Rabu, 20 Mei 2015

Asam garam Blogger Numismatik di Malaysia

Dituduh sebagai penipu, dimarah kerana tidak menjawab soalan berkenaan harga duit syiling, orang yang tidak dikenali telefon pada jam 2 pagi semata-mata nak tanya harga duit syiling yang dia ada dan juga blog diserang dengan kata-kata lucah adalah pengalaman yang saya pernah hadapi sejak dari tahun 2008 sebagai penulis blog numismatik.

Sebelum anda membaca keseluruhan artikel ini, saya syorkan anda baca dulu artikel ini: Saya menulis bukan untuk menjadi popular (kata-kata didalam artikel tu pedas sikit, jika anda mudah terasa, jangan baca, nanti pengsan lak sorang-sorang baca artikel tu).

Blogger Numismatik

Tujuan saya menulis artikel Asam garam Blogger Numismatik di Malaysia ini adalah untuk menyampaikan luahan rakan-rakan blogger yang masih lagi giat menulis serta mereka yang telah berhenti menulis. "kami" didalam artikel ini bermaksud saya dan rakan-rakan blogger.

Blogger Numismatik (bukan blogger pengumpul/penjual duit lama) di Malaysia tidaklah ramai jika hendak dibandingkan dengan blogger-blogger dari niche yang lain. Kebanyakkan blogger numismatik ini tidak akan aktif apabila mereka sudah mula sibuk dengan pekerjaan hakiki masing-masing. Walaupun, blog numismatik yang wujud ada mencecah sehingga 50 blog tetapi kebanyakkan darinya sudah tidak aktif.

Saya sebagai blogger numismatik cuba untuk mematuhi etika kewartawanan yang betul setiap kali saya menulis artikel didalam blog. Jika sesuatu maklumat itu hanyalah khabar angin, saya akan berterus terang yang ianya hanya khabar angin. Kebanyakkan rakan-rakan blogger numismatik yang dikongsikan oleh saya turut mematuhi etika yang sama, berdasarkan pendapat peribadi saya.

Berapa Harga duit ini?
Soalan "berapakah harga duit ini?" adalah soalan wajib yang datang dari pembaca kepada blogger numismatik seperti saya dan rakan-rakan didalam Top 10 Blogger Numismatik Malaysia.

Itu belum termasuk lagi dengan mereka yang mengiklankan jualan mereka di ruang komen dan juga dimana-mana ruang yang mereka boleh masukkan komen.

Soalan itu hampir setiap hari diterima oleh kami. Jika mereka sebagai blogger turut berkongsi nombor telefon didalam blog, maka hampir setiap jam ada sahaja bunyi telefon, mms dan sms yang diterima bertanyakan soalan mengenai harga duit. Jam 2 pagi pun ada yang telefon, tak angkat telefon siap marah dan maki pun ada.

Jika nasib tak bagus ada whatsapp, lagi bermacam-macam soalan yang datang.

Sila bayangkan diri anda berada di tempat kami, sebelum anda menghakimi, memaki dan mencerca kami.

Kami menulis blog bukan bertujuan untuk menjadi tempat anda bertanya harga duit lama yang anda ada. Kami mahu berkongsi maklumat mengenai aktiviti numismatik di Malaysia.

Nak tahu mengenai harga, ada di antara kami yang telah berkongsi mengenainya di dalam blog masing-masing, bacalah dan buatlah carian sendiri.

Jadi mohon faham jika kami tidak mahu membuang masa menjawab soalan anda.


Blogger bukan numismatik yang tidak beretika
Satu lagi masalah yang dihadapi oleh kami dan juga rakan-rakan numismatik semua adalah maklumat salah yang dikongsi oleh blogger bukan numismatik. Kebanyakkan daripada blogger bukan numismatik ini hanya mengejar rating, traffic blog dan juga menjadikan artikel mereka itu viral.

Mereka tidak peduli mengenai maklumat yang tidak betul yang dikongsikan oleh mereka. Sebagai contoh yang mudah, ramai blogger bukan numismatik yang berkongsi cerita mengenai syiling 50 sen terbelah berharga mahal, gambar dan maklumat yang diberikan tidak betul.

Ini memberikan tanggapan kepada pembaca blog mereka bahawa syiling-syiling tersebut berharga mahal. Sekaligus, pembaca-pembaca ini akan menghubungi kami pula dan juga rakan-rakan penjual duit lama semata-mata nak tanya harga syiling mereka yang bernilai muka 50 sen.

Terima kasih kepada rakan-rakan pembaca yang saya lihat semakin ramai memberi penerangan di Facebook dan juga blog-blog mereka ini.

Nak harapkan kami beri penerangan, memang tak larat. Hampir setiap hari ada sahaja blog-blog macam ni muncul. Kerjasama dari anda semua peminat hobi ini adalah penting untuk membantu memberikan maklumat yang betul mengenai numismatik di Malaysia.


"Blogger Numismatik" bermakna kami mesti beli koleksi anda?
Jika sudah menjadi blogger numismatik, maka orang akan beranggapan kami juga akan membeli duit syiling mereka pada harga pasaran. Pada hakikatnya, kebanyakkan dari kami semua dapat membeli syiling lebih murah dari harga pasaran.

Menjadi blogger numismatik bukan bermakna kami nak beli koleksi yang anda ada. Kalau koleksi yang anda ada tu bergred tinggi, mempunyai harga pasaran yang tinggi dan nak jual harga hanya 10% dari harga pasaran, kami pasti naklah beli. Hahahahaha....


Tugas mempromosi numismatik adalah tugas semua
Usaha mempromosi numismatik adalah usaha yang berterusan terutamanya apabila anda sudah berminat dengan hobi ini. Ia bukanlah hanya tugas kami sebagai blogger numismatik, tokoh numismatik atau penjual koleksi numismatik. Jika anda sudah terjebak didalam hobi mengumpul duit lama ini, anda juga sepatutnya memainkan peranan untuk menyebarkan maklumat yang betul kepada rakan-rakan yang lain.

Ramai sudah saya lihat pembaca Malaysiancoin.com yang membantu memberi penerangan di pelbagai Facebook page yang memberikan maklumat salah mengenai numismatik, saya berharap suatu hari nanti makin ramai lagi yang berbuat demikian untuk membantu memberi kefahaman kepada rakan-rakan yang tidak faham mengenai numismatik di Malaysia.


Anda bertanya di Sosial Media, SMS, Whatsapp bukan bermakna kami perlu jawab soalan anda
"Kenapa tak perlu jawab? Saya tak tahu sebab itu saya bertanya, anda seorang blogger numismatik bermakna anda tahu, orang bertanya anda kerana anda mempunyai reputasi sebagai tempat rujukan dan perlu menjawab soalan saya!"

Mungkin sesetengah dari anda berfikiran sedemikian tetapi adakah anda sudah bertanya kepada diri sendiri:
  • Adakah anda sudah membuat carian maklumat yang dikongsikan oleh kami didalam blog dengan teliti?
  • Adakah anda sudah membaca artikel yang kami kongsikan dengan teliti?
  • Adakah soalan yang anda tanya itu ada kaitan dengan apa yang kami bincangkan didalam blog kami?
  • Adakah soalan yang anda tanya itu sudah banyak kali ditanya oleh orang lain?
  • Tidak adakah maklumat mengenai harga duit syiling yang anda tanya itu didalam carian google?
  • Adakah anda membayar kami untuk menjawab soalan anda? Sehingga anda berhak untuk memaki dan memarahi kami kerana tidak menjawab soalan anda atau lambat menjawab soalan anda?

Apa yang kami tahu pada kebiasaannya sudah kami kongsikan didalam blog, silalah baca dan cari maklumat.

Bukan anda seorang sahaja yang bertanya dengan kami, untuk blog Malaysiancoin.com sahaja, adakalanya sehingga 20 soalan sehari. Bagi anda, 20 soalan itu tak banyak tapi kami bukan nak jawab soalan anda sahaja. Kesemua blogger numismatik di Malaysia ini bukan bekerja sepenuh masa sebagai blogger, kami ada kerja lain, kami ada keluarga seperti anda juga, kami juga perlu rehat dan kami juga perlu tidur seperti anda.

Jangan samakan kami blogger numismatik dengan blogger-blogger diluar sana yang sanggup menipu semata-mata untuk mengejar traffic atau pembaca ke blog mereka.

Kami berkongsi asam garam blogger numismatik ini supaya lebih ramai akan faham serta lebih ramai akan membantu didalam memberikan maklumat yang betul mengenai numismatik.

Kepada anda yang masih tak faham mengenai numismatik tu, rajin-rajinlah membaca apa yang sudah kami tulis. Belajar membaca dengan teliti sehingga faham. 

Kalau dah habis baca artikel-artikel yang ada didalam blog saya ni, tak faham-faham juga, baiklah berhenti daripada turut serta didalam hobi ini, tak perlulah buang masa anda. ini kerana orang yang membaca tapi tak faham-faham tu biasanya adalah disebabkan dia tidak ada minat kepada apa yang dia baca, tidak ada inisiatif untuk mencari ilmu dan pada pendapat peribadi saya hanya membuang masa diri sendiri serta orang lain.