Saturday, April 19, 2014

Sama tapi tak serupa

Semalam di blog saya yang satu lagi, saya kongsikan berita 50 sen 1968 Milled edge dijual pada harga RM19,942 didalam acara lelongan yang di adakan di Singapura, Collectibles Auction Asia ke-3. Kalau orang yang melihat dan membaca itu tak kenal atau tak punya ilmu numismatik mesti dia kata syiling itu adalah sama. Hakikatnya, rupanya mungkin sama tapi tepinya tak serupa.

50 sen 68

Apabila saya kongsi berita tersebut semalam, maka bermulalah episod, "saya ada duit syiling yang sama 50 sen milled edge". Anda boleh lihat berapa ramai orang yang berangan-angan mat jenin nak jual syiling 50 sen 1968 pada harga yang sama. Semuanya seolah-olah orang yang terdesak perlukan wang segera tanpa membaca artikel yang saya kongsikan didalam post tersebut. Didalam artikel itu, saya sudah terangkan mengenai apa itu Milled Edge dan Security edge serta duit syiling tersebut adalah gred yang terbaik dalam rekod NGC, Numismatic Guaranty Corporation, pihak ketiga yang membuat servis mengred duit syiling.

Nak bagi penerangan pada orang-orang terdesak macam ni bagi saya membuang masa. Saya hampir tiap hari ditanyakan soalan mengenai 50 sen 1967, 1968 dan 1969 ini. Semua mereka ini ingat duit syiling yang mereka ada (50 sen berparit/berlurah/belah tepi) itu adalah berharga mahal. Mungkin akal mereka ini tidak boleh berfikir secara logik. Jika ramai orang dah cakap yang mereka ada duit syiling yang sama, takkanlah duit itu berharga mahal?

Rupanya mungkin dilihat sama "50 sen 1968" tetapi gred dan juga tepi syiling itu adalah jauh berbeza. Milled Edge itu bermaksud tepi duit syiling yang bergerigi/bergaris-garis. Tahun yang sama tidak bermaksud duit syiling tersebut mempunyai harga yang sama. Anda boleh baca dengan lebih lanjut mengenai duit syiling 50 sen 1967, 1968 dan 1969 di dalam artikel; Maklumat mengenai duit syiling 50 sen 67, 68 & 69.

Orang-orang macam ini hanya terdesak nak dapatkan wang sahaja. Nak dapatkan wang kita kena belajar, kena ada ilmu serta kena rajin membaca. Saya banyak kali terfikir untuk berhenti menulis didalam blog ini kerana penat menjawab soalan yang jawapannya telah saya kongsi didalam blog saya. Untuk bahan bacaan berbentuk ilmiah seperti blog Malaysia Coin, kebanyakan rakyat Malaysia hanya membaca tajuk artikel sahaja, isi kandungan tu hanya sedikit yang membacanya. Ramai rakyat Malaysia yang lebih suka membaca cerita mengenai seks, hiburan dan juga cerita-cerita khurafat seperti cerita hantu, jin dan sebagainya.

Jika anda ada duit syiling 50 sen 1968, lihat dahulu tepinya, rupanya sama tapi tepinya tak serupa.