Friday, June 22, 2018

Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus Gabenor BNM ke-9

Berikut merupakan biodata dan profile Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus, Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) ke-9. Selain itu, tandatangan Gabenor BNM yang baru ini juga ada disertakan untuk rujukan rakan-rakan numismatik.

Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus telah mendapat perkenan sebagai Gabenor BNM oleh Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 19 Jun 2018.

Beliau akan mula menjalankan tugas sebagai Gabenor BNM selama tempoh lima tahun berkuatkuasa mulai 1 Julai 2018 hingga 30 Jun 2023.


BIODATA DATUK NOR SHAMSIAH MOHD YUNUS:

Datuk Nor Shamsiah



Latar Belakang Pendidikan

Datuk Nor Shamsiah merupakan seorang lepasan University of South Australia dengan Ijazah Sarjana Muda Sastera dalam bidang Perakaunan dan seorang Akauntan Bertauliah (CPA).


Kerjaya di Bidang Ekonomi & Kewangan

  • Penolong Pengarah Bahagian Kewangan dan Pasaran Modal, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).
  • Pengarah Urusan, Danamodal Nasional Berhad
  • Ahli Jawatankuasa Dasar Monetari BNM
  • Ahli Panel Pelaburan KWSP
  • Ahli Lembaga Pelaburan Lembaga Tabung Haji



Kerjaya di Bank Negara
Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus memulakan kerjayanya di BNM pada tahun 1987 dan telah berkhidmat dalam bidang pembangunan kewangan, insuran, pengurusan strategik sumber manusia dan transformasi pembangunan organisasi. Beliau juga mempunyai pengalaman luas dalam bidang pembentukan pengawalan berhemat, undang-undang, dasar, pengurusan krisis dan pelan induk untuk sektor kewangan.

Datuk Nor Shamsiah pernah bertanggungjawab terhadap Jabatan Sistem Pembayaran serta Jabatan-jabatan Penyeliaan Perbankan dan Insurans Bank Negara Malaysia.

Beliau juga pernah bertugas sebagai Pengarah Jabatan Pengawalan Bank, yang bertanggungjawab merumus dasar dan peraturan pengawalan bank ke arah membangunkan sektor perbankan Malaysia secara teratur.

Beliau juga terlibat dengan penubuhan beberapa institusi bagi memperkukuhkan sistem perbankan sewaktu krisis kewangan Asia, termasuk Pengurusan Danaharta Nasional Berhad, Danamodal Nasional Berhad, Perbadanan Penyusunan Semula Hutang Kredit, dan dalam membentuk Pelan Induk Sektor Kewangan Bank Negara Malaysia.

Datuk Nor Shamsiah dilantik sebagai Penolong Gabenor BNM, berkuatkuasa pada 1 Disember 2004. Beliau bertanggungjawab terhadap Jabatan Sistem Pembayaran serta Jabatan-jabatan Penyeliaan Perbankan dan Insurans Bank Negara Malaysia.

Beliau kemudiannya dilantik menjawat jawatan Timbalan Gabenor BNM bermula pada 16 November 2010. Sebagai Timbalan Gabenor, beliau menerajui pengawal seliaan bank perdagangan (konvensional dan Islam), bank pelaburan, syarikat insurans (konvensional dan takaful) dan institusi pembangunan kewangan. Beliau juga bertanggungjawab terhadap Jabatan Penguatkuasaan dan Perisikan Kewangan, Jabatan Strategik Pembangunan Modal Insan dan menyelia fungsi-fungsi korporat dan perkhidmatan di BNM termasuk Jabatan Kewangan.

Beliau sekali lagi dilantik sebagai Timbalan Gabenor untuk tempoh tiga tahun bermula dari 16 November 2013 dan berakhir pada 15 November 2016. Beliau masih bertanggungjawab terhadap penyeliaan perbankan insurans dan Takaful, perisikan kewangan dan penguatkuasaan, pengurusan tenaga mahir, kewangan dan perkhidmatan sokongan serta Pejabat-pejabat Wilayah dan BNMLINK Bank Negara Malaysia.


Tandatangan Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus

Sudah pasti, tempoh singkat Tan Sri Muhammad Ibrahim sebagai Gabenor BNM ke-8 akan menjadikan wang kertas yang ditandatanganinya akan menjadi koleksi berharga buat para collector. Namun, jangan salah faham bukan semua wang kertas bertandatangan beliau akan menjadi koleksi collector numismatik.

Wang Kertas Terbesar Dunia RM600 yang mempunyai tandatangan beliau sudah pasti akan melambung tinggi. Pada ketika ini pun, collector daripada Malaysia sudah sukar untuk membeli wang kertas tersebut pada harga rendah dan kebanyakan collector menunggu harga mencanak naik.

Apa yang pasti juga, tandatangan Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus akan dinanti-nantikan oleh para collector numismatik.

Tandatangan Gabenor BNM baru

Tandangan ini didapati daripada dokumen rasmi BNM tetapi seperti kebiasaannya, ia mungkin berubah kerana kebiasaannya Gabenor BNM akan menurunkan tandatangan penuh mereka.


Harapan Warga Numismatik
Seperti sebelum ini, ramai warga numismatik yang berharap, BNM akan mengubah polisi serta bersikap lebih terbuka kepada numismatik seperti artikel yang kami tulis sebelum ini mengenai Maklumat numismatik yang wajar dikongsi BNM.