Ahad, 25 November 2012

Logo BNM: Sejarah & Konspirasi

Rasanya tidak salah kalau saya mengatakan, umum mengetahui bahawa ada yang mengatakan logo Bank Negara Malaysia (BNM) itu adalah anjing Firaun (Pharaoh Hound). Dengan kewujudan ramai blogger di Malaysia sekarang ini, ada yang mengambil jalan mudah untuk popular dengan membuat cerita-cerita yang kononnya "teori konspirasi" serta bertujuan untuk kononnya membantu menyedarkan masyarakat tentang perkara yang disiasat oleh mereka. Tapi kita sebagai pembaca juga perlulah bijak jangan percaya sahaja 100% kepada penulis-penulis konspirasi ini. Kebanyakan daripada mereka menulis hanya untuk mengapi-apikan pembaca mereka dengan harapan pembaca akan kongsikan artikel mereka kepada kawan-kawan dan entri tersebut akan menjadi popular. Mereka tidak berkongsi fakta di dalam entri mereka. Ada juga yang tidak tahu berkenaan sesuatu isu itu tetapi kerana mengejar traffik blog, mereka "copy paste" cerita orang lain di blog mereka. Apabila pembaca bertanya dengan lebih lanjut, mereka langsung tidak tahu bagaimana hendak menjawab persoalan tersebut. Saya akan cuba kupas semula isu ini berdasarkan apa yang saya telah tulis di dalam post sebelum ini; Bank Negara Malaysia Logo issue.

logo bnm

Logo BNM: Sejarah & Konspirasi.

1. Kenapa logo itu dipilih
Logo tersebut di ilhamkan oleh Allahyarham Tun Ismail Mohamed Ali, Gabenor BNM pada tahun 1964 lagi. Idea itu timbul berdasarkan kepada duit syiling emas lama, duit emas kupang Kelantan. Duit syiling tersebut mempunyai motif Kijang (barking deer). BNM kemudian secara rasminya menggunakan lambang kijang, matahari dan bulan sabit pada logonya. Matahari melambangkan kuasa dan bulan sabit melambangkan Islam, agama rasmi Malaysia. Fakta ini adalah berdasarkan kepada maklumat di laman web BNM; The Bank's Logo. Sebenarnya, logo BNM dipilih bukan berdasarkan kepada haiwan kijang tetapi daripada duit emas lama Kelantan, kupang emas.

2. Anjing Firaun.
Kebanyakan daripada blog-blog konspirasi tersebut mengatakan logo BNM itu adalah anjing Firaun dan bukannya kijang tetapi adakah anda semua membuat carian tentang anjing Firaun atau di dalam bahasa Inggerisnya Pharoah Hound tersebut? Jika anda membaca di laman-laman web kebanyakannya mengatakan yang anjing tersebut adalah anjing Firaun yang berasal dari Egypt sejak lebih 3000 tahun dulu yang ditinggalkan di kepulaun Malta. Namun,  jika kita membuat carian dengan lebih lanjut, ada orang Malta yang mengatakan itu cumalah dongengan semata (misleading name Pharaoh Hound). Nama "Pharaoh" itu dibuat oleh orang Inggeris yang membawa anjing tersebut ke tempat mereka dari Malta pada tahun 1960an kerana ia menyerupai gambar anjing yang ada didalam piramid Firaun. Nama asal anjing Firaun tersebut adalah "Kelb tal-Fenek" yang membawa maksud anjing pemburu arnab (Rabbit Hound). Malangnya, usaha mereka untuk menukar nama tersebut tidak diterima semata-mata untuk menjaga nama yang telah diguna pakai sejak dulu lagi, Pharoah Hound.

3. Kijang
Jika kita membaca berkenaan kijang pula, memang rupanya jauh berbeza dengan apa yang ada pada logo BNM tetapi kijang apabila dia ketakutan, ekornya akan terangkat ke belakang dan ekornya sepanjang 1-2 inci. Syiling kupang tersebut telah digunakan sejak kurun ke-17 lagi, kita kena berfikir adakah kemungkinan kijang pada masa itu berekor panjang? Boleh jadi juga, orang yang mereka bentuk kijang tersebut tersilap sehingga membuatkan ekor kijang tersebut panjang. Walau bagaimanapun, ini cuma andaian dan imaginasi bukan fakta.

4. Syiling kijang emas.
Ada yang mengatakan syiling Kijang Emas Kelantan telah digunakan sejak pemerintahan Cik Siti Wan Kembang, Raja perempuan Kelantan pada tahun 1610.
"Cik Siti Wan Kembang bersemayam di Gunung Chinta Wangsa, Ulu Kelantan, kira-kira 40 kilometer ke arah Tenggara Kuala Krai. Pemerintahan Cik Siti Wan Kembang di Gunung Chinta Wangsa menjadi terkenal menyebabkan banyak dikunjungi oleh pedagang-pedagang dari dalam dan luar negeri termasuk juga orang-orang Arab yang mengelarkan Cik Wan kembang dengan panggilan "Paduka Cik Siti". Baginda mempunyai seekor kijang yang amat disukai Baginda, iaitu persembahan daripada rakyat Baginda yang tinggal di Gunung Ayam. Gambar kijang ini telah diterap di atas wang emas dengan perbelanjaan negeri, dan kemudiannya diabadikan pula sebagai sebahagian daripada daripada lambang kebesaran negeri Kelantan yang berkekalan hingga ke hari ini".
Sumber dari kelantan.gov.my (Sejarah Cik Siti Wan Kembang).

Versi lain mengaitkan Kijang emas tersebut dengan agama Hindu. Ini kerana rekabentuk pada syiling Kijang menyerupai lembu berbonggol belakang India dan juga motif lembu pada duit syiling Hindu kuno yang diedarkan di Utara Tanah Melayu Utara sebelum itu.

Kesimpulannya, Logo BNM yang ada pada ketika ini dipilih berdasarkan kepada corak kijang pada duit syiling Kijang Emas Kelantan bukannya Kijang sahaja. Ianya dipilih kerana syiling tersebut mempunyai sejarah tersendiri kepada Tanah Melayu dan juga Kesultanan Melayu. Terpulang kepada anda untuk menerima ataupun tidak, buat kajian anda sendiri. Jangan percaya 100% kepada saya dan juga penulis blog konspirasi. Selain daripada maklumat di laman web BNM yang saya dikongsikan disini, tidak ada kenyataan rasmi lain BNM berkenaan dengan logo mereka.