Monday, October 10, 2016

Syiling Peringatan Emas Millennium Tahun 2000

Duit syiling peringatan emas tahun 2000 (Malaysia Commemorative Millennium Gold Coin) dilancarkan pada 23 Disember 1999 oleh Mantan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad. Syiling yang dibuat sempena memperingati kedatangan alaf baru ini mempunyai nilai muka RM500 dan diperbuat daripada emas tulen 999.9 dengan kualiti pruf.

Ketika ianya dilancarkan pada tahun 1999, ianya dijual pada harga RM2,000 setiap satu dan jumlah tempaannya adalah sebanyak 10,000 keping. Namun, ramai rakan-rakan pengumpul duit lama yang memberitahu jumlah tempaan syiling sebenar adalah sangat sedikit berbanding dengan jumlah tempaan yang dibenarkan oleh Bank Negara Malaysia.

millennium coin

Pada bahagian hadapan duit syiling ini, dihiasai dengan motif sirih junjung, kelengkapan tradisional Melayu bagi menyambut tetamu. Dua bilah kerisnya melambangkan kesediaan negara menghadapi cabaran di alaf baru serta glob dan neutron yang mencerminkan negara sedang memacu ke arah era baru dengan berlandaskan teknologi maklumat dalam persekitaran yang lebih global. Ianya turut dihiasi dengan perkataan "MENUJU KEGEMILANGAN ABAD KE 21" didalam tulisan rumi dan juga jawi.

500 Ringgit

Pada bahagian belakangnya memaparkan Jata Negara Malaysia dengan nilai denominasi "500 RINGGIT MALAYSIA" beserta tulisan "SYILING PERINGATAN TAHUN 2000". Syiling emas itu dimuatkan dalam bekas pewter yang dihiasi corak awan larat berkerawang dan replika duit syiling emas kijang pada penutupnya.

Duit syiling peringatan emas Millennium Tahun 2000
RM500 emas

SPESIFIKASI TEKNIKAL:
Tahun: 1999
Komposisi Logam: Emas 999.9
Kualiti: Pruf
Berat: 25.00 g
Diameter: 35.00mm
Tempaan: 10,000 keping.
Penempa: Mariwasa Kraftangan Sdn Bhd
Nilai muka: 500 Ringgit Malaysia
Harga Jualan BNM: RM2,000
Harga pasaran semasa: (Rujuk: Senarai Harga Syiling Peringatan Emas)

Duit syiling ini juga adalah duit syiling emas kedua terberat didalam senarai duit syiling peringatan Malaysia. Duit syiling emas Malaysia yang terberat adalah duit syiling emas konservasi 500 ringgit Cipan. 

Untuk senarai lengkap Harga duit lama Malaysia (syiling edaran, syiling peringatan dan coincard), anda boleh mencari maklumat mengenainya didalam artikel ini; Senarai lengkap harga syiling edaran & syiling peringatan Malaysia.