahan melalui laman web-laman web rasmi kerajaan berkenaan logo ini. Namun, kebanyakan web rasmi kerajaan yang sepatutnya memaparkan logo merdeka tidak ada memaparkan logo ini termasuklah web Kementerian Penerangan dan Portal Merdeka. Kebanyakan web kerajaan telah tidak lagi memaparkan logo buruk yang hangat dibincangkan sebelum orang ramai menyambut Aidilfitri baru-baru ini.

Jika dibaca melalui kenyataan akhbar, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim pada 29 Julai 2012, beliau menjelaskan tiada logo rasmi digunakan bagi sambutan Hari Kemerdekaan ke-55 tahun ini, melainkan logo 1Malaysia sepertimana sambutan pada tahun lepas.

"Bahan hiasan (artwork) yang dipaparkan oleh sesetengah pihak setakat ini hanyalah paparan selingan bukan logo rasmi,"
Sumber: Bernama.

Jika logo yang lama itu bukan logo rasmi merdeka, kenapakah ianya dipaparkan di Portal Merdeka dan juga di laman web Kementerian Penerangan sendiri sebelum ini? Rasanya Kementerian Penerangan tidak patut terlalu defensive dan tidak mahu mengakui kesalahan yang telah dilakukan. Rasanya rakyat Malaysia boleh menerima permohonan maaf berbanding kenyataan rasmi yang kedengarannya seperti "baling batu sembunyi tangan". Jika ini adalah logo rasmi merdeka, sewajarnya Kementerian yang berkaitan atau Perdana Menteri sendiri mengumumkannya kepada umum. Bukankah kerajaan mengalakkan orang ramai untuk memasang bendera menyambut kemerdekaan? Jika kerajaan sendiri tidak jelas dengan logo yang ingin digunakan, rasanya rakyat juga kurang jelas jika sambutan Merdeka kali ini perlu disambut dengan semangat cintakan negara.

55 tahun merdeka

Slogan "Janji Ditepati"
Mengikut kenyataan akhbar Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim pada 19 Julai 2012, beliau berkata bukan satu kesalahan untuk menggunakan slogan 'Janji Ditepati' sebagai tema sambutan Hari Kemerdekaan ke-55 kerana ia sememangnya mencerminkan komitmen kerajaan menunaikan janji-janjinya.

Beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dengan gagasan 1Malaysia umpamanya telah menunaikan janji-janjinya melalui proses transformasi seperti Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dan Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA).
Sumber: Bernama.

Saya tetap dengan pendirian, Tema Kemerdekaan sewajarnya perlu lari daripada perkataan yang bermotifkan politik kerana sambutan kemerdekaan itu adalah untuk rakyat dan bukannya kerajaan. Sambutan Kemerdekaan sepatutnya menyemarakkan semangat patriotik cintakan negara bukannya semangat cintakan kerajaan yang sedia ada. Apabila sambutan kemerdekaan telah lari daripada matlamat asalnya (menyemai semangat patriotik), ramai rakyat yang akan mula tidak turut serta menyambut hari merdeka. Apa-apa hal pun, itu hal politik, saya bukan ahli mana-mana pertubuhan politik. Saya cuma mengutarakan pendapat dan ketidakpuasan hati terhadap tema merdeka yang semakin hari semakin lari dari matlamatnya.

Syiling 55 tahun Merdeka
Saya mendengar khabar angin yang bertiup perlahan, syiling peringatan Hari Kemerdekaan ke-55 tahun tidak akan dikeluarkan kerana logo yang lama itu? Rasanya jika khabar angin ini betul, bertambah lagi syiling peringatan yang tidak jadi dikeluarkan selepas RMK10 dengan gambar PM Najib dulu. Ini hanya khabar angin sahaja tetapi jika angin tak bertiup, masakan pokok boleh bergoyang kan? Tapi di dunia serba maju ini, macam2 cara boleh digunakan untuk mengoyangkan pokok? Kita sebagai pengumpul duit lama, tunggu dan lihat sajalah, kumpul apa yang ada, simpan apa yang menarik pada pandangan mata.

UPDATE 28 Ogos 2012:
Saya melihat di TV semalam ada bermacam-macam logo yang digunakan, bergantung kepada iklan itu daripada siapa. Apabila saya membuat carian di internet, logo ini adalah sebenarnya hasil nukilan saudara Rizuani Yahya dan bukanlah logo rasmi merdeka. Iklan yang berkaitan Kementerian Penerangan hanya menggunakan logo 1 Malaysia dengan tulisan moto "Janji ditepati". Harap Maklum.
Read More

Khamis, 23 Ogos 2012

Duit Syiling lama Malaysia

Malaysia mempunyai banyak duit syiling lama yang digunakan sejak zaman kesultanan melayu lama, penjajahan british sehinggalah kita merdeka. Ada diantaranya mempunyai nilai yang tinggi kerana agak sukar ditemui dan ada diantaranya mempunyai harga yang murah walaupun sudah berusia lebih 100 tahun. Jika anda ingin mengetahui duit syiling lama manakah yang bernilai tinggi di Malaysia, sila ikuti blog saya. Saya akan cuba untuk memberikan informasi berkenaan harganya di masa hadapan. Cuma perlu mengambil masa untuk menulis artikel yang berkenaan. Namun, sebaiknya anda perlu ada sebuah buku rujukan, sama ada daripada Steven Tan atau KN Boon. Ini untuk memudahkan anda mempelajari tentang duit yang pernah digunakan di Malaysia. Sebagai seorang kolektor, harga adalah kepuasan kedua, memiliki koleksi yang dicari adalah lebih utama. Senarai duit syiling lama Malaysia yang saya tulis disini adalah berdasarkan kepada apa yang dicari oleh pembaca, ada banyak lagi duit lama di luar sana yang tidak dimasukkan di dalam artikel ini.

Syiling lama

Duit Syiling lama Malaysia:

Pillar dollar-Vtraque Vnum-(1732-1773)
Pillar dollar
Ramai daripada bukan kolektor yang mempunyai syiling ini mengelarnya sebagai duit syiling "Vtraque Vnum" kerana tulisan di belakangnya. Perkataan "Vtraque Vnum" membawa maksud dunia lama dan baru, kedua-duanya menjadi satu. Pada bahagian hadapannya tertera D G HISPAN ET IND REX yang bermaksud "Dengan rahmat tuhan, Raja Sepanyol dan Hindia Barat". Dikalangan pengumpul duit lama, ianya lebih dikenali sebagai "pillar dollar" kerana dua tiang "Pillars of Hercules" pada bahagian belakang syiling tersebut. Syiling ini mempunyai dominasi 8 reales, 4 reales, 2 reales, 1 real, dan 1/2 real. Namun, kebiasaanya di tanah melayu, kita akan menemui 8 reales. Cara mudah untuk mengetahui jika anda memiliki syiling yang tulen ialah melihat sisinya, jika ia mempunyai rekabentuk daun laurel yang berulang-ulang, ianya adalah tulen. Sesuatu yang sukar untuk ditiru. Syiling ini diperbuat daripada perak.

B.Balemark series-Prince of Wales-VEIC-(1786-1828)
VEIC coin
Syiling ini mempunyai lambang yang tertulis VEIC di muka depannya, lambang Syarikat Hindia Timur British. VEIC bermaksud "Vnited East India Company" atau Syarikat Hindia Timur British. Syiling ini mula digunakan di Pulau Pinang dalam tahun 1887 yang dibawa masuk oleh Sir Francis Light. Pada Bahagian belakang duit syiling ini tertera tulisan arab "Perrinsa Jezirah ab-Wailis" yang bermaksud "Prince of Wales Island". Tulisan juga berbeza-beza mengikut denominasi syiling tersebut. Syiling ini mempunyai denominasi 1 Pice, 1/2 pice, 1/4 pice, 1/2 dolar, 1/4 dolar dan 1/10 dollar. Syiling ini diperbuat daripada tembaga (pice) dan juga daripada perak (dolar) dan ditempa di Calcutta, India dan Royal Mint, London. Syiling yang mengunakan lambang balemark VEIC yang serupa juga digunakan di Sumatra dengan tulisan yang berbeza dibelakangnya, biasanya tulisan jawi "keping".

Coat of Arm Series-Prince of Wales-(1786-1828)
Prince of Wales
Syiling ini mempunyai lambang jata Syarikat Hindia Timur British dihadapannya, dua ekor singa dengan tulisan "AUSPICIO REGIS ET SENATUS ANGLIAE" yang bermaksud Dengan Perintah Raja dan Parlimen England. Dibelakangnya kelihatan gelungan bunga lily dengan tulisan jawi ditengahnya yang membawa maksud "Pulau Pinang". Syiling ini mempunyai denominasi 2 pice, 1 pice dan 1/2 pice. Ianya di perbuat daripada tembaga dan ditempa di Madras Mint dan juga Royal Mint.

Sarawak White Rajah-Brooke (1841-1946)
Rajah Brooke
Keluarga Brooke mula memerintah Sarawak apabila Sir James Brooke diberikan sebidang tanah yang luas selepas beliau membantu Sultan Brunei menghalang pemberontakan pada tahun 1840 di Sarawak. Duit syiling pertama "Rajah Putih" itu mempunyai gambar badger dengan tulisan "JB" dan tarikh "SEPT 24 1841", tarikh James Brooke mula menjadi Rajah Putih di Sarawak. Syiling-syiling lain selepas dari itu tertera gambar "Rajah Putih". Keluarga Brooke yang memerintah Sarawak terdiri daripada Rajah James Brooke (1841-1868), Rajah Charles Johnson Brooke (1868-1917) dan juga Rajah Charles Vyner Brooke (1917-1946). Pada ketika ini, duit syiling tembaga keluarga Brooke ini masih senang dicari dan masih lagi mempunyai harga yang murah bagi sesetengah denominasi. Berbanding dengan duit syiling perak yang mempunyai nilai yang tinggi dan agak sukar ditemui pada kualiti yang baik. Untuk harga dan nilai terkini, anda boleh membacanya disini: White Rajahs of Sarawak coins.

British North Borneo (1885-1946)
Pergo Et Perago
Borneo Utara adalah naungan British di bawah Syarikat Berpiagam Borneo Utara (North Borneo Chartered Company). Ianya terletak di hujung timur laut Pulau Borneo, Sabah. Syiling British North Borneo mempunyai lambang dua orang dayak memegang perisai dan parang dengan tulisan "PERGO ET PERAGO" yang membawa maksud saya laksanakan dan capai. Syiling ini mempunyai denominasi ½ cent, 1 cent, 2½ cents, 5 cents dan 25 cents. Syiling 25 cents 1929H sahaja yang diperbuat daripada perak dan mempunyai nilai yang agak tinggi berbanding syiling lain. Untuk harga dan nilai terkini, anda boleh membacanya disini: British North Borneo coins.

Straits Settlements
Syiling ini mula digunakan di negeri-negeri selat (Straits Settlements) pada tahun 1886. Negeri-negeri Selat ditubuhkan pada tahun 1826 sebagai sebahagian daripada tanah jajahan British East India Company. Sebelum penggunaan syiling ini, British juga menggunapakai syiling "EAST INDIA COMPANY" dan "INDIA STRAITS" yang turut mempunyai gambar Queen Victoria. Negara-negara selat terdiri daripada Melaka, Dinding (Perak), Penang (Prince of Wales Island) dan juga Singapore.

i. Queen Victoria (1886-1901)
Queen Victoria
Syiling ini mempunyai denominasi ¼ cent ½ cent, 1 cent, 5 cents, 10 cents, 20 cents dan 50 cents. Syiling yang bernilai 1 cent ke bawah diperbuat daripada tembaga (copper) dan 5 cents ke atas diperbuat daripada perak. Syiling-syiling ini ditempa di Royal Mint, UK. Untuk harga & nilai terkini, anda boleh membacanya di: Straits Settlements Queen Victoria Coins.

ii. King Edward VII (1901-1910)
King Edward VII
Syiling ini mempunyai denominasi ¼ cent ½ cent, 1 cent, 5 cents, 10 cents, 20 cents, 50 cents dan 1 dollar. Syiling yang bernilai 1 cent ke bawah diperbuat daripada gangsa (bronze) dan 5 cents ke atas diperbuat daripada perak. Syiling-syiling ini ditempa di Royal Mint, UK. Untuk harga & nilai terkini, anda boleh membacanya di: Straits Settlements King Edward VII Coins.

iii. King George V (1910-1936)
King George V
Syiling ini mempunyai denominasi ¼ cent ½ cent, 1 cent, 5 cents, 10 cents, 20 cents, 50 cents dan 1 dollar. Syiling yang bernilai 1 cent ke bawah diperbuat daripada gangsa (bronze) dan 5 cents ke atas diperbuat daripada perak. Ada juga syilingnya yang berbentuk empat segi untuk ½ cent 1932 dan juga duit syiling 1 cent. Begitu juga dengan duit syiling 5 cents tahun 1920, ada yang diperbuat daripada copper-nickel. Syiling-syiling ini ditempa di Royal Mint, UK. Untuk harga & nilai terkini, anda boleh membacanya di: Straits Settlements King George V Coins.

British Trade Dollar (1895-1934)
Trade Dollar
Pada bahagian hadapan syiling ini menggambarkan Britannia berdiri di pantai, memegang tombak trident dan satu lagi tangannya memegang perisai British, dibahagian belakangnya kelihatan kapal perdagangan belayar. Pada bahagian belakangnya kelihatan reka bentuk arabesque dengan tulisan Cina yang membawa maksud "panjang umur" di tengah-tengah serta nilai denominasi dalam dua bahasa; Cina dan Melayu (jawi). Ianya digunakan sebagai medium perdagangan di Negeri-negeri Selat dan China. Untuk harga & nilai terkini, anda boleh membacanya di: British Trade Dollar Coin price.

British Malaya-King George VI (1936-1952)
King George VI
Lembaga Pesuruhjaya Mata Wang Malaya ditubuhkan pada bulan Oktober 1938 dan mula mengeluarkan mata wang pada tahun 1939. Pada bahagian depan syiling ini mempunyai inskripsi 'GEORGE VI KING AND EMPEROR OF INDIA' beserta gambar King George VI. Pada bahagian belakangnya tertera tulisan 'COMMISSIONERS OF CURRENCY MALAYA' dan nilai denominasi syiling tersebut ditengah. Syiling ini mempunyai denominasi ½ cent, 1 cent, 5 cents, 10 cents, 20 cents, 50 cents dan 1 dollar. Untuk harga & nilai terkini, anda boleh membacanya disini: Malaya & British Borneo King George Vi coins.

Malaya & British Borneo-Queen Elizabeth II (1953-1967)
Queen Elizabeth II
Syiling ini digunakan di Malaya, Singapura, Sarawak, Borneo Utara British dan Brunei dari tahun 1953 sehingga 1967. Mata wang itu telah dikeluarkan oleh Lembaga Pesuruhjaya Mata Wang Malaya dan British Borneo. Walaupun Malaysia mula mengeluarkan duit syilingnya sendiri pada 12 June 1967, Syiling Malaya dan British Borneo terus sah sehingga 16 Januari 1969. Untuk harga & nilai terkini, anda boleh membacanya disini; Malaya & British Borneo Queen Elizabeth II coins.

Duit Syiling Parlimen Malaysia (1967-1988)
syiling lama
Siri pertama duit syiling Malaysia hanya mula diperkenalkan pada 12 Jun 1967 dengan nilai 1 sen, 5 sen, 10 sen, 20 sen, 50 sen dan diikuti oleh pengenalan duit syiling 1 ringgit (yang menggunakan simbol "$" duit syiling terbesar dalam siri ini) pada 1 Mei 1971. Duit syiling siri pertama juga dikenali sebagai "siri Parlimen" dikalangan pengumpul duit lama kerana gambar parlimen di belakang syiling tersebut. Anda boleh membaca lebih lanjut mengenainya disini; Duit Syiling Malaysia siri Pertama.

Duit Syiling Bunga Raya Malaysia (1989-2011)
duit siri kedua
Duit Malaysia siri kedua diperkenalkan ke dalam edaran pada 4 September 1989 dengan tradisi Malaysia sabagai ciri-ciri reka bentuk/tema. Beberapa perubahan telah dilakukan termasuk Bunga Raya, bunga kebangsaan Malaysia, di bahagian hadapan dan gambaran item budaya Malaysia di bahagian sebaliknya. Pengumpul duit syiling Malaysia merujuk duit syiling ini sebagai "Siri Bunga Raya". Sebenarnya, Bank Negara Malaysia mengeluarkan ini sebagai "Siri artifak Budaya". Denominasi dikeluarkan adalah 1, 5, 10, 20, 50 sen dan 1 ringgit. Anda boleh membaca lebih lanjut mengenainya disini; Duit Malaysia siri kedua.

PS: Komen untuk artikel ini ditutup, sila ke entri lain untuk komen. TQ

Read More