Khamis, 27 Ogos 2015

Pelancaran Syiling 50 tahun Masjid Negara

Pada 27 Ogos 2015, Yang di-Pertuan Agong Malaysia yang ke-14, Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah merasmikan sambutan Jubli Emas Masjid Negara sekaligus melancarkan syiling peringatan 50 tahun Masjid Negara yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia.

Sultan Abdul Halim

Majlis perasmian itu turut dihadiri oleh Perdana Menteri, Dato' Sri Haji Mohammad Najib bin Tun Haji Abdul Razak dan juga Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Perasmian itu adalah bersempena karnival sambutan ulang tahun ke 50 tahun Masjid Negara yang akan berlangsung selama tiga hari bermula 27 sehingga 29 Ogos ini.

Masjid Negara telah dirasmikan pembukaannya oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Malaysia yang ketiga, Almarhum Tuanku Syed Putra ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail pada 27 Ogos 1965. Pada ketika itu, Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah adalah Timbalan Yang di-Pertuan Agong Malaysia.

50 tahun Masjid Negara

Bahagian hadapan duit syiling peringatan ini memaparkan imej Masjid Negara dan perkataan Masjid Negara dalam tulisan bahasa Jawi. Perkataan JUBLI EMAS MASJID NEGARA dipaparkan pada bahagian atas duit syiling manakala tahun “1965 - 2015” dan landskap Masjid Negara pula dipaparkan di bahagian bawah reka bentuk syiling tersebut.

jubli emas masjid negara

Bahagian belakang duit syiling peringatan ini memaparkan logo perayaan sempena sambutan Jubli Emas Masjid Negara. Perkataan “BANK NEGARA MALAYSIA” pula dipaparkan di bahagian atas duit syiling manakala nilai muka syiling tertera di bahagian bawah reka bentuk duit syiling tersebut.

Spesifikasi duit syiling peringatan:
1. Duit Syiling Peringatan RM100 Emas (peruf)
Nilai Muka: RM100
Logam: 99.99 emas
Berat: 7.96 gram
Tempaan: 200 Keping
Harga Jualan: RM1,800

2. Duit Syiling Peringatan RM10 Perak Berwarna (epruf)
Nilai Muka: RM10
Logam: 99.9 perak
Berat: 31.10 gram
Tempaan: 2,000 Keping
Harga Jualan: RM200

3. Duit Syiling Peringatan RM1 Emas Nordic
Nilai Muka: RM1
Logam: emas Nordic
Berat: 8.5 gram
Tempaan: 25,000 Keping
Harga Jualan: RM10

4. Set 3 dalam 1
Set 3 dalam 1 mengandungi duit syiling emas, perak berwarna dan emas Nordic peruf.
Tempaan: 500 set
Harga Jualan: RM2,100

5. Set 2 dalam 1
Set duit syiling perak berwarna dan emas Nordic peruf.
Tempaan: 2,000 set
Harga Jualan: RM250

Duit syiling peringatan ini ditempa dan diedarkan oleh Bank Negara Malaysia dan akan mula dijual pada 28 Ogos 2015 di Muzium dan Galeri Seni Bank Negara Malaysia (MAG) dan pejabat-pejabat perwakilan dan cawangannya di Pulau Pinang, Johor Bahru, Kuala Terengganu, Kota Kinabalu dan Kuching.