Monday, October 21, 2013

Apa istimewanya 50 sen 1969?

Apa istimewanya 50 sen 1969 yang baru-baru ini telah terjual melebihi RM10,253 dan ketika acara lelongan yang di adakan oleh Persatuan Numismatik Malaysia (MNS) ianya telah mencapai harga RM2,800. Ramai daripada bukan collector yang keliru dan beranggapan duit syiling mereka juga berharga mahal seperti itu atau sekurang-kurangnya berharga separuh daripada harga tersebut. Syiling yang dilelong itu mencapai harga yang tinggi kerana keistimewaan mereka yang tersendiri.

Jika anda bukan seorang collector, sila baca dan fahami apa yang saya cuba sampaikan didalam artikel ini mengenai keistimewaan syiling 50 sen 1969 tersebut.

50 sen 1969

Untuk makluman semua, syiling 50 sen 1969 mempunyai jumlah tempaan (cetakan) yang dibenarkan oleh Bank Negara Malaysia sebanyak 2juta keping sahaja. Daripada sudut Numismatik Malaysia, ianya adalah jumlah yang agak sedikit tetapi masih lagi boleh ditemui oleh ramai orang berbanding dengan 10 sen 1971.

Untuk makluman juga, syiling yang terjual itu adalah melalui acara lelongan. Ianya bukan bermaksud harga yang dicapai melalui acara lelongan itu adalah harga pasaran duit lama Malaysia.

Kenapa 50 sen 1969 dilelong RM2,800 pada 29 September 2013?
Syiling yang dijual itu adalah pada gred UNC (Uncirculated) serta tidak di gred oleh mana-mana pihak ketiga (PCGS atau NGC). Syiling tersebut juga adalah syiling yang mempunyai Sisi Sekuriti atau lebih dikenali dikalangan bukan collector sebagai syiling 50 sen berparit dan bukannya syiling Milled Edge. Pada ketika ini, amat sukar untuk menemui syiling tersebut pada kondisi UNC. Kebanyakan yang ada dipasaran adalah kondisi EF sahaja yang adakalanya dijual sebagai UNC oleh dealer yang tidak beretika. Saya diberitahu, ketika acara lelongan MNS berlangsung, ramai daripada peserta acara lelongan tersebut yang turut sama membida duit syiling itu. Namun, apabila ianya telah mencapai harga melebihi RM1,500 (Harga pasaran 50 sen 1969 UNC pada ketika itu RM1200), ramai yang sudah mengalah. Hanya tinggal dua orang sahaja yang membida duit syiling tersebut. Anda boleh membaca mengenainya didalam artikel; Syiling 50 sen 1969 dilelong RM2,800.

Kesimpulannya, syiling ini mendapat harga yang tinggi (RM2,800) walaupun hanyalah bersisi Sekuriti kerana ada permintaan serta amat sukar untuk menemui syiling tersebut pada gred UNC.


Kenapa 50 sen 1969 dilelong RM10,253 pada 19 Oktober 2013?
Acara lelongan itu berlangsung di Singapura dan dianjurkan oleh Persatuan Numismatik Asia (NSA). Syiling yang mempunyai Milled Edge itu digred oleh Numismatic Guaranty Corporation (NGC) sebagai Au- 55. Mengikut rekod daripada Liveauctioneers.com, ada lima bidaan dijalankan bermula daripada SGD2,600 dan naik SGD200 setiap bidaan baru. Kesemua bidaan adalah daripada Internet. Kebiasannya syiling ini hanya dapat dilihat pada kondisi Very Fine sahaja kerana ianya hanya ditemui didalam edaran. Harga terakhir mencecah SGD4,100 dan bayaran yang dikenakan adalah termasuk dengan premium pembeli 18% menjadikan jumlah keseluruhannya RM10,253. Anda boleh membacanya dengan lebih lanjut didalam artikel; 1969 50 sen Milled Edge Sold RM10,253.

1969 50 sen

Kesimpulannya, syiling ini terjual sehingga RM10,253 kerana ianya adalah duit syiling 50 sen 1969 Milled Edge serta mempunyai gred yang agak tinggi (AU55) serta digred oleh third party coin grading (NGC).


Bagaimana rupa bentuk Syiling UNC(Uncirculated)
Syiling UNC tidak mempunyai kesan calar atau pecahan. Ia mungkin mempunyai kesan calar yang amat sedikit mungkin disebabkan oleh kesan tempaan di kilang. Mungkin ada perubahan warna untuk syiling yang lama.

Apa itu Milled Edge dan Security Edge?
Duit syiling 50 sen terbelah tepi atau berparit itu dipanggil oleh kolektor sebagai sisi sekuriti (security edge). Hanya ada 3 tahun di mana Bank Negara Malaysia (BNM) mengeluarkan duit syiling 50 sen sisi sekuriti; tahun 1967, 1968 & 1969. Secara rasminya, syiling-syiling tersebut kesemuanya adalah sisi sekuriti.

coin edge

Namun, ada juga syiling yang tidak mempunyai belahan ditengahnya/tiada parit yang terlepas keluar daripada Kilang BNM. Ianya dipanggil sebagai Milled edge atau sisi bergaris. Jumlahnya tidak diketahui tetapi adalah amat sedikit berbanding dengan jumlah tempaan untuk syiling tersebut.

Mana yang lebih bernilai? Milled Edge atau Security Edge?
Syiling 50 sen 1967, 1968 & 1969 Milled Edge adalah jauh lebih tinggi nilainya daripada duit syiling Security Edge kerana ianya adalah syiling Freak yang agak sukar untuk ditemui. Kebanyakan syiling 50 sen untuk tahun tersebut diatas adalah syiling Sisi Sekuriti atau berparit.

Berapa harga duit 50 sen terbelah/berparit?
Jika masih boleh ditemui dengan mudah, bermakna syiling 50 sen terbelah/berparit tidaklah mendapat harga yang tinggi. Kebanyakkan collector masih boleh mendapat syiling ini dengan mudah. Anda boleh melihat harganya didalam post; Harga duit syiling 50 sen.

Adakah kemungkinan ini satu manupilasi harga pasaran?
Jawapan kepada persoalan ini saya tidak pasti tapi jika niat itu untuk memanipulasi/menipu pasti kita semua akan dapat menghidunya juga dimasa akan datang. Dunia Numismatik Malaysia ni kecil jer. Apa cara pun orang akan tahu juga, lambat atau cepat sahaja.

Masih ingatkah lagi anda dengan duit syiling 1 sen 1976 copper yang videonya ada saya siarkan suatu waktu dulu? Walaupun tidak ramai yang dapat melihatnya ketika lelongan sedang berlangsung, hampir 1Malaysia kemudiannya tahu apa yang telah berlaku. Jangan tanya saya lebih-lebih, tengok sendiri video tu dan tanya rakan-rakan kalau betul-betul tak tahu, jangan tanya saya.

Saya dah siasat, Syiling 50 sen Security Edge yang dimenangi oleh pembeli misteri itu sewaktu lelongan MNS bukanlah milik beliau, jauh sekali milik kawan atau saudara-mara beliau. Kedua-dua orang terakhir yang membuat bidaan duit syiling itu perlukannya untuk melengkapkan koleksi masing-masing. Akhirnya yang menang adalah orang yang menawarkan pada harga tertinggi.

Untuk syiling 50 sen Milled Edge itu juga kita akan siasat asal-usulnya daripada siapa.

Kesimpulannya
Kepada rakan-rakan bukan collector, harap anda faham, kenapakah syiling 50 sen 1969 yang mendapat harga tinggi itu begitu istimewa. Sila baca dan fahami, pelaburan duit lama juga boleh memberikan pulangan yang menguntungkan jika kena caranya.