Jumaat, 22 Jun 2018

Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus Gabenor BNM yang baru

Kementerian Kewangan hari ini telah mengumumkan mengenai perlantikan Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus sebagai Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) yang baru berkuatkuasa pada 1 Julai 2018 hingga 30 Jun 2023. Tahniah kepada Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus sebagai Gabenor BNM ke-9.

Gabenor BNM

YAB Perdana Menteri Tun Dr Mahathir telah mengemukakan cadangannya pada 18 Jun 2018 kepada Yang di-Pertuan Agong bahawa Datuk Nor Shamsiah dilantik sebagai Gabenor BNM selama tempoh lima tahun berkuatkuasa mulai 1 Julai 2018 hingga 30 Jun 2023.

Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 19 Jun 2018 telah memperkenan cadangan YAB Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk melantik Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus sebagai Gabenor BNM yang baharu.

Datuk Nor Shamsiah memulakan kerjayanya di BNM pada tahun 1987. Beliau pernah dilantik sebagai Penolong Gabenor Bank Negara bermula dari tahun 2004 hingga 2010.

Beliau adalah Timbalan Gabenor BNM bermula dari 16 November 2010 sehingga 2016. Baru-baru ini beliau berkhidmat sebagai Penolong Pengarah Bahagian Kewangan dan Pasaran Modal Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

Sebagai Timbalan Gabenor, Datuk Nor Shamsiah bertanggungjawab ke atas penyeliaan perbankan, insurans dan Takaful, perisikan kewangan dan penguatkuasaan, pengurusan bakat, kewangan dan perkongsian perkhidmatan di BNM.

Datuk Nor Shamsiah merupakan seorang lepasan University of South Australia dengan Ijazah Sarjana Muda Sastera dalam bidang Perakaunan dan seorang Akauntan Bertauliah (CPA).

Tan Sri Muhammad Ibrahim telah meletak jawatan sebagai Gabenor BNM pada 6 Jun 2018. Khabar angin mengatakan perletakan jawatan beliau adalah disebabkan oleh isu pembelian tanah oleh BNM daripada pentadbiran terdahulu dan penggunaan hasil jualan untuk membayar balik hutang 1Malaysia Development Bhd (1MDB).