Thursday, December 14, 2017

Pelancaran Syiling Pertabalan Yang di-Pertuan Agong XV

Hari ini, duit syiling peringatan bersempena dengan pertabalan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XV Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong kelima belas telah dipersembahkan kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong oleh Gabenor Bank Negara Malaysia, Muhammad bin Ibrahim, FCB, di Sasana Kijang, Bank Negara Malaysia.

Syiling Agong XV

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda telah dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong kelima belas untuk tempoh lima tahun oleh Raja-raja Melayu pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-243 (Mesyuarat Khas) di Istana Negara, Kuala Lumpur pada 14 Oktober 2016. Baginda kemudiannya melafaz sumpah dan menandatangani surat sumpah jawatan sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 13 Disember 2016 di Istana Negara, Kuala Lumpur. Upacara pertabalan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong kelima belas telah berlangsung pada 24 April 2017.

Syiling Agong

Potret Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XV Sultan Muhammad V dipaparkan pada bahagian tengah duit syiling. Perkataan "KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA SERI PADUKA BAGINDA YANG DI-PERTUAN AGONG XV SULTAN MUHAMMAD V” tertera di sekeliling duit syiling manakala tarikh pertabalan dipaparkan di bawah potret Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XV.

Reka bentuk pada bahagian tengah duit syiling memaparkan jata rasmi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V. Nama "BANK NEGARA MALAYSIA" sebagai pihak berkuasa yang mengeluarkan duit syiling peringatan ini dipaparkan pada bahagian atas duit syiling manakala perkataan "PERTABALAN SERI PADUKA BAGINDA YANG DI-PERTUAN AGONG XV" dipaparkan pada bahagian bawah duit syiling bersama-sama dengan nilai muka duit syiling tersebut.

Spesifikasi duit syiling peringatan ini adalah seperti yang berikut:

Duit Syiling Peringatan Syiling Pertabalan Yang di-Pertuan Agong XV Emas (pruf)
Spesifikasi Teknikal:
Jenis: Emas Pruf
Logam: Emas (Au999.9)
Nilai Muka(RM): 300 RINGGIT
Kuantiti Tempaan (keping/set): 300
Diameter (mm): 22
Berat(g): 7.96
Harga Jualan BNM: RM4,000 (harga rezab lelongan)

Duit Syiling Peringatan Syiling Pertabalan Yang di-Pertuan Agong XV Perak Berwarna (mirip pruf)
Spesifikasi Teknikal:
Jenis: Perak Mirip Pruf
Logam: Perak (Ag99.9)
Nilai Muka(RM): 150 RINGGIT
Kuantiti Tempaan (keping/set): 500
Diameter (mm): 50
Berat(g): 92
Harga Jualan BNM: RM1,000 (termasuk 6% GST)


Duit Syiling Peringatan Syiling Pertabalan Yang di-Pertuan Agong XV Tembaga (kemasan tanpa kilat)
Spesifikasi Teknikal:
Jenis: Tembaga kemasan tanpa kilat
Logam: Tembaga (Cu99.9)
Nilai Muka(RM): 15 RINGGIT
Kuantiti Tempaan (keping/set): 500
Diameter (mm): 40.7
Berat(g): 31.1
Harga Jualan BNM: RM200 (termasuk 6% GST)


Duit Syiling Peringatan Syiling Pertabalan Yang di-Pertuan Agong XV Emas Nordic
Spesifikasi Teknikal:
Jenis: Nordic Gold (B.U.)
Logam: Cu89 Zn5 Al5 Sn1
Nilai Muka(RM): 1 RINGGIT
Kuantiti Tempaan (keping/set): 10,000
Garis Pusat (mm): 30.0
Berat(g): 8.5
Harga Jualan BNM: RM11.00 (termasuk 6% GST)


Set Pruf 2 dalam 1:
Mengandungi sekeping duit syiling mirip pruf perak berwarna dan sekeping duit syiling tembaga kemasan tanpa kilat.
Tempaan: 500 set.
Harga Jualan BNM: RM1200 (termasuk 6% GST)


Nota: Kesemua harga yang dinyatakan di atas sudah termasuk GST.

Video Pelancaran Duit Syiling & Wang Kertas peringatan:


Contoh duit syiling ini akan dipamerkan kepada orang ramai mulai Khamis, 21 Disember 2017 di Muzium dan Galeri Seni Bank Negara Malaysia dan di pejabat-pejabat Bank Negara Malaysia di Pulau Pinang, Johor Bahru, Kota Kinabalu, Kuching dan Kuala Terengganu.

Bagi memberikan peluang yang sama rata kepada orang ramai membeli duit syiling edisi terhad ini, pembelian akan dihadkan (setiap pembeli boleh membeli satu set dua dalam satu, satu duit syiling perak berwarna, satu duit syiling tembaga dan tiga duit syiling emas nordic). Untuk memudahkan pembelian, orang ramai boleh membuat tempahan dalam talian mulai 5 Januari 2018. Sekiranya jumlah tempahan melebihi jumlah ditawarkan, tempahan akan dilaksanakan melalui undian. Duit syiling peringatan emas akan dijual melalui lelongan awam pada 10 Mac 2018. Maklumat lanjut tentang tempahan, lelongan, pembayaran dan pengambilan akan diumumkan kepada orang ramai melalui siaran akhbar sebelum tarikh jualan.