Khamis, 8 Mei 2014

Persoalan 2 syiling Pulau Nangka terjawab

Semalam, saya ingin menulis mengenai apa itu koin semar, iaitu dua keping syiling yang ditemui di Pulau Nangka baru-baru ini. Namun, rakan blogger my-koleksi telah terlebih dahulu menulis artikel tersebut yang bagi saya sudah memadai untuk menjelaskan apakah sebenarnya koin semar tersebut; Syiling Pulau Nangka adalah Koin Semar.

Beberapa hari ini juga saya menunggu jika ada keputusan mengenai Ujian Makmal yang dibuat untuk dua syiling terbabit sepertimana yang digembur-gemburkan sebelum ini akan diumumkan pada hari Selasa. Namun, sehingga kini, akhbar tidak ada menyiarkan laporan keputusan makmal tersebut. Kalau tidak, ada kemungkinan kita boleh menambah bahan lawak dipagi hari ketika sedang bersarapan dengan kawan-kawan. Satu Malaysia heboh dengan duit tangkal azimat yang "diangkat sebagai artifak harta karun".

Koin Semar

Saya bukanlah hendak bertujuan untuk menghina atau menjatuhkan usaha kerajaan negeri Melaka untuk mencari harta karun tetapi bagi saya, sebaiknya apa yang dikongsi didalam akhbar-akhbar media utama daripada kenyataan jabatan atau pegawai kerajaan tersebut sepatutnya berdasarkan fakta serta cerita yang sahih. Ini sibuk nak bagi kenyataan media tapi habuk pun takdak! Jika tidak tahu, mereka tidak sepatutnya memberi kenyataan merapu yang boleh memalukan diri sendiri (dalam kes Pulau Nangka sekarang, memalukan negara sebab rakan-rakan di Indonesia juga mengikuti perkembangan cerita ini). Kita faham, ada ramai wartawan yang setiap hari pergi ke Pulau Nangka dan menunggu kenyataan akhbar mereka tetapi biarlah orang yang arif mengenai "artifak" tersebut menjelaskannya. Kenyataan-kenyataan sebelum ini banyak yang memberikan gambaran seolah-olah mereka ini mencari harta karun tersebut hanya untuk emas berpeti-peti yang dikatakan bernilai berbillion ringgit tersebut. Sepatutnya, usaha dijalankan untuk memelihara artifak tersebut, bukan hanya nak cari harta karun. Artifak-artifak bernilai sejarah bagi saya lebih tinggi nilainya daripada emas dan permata.

Bagi saya, persoalan mengenai 2 syiling Pulau Nangka tersebut telah dijawab oleh Drs Mohd Nasruddin Rahman, Pengurus Besar Institut Seni Malaysia Melaka (ISMMA) dan juga berpengalaman sebagai Kurator di Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) selama 17 tahun didalam Sinar Harian hari ini (8 Mei):

"Syiling tersebut dipercayai bukan digunakan bagi tujuan perdagangan pada zaman dahulu, sebaliknya lebih kepada wafak atau azimat.

“Ia dijadikan azimat atau wafak kerana tulisan Jawa Kuno dipaparkan adalah tentang kesetiaan seseorang.

“Saya yakin syiling itu berfungsi untuk ilmu pengasih kerana ciri-cirinya mampu bangkitkan aura bagi menarik kekasih serta membangkitkan rasa rindu,” katanya di sini, semalam.

Menurut beliau, tulisan terukir pada syiling berkenaan membawa maksud kesetiaan seorang utusan mempertahankan amanat dipikulnya sehingga ke titisan darah terakhir. Ia lebih kepada kisah tentang utusan kesatria pendatang bernama Ajisaka yang mengawali peradapan Pulau Jawa.

Mengenai ukiran gambar berunsur dewa pada syiling itu, Mohd Nasruddin berkata, ia adalah watak Semar atau dikenali sebagai Kyai Lurah Semar Badranaya.

“Ia adalah tokoh paling utama dalam wayang Jawa dan Sunda,” katanya.

Beberapa hari ini juga, akhbar-akhbar turut memperkatakan mengenai kerjasama pakar didalam pencarian harta karun Pulau Nangka tersebut. Saya tidak mahu mengulas lanjut mengenai hal ini tetapi biarlah orang yang betul-betul pakar dipanggil. Jangan pula nanti, timbul lagi cerita seperti "koin Semar" Indonesia ini dikatakan berasal dari Kerajaan Majapahit pula. Tulisan Jawa dengan Majapahit pun tak boleh beza, pakar apa namanya macam tu?

Untuk berita, gambar dan video terkini harta karun di Pulau Nangka anda boleh membacanya di dalam artikel; Cerita Harta Karun Pulau Nangka.