Jual Duit Syiling Lama Boleh Jadi Kaya

Ada orang kata jual duit syiling lama boleh jadi kaya, boleh jadi jutawan. Harga duit syiling 10 sen 1972 boleh mencecah sehingga RM50,000 sekeping. Itu belum lagi termasuk dengan duit penjajah yang pernah digunakan di Malaysia yang boleh mencecah sehingga sejuta ringgit sekeping, lebih-lebih lagi yang berusia lebih dari 100 tahun. Duit syiling 50 sen berparit (belah tepi) sebiji boleh dijual sehingga RM12,000 sekeping. Itu antara ayat-ayat yang saya jumpa di dalam beberapa blog yang menceritakan mengenai duit lama. Kebanyakan daripada blog-blog tersebut bukan memberi tumpuan kepada cerita mengenai duit syiling sahaja. Apa sahaja cerita yang boleh membawa orang masuk ke dalam blog mereka, mereka akan buat, walaupun cerita itu hanya dibuat-buat oleh mereka.

10 sen 1972

Sebagaimana yang saya katakan seperti sebelum ini, antara tujuan utama saya membuat blog ini adalah untuk mendidik mereka yang bukan pengumpul duit lama berkenaan harga yang betul untuk syiling lama Malaysia. Harga-harga mengarut seperti yang dipaparkan di dalam blog tersebut atau dimana-mana sahaja, sepatutnya tidak akan terjadi jika mereka faham tentang hobi ini. Harga tidak masuk akal yang digembar-gemburkan itu pada kebiasaannya hanya diperkatakan oleh mereka yang tidak tahu tentang nilai duit lama Malaysia, mereka yang bukan kolektor tetapi mempunyai "duit lama". Ini diburukkan lagi dengan media tempatan (suratkhabar) yang malas untuk membuat kajian terlebih dahulu sebelum menerbitkan berita mengenai duit lama. Selain cuba mensensasikan sesuatu cerita itu dengan harga berjuta, seolah-olah mengumpul duit lama di Malaysia ini boleh jadi jutawan.

Betulkah jual duit syiling lama boleh jadi jutawan?
Memang boleh, jika anda boleh serius menjadi penjual duit lama. Bukan senang untuk menjadi penjual duit lama jika anda tidak ada ilmu tetapi menjadi jutawan tidak mustahil jika anda ada disiplin. Namun, jika anda ingin menjualnya pada harga hilang akal seperti yang saya sebut di atas, rasanya anda tidak akan pergi kemana.

Ada tahun duit syiling Malaysia tidak dikeluarkan BNM
Ada sesetengah tahun yang mana duit syiling Malaysia tidak dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia. Ramai yang bukan kolektor beranggapan, BNM mengeluarkan duit syiling setiap tahun. Namun, tidak ramai yang tahu, BNM hanya mengeluarkan duit syiling apabila stok duit syiling di dalam pasaran (circulation) sudah berkurangan. Duit syiling 10 sen, 20 sen atau 50 sen 1972 tidak pernah wujud. Jika anda ada melihatnya di dalam blog-blog atau iklan di mana-mana, ianya adalah duit syiling palsu atau yang telah di ubah mengunakan perisian komputer. Tujuan mereka adalah untuk menipu dan mencari keuntungan. Pelik tetapi benar, ada ramai orang kaya di Malaysia ini yang sudi menjadi mangsa mereka sebab duit syiling tahun 1972 itu kononnya "rare" dan sukar dicari. Anda boleh memeriksa duit syiling yang tidak dikeluarkan BNM disini; Duit tiada keluaran mengikut tahun.

Duit berumur lebih 100 tahun mesti berharga mahal
Umur sesuatu syiling tersebut bukanlah penentu kepada harganya. Jika syiling tersebut banyak terdapat dipasaran, siapa yang ingin membelinya jika harganya hingga berjuta ringgit? Ramai bukan kolektor yang salah faham berkenaan perkara ini. Ada juga yang hanya memandang kepada tahun duit syiling tersebut dibuat, tanpa memikirkan terlebih dahulu jika duit syiling tersebut tulen atau tidak. Saya akan menerangkan perkara-perkara yang menentukan harga duit syiling menjadi mahal kemudian.

Kesimpulannya, jika anda mempunyai ilmu, rasanya tiada masalah untuk anda menjadi kaya dengan menjual duit syiling. Jika tidak, kenapa ada ramai orang yang membuka kedai menjual duit lama? Namun, untuk menjadi jutawan didalam sekelip mata menjual duit lama di Malaysia ini adalah sesuatu yang hampir mustahil untuk berlaku. Harga duit syiling di Malaysia tidak seperti di Amerika Syarikat yang mempunyai lebih ramai pengumpul duit lama. Di Malaysia, jumlah pengumpul duit lama mungkin tidak sampai 10,000 orang. Kita perlukan lebih banyak pengumpul duit lama untuk turut serta didalam hobi ini untuk menjadikan ianya sehebat Amerika.


5 comments:

  1. tehr said...:

    betul tu, bro
    tak boleh nak harap jadi kaya sekelip mata
    tapi kalau nak susah, senang je

  1. zool said...:

    hm.. pengumpul duit syiling lama ni memang hebat.. memang hebat ilmu tuan/puan ni....

  1. beckhrooy said...:

    pernah dengar ttg ini, tp jgn taksub sgt cari syiling lama pula lps ni haha

  1. Anonymous said...:

    harga ni ikut mintage dia dan demand dia di market ni,bukan ikut tahun,kalau ikut tahun,i pun ada duit zaman portugese di melaka,tu dah 200-300 tahun loh,mungkin lebih lama oh,saya dah jadi billionaire :)

  1. Nevermore Me said...:

    kalau ada duit syiling tahun 1972 tu mmang tipu la..bnm xkluar kan duit syiling tahun 1972 sbab kilang duit syiling terbakar..harap maklum..

 
Malaysian Coin © 2011 | Designed by Chica Blogger.