Khamis, 23 Ogos 2012

Duit Syiling lama Malaysia

Malaysia mempunyai banyak duit syiling lama yang digunakan sejak zaman kesultanan melayu lama, penjajahan british sehinggalah kita merdeka. Ada diantaranya mempunyai nilai yang tinggi kerana agak sukar ditemui dan ada diantaranya mempunyai harga yang murah walaupun sudah berusia lebih 100 tahun. Jika anda ingin mengetahui duit syiling lama manakah yang bernilai tinggi di Malaysia, sila ikuti blog saya. Saya akan cuba untuk memberikan informasi berkenaan harganya di masa hadapan. Cuma perlu mengambil masa untuk menulis artikel yang berkenaan. Namun, sebaiknya anda perlu ada sebuah buku rujukan, sama ada daripada Steven Tan atau KN Boon. Ini untuk memudahkan anda mempelajari tentang duit yang pernah digunakan di Malaysia. Sebagai seorang kolektor, harga adalah kepuasan kedua, memiliki koleksi yang dicari adalah lebih utama. Senarai duit syiling lama Malaysia yang saya tulis disini adalah berdasarkan kepada apa yang dicari oleh pembaca, ada banyak lagi duit lama di luar sana yang tidak dimasukkan di dalam artikel ini.

Syiling lama

Duit Syiling lama Malaysia:

Pillar dollar-Vtraque Vnum-(1732-1773)
Pillar dollar
Ramai daripada bukan kolektor yang mempunyai syiling ini mengelarnya sebagai duit syiling "Vtraque Vnum" kerana tulisan di belakangnya. Perkataan "Vtraque Vnum" membawa maksud dunia lama dan baru, kedua-duanya menjadi satu. Pada bahagian hadapannya tertera D G HISPAN ET IND REX yang bermaksud "Dengan rahmat tuhan, Raja Sepanyol dan Hindia Barat". Dikalangan pengumpul duit lama, ianya lebih dikenali sebagai "pillar dollar" kerana dua tiang "Pillars of Hercules" pada bahagian belakang syiling tersebut. Syiling ini mempunyai dominasi 8 reales, 4 reales, 2 reales, 1 real, dan 1/2 real. Namun, kebiasaanya di tanah melayu, kita akan menemui 8 reales. Cara mudah untuk mengetahui jika anda memiliki syiling yang tulen ialah melihat sisinya, jika ia mempunyai rekabentuk daun laurel yang berulang-ulang, ianya adalah tulen. Sesuatu yang sukar untuk ditiru. Syiling ini diperbuat daripada perak.

B.Balemark series-Prince of Wales-VEIC-(1786-1828)
VEIC coin
Syiling ini mempunyai lambang yang tertulis VEIC di muka depannya, lambang Syarikat Hindia Timur British. VEIC bermaksud "Vnited East India Company" atau Syarikat Hindia Timur British. Syiling ini mula digunakan di Pulau Pinang dalam tahun 1887 yang dibawa masuk oleh Sir Francis Light. Pada Bahagian belakang duit syiling ini tertera tulisan arab "Perrinsa Jezirah ab-Wailis" yang bermaksud "Prince of Wales Island". Tulisan juga berbeza-beza mengikut denominasi syiling tersebut. Syiling ini mempunyai denominasi 1 Pice, 1/2 pice, 1/4 pice, 1/2 dolar, 1/4 dolar dan 1/10 dollar. Syiling ini diperbuat daripada tembaga (pice) dan juga daripada perak (dolar) dan ditempa di Calcutta, India dan Royal Mint, London. Syiling yang mengunakan lambang balemark VEIC yang serupa juga digunakan di Sumatra dengan tulisan yang berbeza dibelakangnya, biasanya tulisan jawi "keping".

Coat of Arm Series-Prince of Wales-(1786-1828)
Prince of Wales
Syiling ini mempunyai lambang jata Syarikat Hindia Timur British dihadapannya, dua ekor singa dengan tulisan "AUSPICIO REGIS ET SENATUS ANGLIAE" yang bermaksud Dengan Perintah Raja dan Parlimen England. Dibelakangnya kelihatan gelungan bunga lily dengan tulisan jawi ditengahnya yang membawa maksud "Pulau Pinang". Syiling ini mempunyai denominasi 2 pice, 1 pice dan 1/2 pice. Ianya di perbuat daripada tembaga dan ditempa di Madras Mint dan juga Royal Mint.

Sarawak White Rajah-Brooke (1841-1946)
Rajah Brooke
Keluarga Brooke mula memerintah Sarawak apabila Sir James Brooke diberikan sebidang tanah yang luas selepas beliau membantu Sultan Brunei menghalang pemberontakan pada tahun 1840 di Sarawak. Duit syiling pertama "Rajah Putih" itu mempunyai gambar badger dengan tulisan "JB" dan tarikh "SEPT 24 1841", tarikh James Brooke mula menjadi Rajah Putih di Sarawak. Syiling-syiling lain selepas dari itu tertera gambar "Rajah Putih". Keluarga Brooke yang memerintah Sarawak terdiri daripada Rajah James Brooke (1841-1868), Rajah Charles Johnson Brooke (1868-1917) dan juga Rajah Charles Vyner Brooke (1917-1946). Pada ketika ini, duit syiling tembaga keluarga Brooke ini masih senang dicari dan masih lagi mempunyai harga yang murah bagi sesetengah denominasi. Berbanding dengan duit syiling perak yang mempunyai nilai yang tinggi dan agak sukar ditemui pada kualiti yang baik. Untuk harga dan nilai terkini, anda boleh membacanya disini: White Rajahs of Sarawak coins.

British North Borneo (1885-1946)
Pergo Et Perago
Borneo Utara adalah naungan British di bawah Syarikat Berpiagam Borneo Utara (North Borneo Chartered Company). Ianya terletak di hujung timur laut Pulau Borneo, Sabah. Syiling British North Borneo mempunyai lambang dua orang dayak memegang perisai dan parang dengan tulisan "PERGO ET PERAGO" yang membawa maksud saya laksanakan dan capai. Syiling ini mempunyai denominasi ½ cent, 1 cent, 2½ cents, 5 cents dan 25 cents. Syiling 25 cents 1929H sahaja yang diperbuat daripada perak dan mempunyai nilai yang agak tinggi berbanding syiling lain. Untuk harga dan nilai terkini, anda boleh membacanya disini: British North Borneo coins.

Straits Settlements
Syiling ini mula digunakan di negeri-negeri selat (Straits Settlements) pada tahun 1886. Negeri-negeri Selat ditubuhkan pada tahun 1826 sebagai sebahagian daripada tanah jajahan British East India Company. Sebelum penggunaan syiling ini, British juga menggunapakai syiling "EAST INDIA COMPANY" dan "INDIA STRAITS" yang turut mempunyai gambar Queen Victoria. Negara-negara selat terdiri daripada Melaka, Dinding (Perak), Penang (Prince of Wales Island) dan juga Singapore.

i. Queen Victoria (1886-1901)
Queen Victoria
Syiling ini mempunyai denominasi ¼ cent ½ cent, 1 cent, 5 cents, 10 cents, 20 cents dan 50 cents. Syiling yang bernilai 1 cent ke bawah diperbuat daripada tembaga (copper) dan 5 cents ke atas diperbuat daripada perak. Syiling-syiling ini ditempa di Royal Mint, UK. Untuk harga & nilai terkini, anda boleh membacanya di: Straits Settlements Queen Victoria Coins.

ii. King Edward VII (1901-1910)
King Edward VII
Syiling ini mempunyai denominasi ¼ cent ½ cent, 1 cent, 5 cents, 10 cents, 20 cents, 50 cents dan 1 dollar. Syiling yang bernilai 1 cent ke bawah diperbuat daripada gangsa (bronze) dan 5 cents ke atas diperbuat daripada perak. Syiling-syiling ini ditempa di Royal Mint, UK. Untuk harga & nilai terkini, anda boleh membacanya di: Straits Settlements King Edward VII Coins.

iii. King George V (1910-1936)
King George V
Syiling ini mempunyai denominasi ¼ cent ½ cent, 1 cent, 5 cents, 10 cents, 20 cents, 50 cents dan 1 dollar. Syiling yang bernilai 1 cent ke bawah diperbuat daripada gangsa (bronze) dan 5 cents ke atas diperbuat daripada perak. Ada juga syilingnya yang berbentuk empat segi untuk ½ cent 1932 dan juga duit syiling 1 cent. Begitu juga dengan duit syiling 5 cents tahun 1920, ada yang diperbuat daripada copper-nickel. Syiling-syiling ini ditempa di Royal Mint, UK. Untuk harga & nilai terkini, anda boleh membacanya di: Straits Settlements King George V Coins.

British Trade Dollar (1895-1934)
Trade Dollar
Pada bahagian hadapan syiling ini menggambarkan Britannia berdiri di pantai, memegang tombak trident dan satu lagi tangannya memegang perisai British, dibahagian belakangnya kelihatan kapal perdagangan belayar. Pada bahagian belakangnya kelihatan reka bentuk arabesque dengan tulisan Cina yang membawa maksud "panjang umur" di tengah-tengah serta nilai denominasi dalam dua bahasa; Cina dan Melayu (jawi). Ianya digunakan sebagai medium perdagangan di Negeri-negeri Selat dan China. Untuk harga & nilai terkini, anda boleh membacanya di: British Trade Dollar Coin price.

British Malaya-King George VI (1936-1952)
King George VI
Lembaga Pesuruhjaya Mata Wang Malaya ditubuhkan pada bulan Oktober 1938 dan mula mengeluarkan mata wang pada tahun 1939. Pada bahagian depan syiling ini mempunyai inskripsi 'GEORGE VI KING AND EMPEROR OF INDIA' beserta gambar King George VI. Pada bahagian belakangnya tertera tulisan 'COMMISSIONERS OF CURRENCY MALAYA' dan nilai denominasi syiling tersebut ditengah. Syiling ini mempunyai denominasi ½ cent, 1 cent, 5 cents, 10 cents, 20 cents, 50 cents dan 1 dollar. Untuk harga & nilai terkini, anda boleh membacanya disini: Malaya & British Borneo King George Vi coins.

Malaya & British Borneo-Queen Elizabeth II (1953-1967)
Queen Elizabeth II
Syiling ini digunakan di Malaya, Singapura, Sarawak, Borneo Utara British dan Brunei dari tahun 1953 sehingga 1967. Mata wang itu telah dikeluarkan oleh Lembaga Pesuruhjaya Mata Wang Malaya dan British Borneo. Walaupun Malaysia mula mengeluarkan duit syilingnya sendiri pada 12 June 1967, Syiling Malaya dan British Borneo terus sah sehingga 16 Januari 1969. Untuk harga & nilai terkini, anda boleh membacanya disini; Malaya & British Borneo Queen Elizabeth II coins.

Duit Syiling Parlimen Malaysia (1967-1988)
syiling lama
Siri pertama duit syiling Malaysia hanya mula diperkenalkan pada 12 Jun 1967 dengan nilai 1 sen, 5 sen, 10 sen, 20 sen, 50 sen dan diikuti oleh pengenalan duit syiling 1 ringgit (yang menggunakan simbol "$" duit syiling terbesar dalam siri ini) pada 1 Mei 1971. Duit syiling siri pertama juga dikenali sebagai "siri Parlimen" dikalangan pengumpul duit lama kerana gambar parlimen di belakang syiling tersebut. Anda boleh membaca lebih lanjut mengenainya disini; Duit Syiling Malaysia siri Pertama.

Duit Syiling Bunga Raya Malaysia (1989-2011)
duit siri kedua
Duit Malaysia siri kedua diperkenalkan ke dalam edaran pada 4 September 1989 dengan tradisi Malaysia sabagai ciri-ciri reka bentuk/tema. Beberapa perubahan telah dilakukan termasuk Bunga Raya, bunga kebangsaan Malaysia, di bahagian hadapan dan gambaran item budaya Malaysia di bahagian sebaliknya. Pengumpul duit syiling Malaysia merujuk duit syiling ini sebagai "Siri Bunga Raya". Sebenarnya, Bank Negara Malaysia mengeluarkan ini sebagai "Siri artifak Budaya". Denominasi dikeluarkan adalah 1, 5, 10, 20, 50 sen dan 1 ringgit. Anda boleh membaca lebih lanjut mengenainya disini; Duit Malaysia siri kedua.

PS: Komen untuk artikel ini ditutup, sila ke entri lain untuk komen. TQ