Jumaat, 8 Jun 2018

Cerita wang kertas baru untuk kerajaan baru

Pada penghujung bulan Mei yang baru saja berakhir, tular di Facebook mengenai rekaan wang kertas baru Malaysia yang dikatakan dikeluarkan untuk memastikan perompak duit negara tidak dapat menggunakannya lagi dan memudahkan pihak berkuasa mengesan mereka-mereka yang mencuri wang negara.

wang kertas baru

Wang kertas yang pelbagai warna dan denominasi itu mendapat pujian dari netizen di atas rekaannya yang menarik. Terdapat wang kertas RM1 berwarna biru, RM5 berwarna hijau, RM10 berwarna merah dan RM1000 berwarna ungu. Ada juga laman Facebook yang berkongsi wang kertas RM50 Komanwel sebagai sebahagian daripada wang kertas baru untuk kerajaan baru.

Ramai yang tidak tahu, rekaan grafik wang kertas tersebut direka oleh Muaz Muhammad dari Seniyati Studio dan rekaan konsep matawang itu adalah salah satu projek tugasan subjek rekaan grafik semasa dia menuntut di Universiti Sains Malaysia. Rekaan konsep matawang telah dimuat naik pada tahun 2015 dan ianya pernah tular pada waktu itu.

Rekaan wang kertas

Gambar asal grafik wang kertas tersebut mempunyai nama perekanya tetapi telah dipotong oleh para blogger dan laman Facebook untuk memastikan pembaca mereka teruja dan menyebarkan cerita tersebut dengan pantas.

Cerita penuh mengenai Cerita wang kertas baru untuk kerajaan baru, boleh baca di blog rakan blogger, Menukar mata wang : Cadangan Rakyat atau cadangan Perdana Menteri?

Cerita-cerita numismatik palsu sebegini amat diminati oleh para blogger dan laman Facebook yang mengejar pengunjung, like dan share.

Para pembaca cerita sebegini kebanyakkannya tidak akan peduli cerita sebenar kerana cerita sebenar tidak sesensasi cerita palsu.

Jika anda ingat suatu waktu dahulu, para blogger dan laman Facebook ini mensensasikan cerita mengenai 20 sen 1988 berharga RM38,000.

Sehingga sekarang masih ramai yang percaya ianya berharga sedemikian, walaupun pelbagai usaha telah dijalankan memaklumkan mengenai cerita yang sebenar.

Tabiat malas membaca mencari ilmu sangat menebal dikalangan rakyat Malaysia.

Semoga dengan kerajaan baru, rakyat Malaysia boleh mengubah sikap baca dan siasat dahulu kebenaran sesuatu cerita sebelum menyebarkannya.