Thursday, June 7, 2018

Perletakan Jawatan Gabenor BNM suatu kerugian numismatik

Semalam kita dikejutkan dengan berita rasmi mengenai Tan Sri Muhammad Ibrahim meletakkan jawatan sebagai Gabenor Bank Negara Malaysia ke-8. Semalam juga Kabinet menerima tawaran Gabenor Muhammad bin Ibrahim untuk meletakkan jawatan sebagai Gabenor Bank Negara Malaysia.

Gabenor BNM

Dalam kenyataan akhbar BNM semalam, pengumuman mengenai gabenor baharu akan dibuat atas perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Tan Sri Muhammad Ibrahim dilantik menjadi Gabenor Bank Negara pada 1 Mei 2016. Khabar angin mengatakan perletakan jawatan beliau adalah disebabkan oleh isu pembelian tanah oleh BNM daripada pentadbiran terdahulu dan penggunaan hasil jualan untuk membayar balik hutang 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Tan Sri Muhammad Ibrahim yang dilihat lebih mesra numismatik berbanding dengan gabenor Bank Negara Malaysia sebelumnya. Semasa beliau sebagai gabenor, Tokoh-tokoh Numismatik negara turut di undang untuk menghadiri majlis-majlis yang di anjurkan oleh Bank Negara Malaysia, suatu yang tidak pernah dilakukan sebelum ini.

Wang Kertas RM600 telah berjaya memecahkan rekod Buku Guinness sebagai wang kertas terbesar di dunia, suatu pencapaian numismatik yang juga tidak pernah dilakukan oleh mana-mana gabenor BNM sebelum ini. 6,000 keping wang kertas bersaiz 22 cm X 37 cm (8.6 in X 14.5 in) itu adalah wang kertas yang semakin hangat dipasaran sehingga mencecah harga RM6,000 sekeping.

Apa yang pasti, wang kertas bertandatangan Tan Sri Muhammad Ibrahim akan menjadi buruan para collector wang kertas untuk penukaran duit Hari Raya Aidilfitri kali ini. Di masa hadapan, ada kemungkinan harga wang kertas tandatangan beliau akan mencanak naik, akibat daripada kurang dipasaran.

Ada banyak lagi khabar angin mengenai program numismatik dirancang oleh BNM semasa era Tan Sri Muhammad Ibrahim ini tetapi tidak dapat dipastikan sama ada ianya akan diteruskan dengan perlantikan Gabenor Bank Negara yang baru.

Bekas Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus, dikatakan antara calon yang akan menggantikan Gabenor, Tan Sri Muhammad Ibrahim. Datuk Nor Shamsiah meninggalkan bank pusat itu pada November 2016, tujuh bulan selepas Tan Sri Zeti Akhar Aziz mengakhiri tempoh perkhidmatannya sebagai Gabenor pada April tahun itu, bagi menyertai Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

Datuk Nor Shamsiah sudah bekerja di BNM selama 29 tahun dan memainkan peranan penting dalam menyediakan dan mengimplementasi sistem perbankan semasa krisis kewangan Asia dan pembangunan kawal selia serta garis panduan dalam sektor kewangan Malaysia dari 2001 hingga 2010.

Siapa pun yang akan dilantik sebagai Gabenor Bank Negara Malaysia ke-9, kami berharap beliau juga akan mesra numismatik dan meneruskan program numismatik dirancang oleh BNM semasa era Tan Sri Muhammad Ibrahim.

Terima kasih kepada Tan Sri Muhammad Ibrahim....