Rabu, 19 Oktober 2016

Menceburi numismatik dengan agenda tersembunyi

"Sekarang ini, numismatik di Malaysia ini di penuhi dengan "Sifu" Numismatik yang menceburi numismatik kerana agenda tersembunyi. Namun, agenda utama mereka sudah pasti untuk mendapatkan keuntungan didalam bidang numismatik. Pengaruh, pengikut dan anak murid akan datang apabila nama sudah terkenal di kalangan rakan numismatik lain."

agenda tersembunyi

Begitulah lebih kurang perbualan kami dengan seorang rakan yang kecewa dengan suasana numismatik di Malaysia sekarang ini. Beliau adalah antara rakan-rakan numismatik yang mula-mula berkecimpung di dalam jualan online numismatik suatu ketika dahulu. Pada waktu itu, penjual online boleh dikira dengan jari dan Facebook pada waktu itu masih belum wujud lagi.

Beliau bercerita bagaimana seorang "biasa" yang tidak pernah muncul di dalam arena numismatik Malaysia boleh menjadi Sifu kepada ramai orang dalam sekelip mata kerana kaedah mempromosi diri yang digunakannya yang tidak perlulah saya ceritakan disini. Kebanyakkan pengikutnya juga adalah budak-budak baru atau collector yang tidak pernah muncul sebelum ini.

Ceritanya tidak ubah seperti "pakar" motivasi yang menipu kelayakan phdnya dengan peminat-peminat fanatik yang sanggup membayar beribu ringgit semata-mata hendak mendapatkan kata-kata motivasi dari "pakar" tadi. Mereka hanya sedar diri tertipu apabila duit yang dibayar itu tidak memberikan apa-apa pulangan kepada mereka.

Kata beliau lagi, ada juga "pakar" duit lama yang aktif menceburi metal detecting semata-mata sebagai alat untuk mempromosi duit syiling palsu kesultanan melayu yang dimiliki olehnya. Duit syiling palsu tersebut kononnya ditemui semasa aktiviti metal detecting.

Syiling palsu itu bukannya dijual pada harga yang murah, adakalanya sehingga beribu Ringgit sekeping.

Ada juga yang kononnya sanggup menderma duit syiling yang mereka ada di Muzium, nama mereka akan terpampang sebagai penderma dan sekaligus akan membantu mereka dikenali dikalangan warga numismatik dan bukan collector. Namun, syiling lama yang mereka dermakan adalah syiling palsu yang ada dijual oleh konco-konco mereka di sekitar muzium tersebut.

Sesuatu yang memalukan apabila Muzium di negara ini masih lagi berkongsi syiling palsu kepada orang ramai terutamanya apabila ada pelancong yang tahu ianya duit palsu.

Modus operandi mereka amat mudah, kumpul pengikut dan kepercayaan dari warga numismatik, keuntungan itu sudah pasti akan datang di kemudian hari, kebanyakannya didalam masa yang singkat.

Apa yang ingin diperkatakan oleh rakan tersebut ialah kemunculan manusia-manusia seperti ini yang agenda tersembunyi mereka hanya kerana wang ringgit akan merosakkan numismatik Malaysia.

Mereka dengan sewenang-wenangnya boleh menjalankan aktiviti penipuan mereka kerana tidak ada badan kerajaan yang "aktif" memantau serta menguatkuasakan undang-undang pemalsuan duit lama.

Orang-orang yang sebenarnya "Pakar numismatik" akan "di padam" dari komuniti numismatik oleh "Sifu" yang hanya bermotifkan kewangan ini sedikit demi sedikit. 

Suatu hari nanti dibumi ini hanya akan ada "Pakar" numismatik palsu dan duit-duit palsu, tanpa ada sesiapa yang menyedarinya.