Saturday, July 5, 2014

BNM harus ubah cara jual syiling peringatan

Terima kasih kepada Bank Negara Malaysia (BNM) kerana memberitahu para pengumpul syiling peringatan sebulan lebih awal tentang pengeluaran Syiling Peringatan 40 tahun Hubungan Dua Hala Malaysia China yang telah dijual pada 27hb Jun yang lalu. Ini membantu para pengumpul untuk bersedia lebih awal dari segi kewangan dan juga memohon cuti untuk membeli syiling peringatan. Semoga ianya dapat diteruskan dimasa hadapan.

BNM Terengganu

Namun, suasana menjadi sedikit kecoh di Sasana Kijang apabila ada dikalangan pembeli yang mengeluarkan sendiri nombor giliran untuk hari jualan tersebut. Mereka yang datang lambat dan tidak mempunyai nombor giliran menyatakan rasa tidak berpuashati kepada pengurusan BNM kerana nombor giliran itu bukannya dikeluarkan oleh BNM secara rasmi. Mereka yang mempunyai nombor giliran pula kebanyakkannya tidak berbaris kerana beranggapan mereka sudah mempunyai nombor dan tidak perlu berbaris. Itu belum lagi termasuk aktiviti mengherdik mereka yang tidak mempunyai nombor giliran yang ingin berbaris. Mungkin mereka-mereka ini terlupa tetamu sepatutnya menghormati tuan rumah dan bukannya berlagak seperti Sasana Kijang itu bapak mereka yang punya. Kita tetamu kena ikut peraturan tuan rumah bukannya kita yang membuat peraturan sendiri dirumah orang.

Suasana di tempat lain tidak ada masalah besar yang timbul dengan kesemua tempat jualan di Cawangan BNM berbaris seperti biasa.

Ramai rakan-rakan collector yang mengutarakan pandangan dan cadangan bagaimana BNM boleh mengatasi perkara ini dan juga bagaimanakah BNM boleh memperbaiki cara mereka menjual syiling peringatan di masa hadapan. Disini saya kongsikan cadangan-cadangan yang pada pendapat saya boleh diterima pakai dan berharap pihak pengurusan BNM sudi untuk membacanya.

1. Menaikkan jumlah tempaan (mintage).
Apabila permintaan meningkat sewajarnya BNM juga meningkatkan jumlah penawaran mereka dengan menambah jumlah mintage untuk duit syiling peringatan di masa hadapan. Jumlah peningkatan janganlah tidak masuk akal sehingga tidak ada sesiapa yang ingin membeli duit syiling peringatan lagi. Mungkin BNM boleh menaikkan jumlah mintage itu kepada sekali ganda atau tinggi sedikit daripada itu. set 3 dalam 1 dan set 2 dalam 1, masing-masing mungkin boleh dinaikkan kepada 1,000 hingga 1,500 set. Jenis-jenis syiling peringatan yang lain itu, jumlah tempaannya pada pendapat saya sudah cukup buat masa ini. Kebanyakkan investor yang datang berhasrat untuk mendapatkan kedua-dua set ini, terutamanya set 2 dalam 1 kerana mereka boleh mendapat untung sekali ganda berbanding syiling yang lain.

2. Notis dan kon untuk berbaris
Sehari sebelum hari jualan, BNM sepatutnya mengeluarkan notis untuk meminta pembeli untuk berbaris dan bagaimana barisan patut dibuat. Kon-kon penghadang juga disediakan sehari sebelum hari jualan untuk dijadikan panduan kepada pembeli bagaimana untuk berbaris mengikut kehendak BNM. Jika ada peraturan yang jelas, diharap para pembeli akan patuh kepada paeraturan tersebut. Didalam notis itu juga sepatutnya diberitahu, pada jam berapa kaunter akan dibuka dan berapa banyak syiling yang boleh dibeli. BNM juga sepatutnya berkongsi langkah-langkah keselamatan yang perlu diketahui oleh pembeli yang beratur kerana ada diantara mereka yang datang awal dan tidur di cawangan BNM. Walaupun mereka ini tidur diluar premis BNM, keselamatan mereka juga sepatutnya tidak di abaikan.

3. Menyediakan tempahan awal (pre-order)
Dimasa hadapan, mungkin BNM boleh membuat tempahan awal kepada collector yang mempunyai akaun dengan BNM. Tempahan awal ini mungkin boleh dibuat dengan syarat-syarat tertentu seperti 1 akaun untuk isi rumah yang sama (ibu, bapa, anak) atau akaun ini hanya untuk mereka yang tinggal di negeri-negeri yang tidak mempunyai cawangan BNM. Jika ada didapati ada diantara isi rumah yang mempunyai akaun berganda, akaunnya wajar ditutup. Mungkin tempahan awal ini juga boleh dilakukan secara undian.

4. Tempahan secara online
Ramai rakan-rakan yang mencadangkan supaya BNM mengadakan jualan syiling peringatan secara online untuk memudahkan pembelian tanpa perlu berbaris dan item boleh diterima secara pos. Ramai yang kata ini akan menjimatkan masa walaupun ianya mungkin akan meningkatkan sedikit kos untuk penghantaran. Saya dulu pernah menyuarakan idea yang serupa sebelum ini. Namun, saya tolak idea ini kerana ianya akan mendatangkan lebih banyak keburukan kepada collector dikemudian hari. Anda boleh membacara kenapa pembelian syiling peringatan secara online itu lebih mendatangkan keburukan didalam artikel ini; keburukan jualan online syiling peringatan.

5. BNM menyediakan nombor giliran
Sudah menjadi lumrah di Malaysia ini, apa sahaja peraturan yang mempunyai ruang untuk di eksplotasi, ianya akan disalahguna. Nombor giliran akan disalahguna dengan ada kemungkinan aktiviti ulat nombor giliran yang menjual nombor giliran kepada mereka yang ingin mendapat nombor dihadapan. Mereka yang telah mengambil nombor giliran juga ada kemungkinan akan turut mengambil nombor giliran untuk rakan-rakan mereka yang lain. Jika berbaris pun ada yang "booking tempat" untuk rakan-rakan, inikan pula mengambil nombor giliran. Pada pendapat saya, nombor giliran tidak sesuai dipakai untuk jualan syiling peringatan BNM.

6. Melarang orang bermasalah dari memasuki premis BNM
Kesemua premis BNM mempunyai CCTV (Kamera litar tertutup) untuk merekodkan pergerakan disekitar bangunan BNM. Sewajarnya BNM menguatkuasakan peraturan melarang orang yang pernah memberi masalah kepada BNM ketika hari jualan daripada masuk ke premis BNM atau membeli syiling peringatan. Mereka yang tidak mahu mengikut peraturan dan memberi masalah ini sewajarnya dihukum kerana ianya akan menyusahkan orang lain. Amaran sebegini rasanya akan mengingatkan pengunjung BNM supaya mengikut peraturan yang ditetapkan. Namun, notis mengenai peraturan tersebut perlulah dikongsi lebih awal.


Selain itu, BNM juga perlu faham kebanyakkan daripada mereka yang berbaris membeli syiling peringatan bukannya collector. Ada diantara mereka itu adalah runner, dealer, investor dan juga speculator yang cuba mengaut keuntungan daripada aktiviti jualan syiling peringatan. Mereka membeli syiling dengan harapan untuk mengaut keuntungan segera daripada collector yang tidak dapat berbaris pada hari jualan. Penjualan syiling peringatan sudah mereka mulakan sebaik sahaja BNM mengumumkan siri baru akan keluar. Ini adalah perkara biasa didalam mana-mana penjualan syiling peringatan diseluruh dunia tetapi pihak kami berharap BNM akan turut melihat perkara ini ketika membuat keputusan untuk jualan syiling peringatan dimasa hadapan.

Terima kasih kepada rakan-rakan yang memberi pandangan dan idea untuk artikel ini. Jika anda ada pandangan yang lain, sila kongsikan diruangan komen.