Isnin, 2 April 2018

Perjanjian Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu 1957

Di belakang wang kertas peringatan RM600 yang juga Wang kertas terbesar di dunia terdapat gambar upacara menandatangani Perjanjian Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu yang di adakan pada 5 Ogos 1957. Perjanjian ini menjadi bukti perlembagaan yang bersejarah bagi kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu.

Perjanjian Kemerdekaan

Wang kertas peringatan ini merupakan tanda penghormatan terhadap sumbangan Majlis (kemudiannya dikenali sebagai Persidangan) Raja-Raja yang merintis jalan ke arah merealisasikan kemerdekaan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957.


Perjanjian tersebut yang mengisytiharkan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Tertinggi Persekutuan Tanah Melayu telah ditandatangani antara pihak Majlis Raja-Raja yang terdiri daripada Raja-raja Melayu dari Johor, Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Selangor dan Terengganu dengan Sir Donald MacGillivray, Pesuruhjaya Tinggi Persekutuan Tanah Melayu, yang mewakili Queen Elizabeth II.

Sembilan orang Raja-Raja Melayu yang tertera pada wang RM600:
  • Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Johor Tunku Sir Ismail Ibni Almarhum Sultan Sir Ibrahim Al Mahsyur.
  • Duli Yang Amat Mulia Sultan Pahang Sultan Sir Abu Bakar Riayatuddin Al Muazzam Shah Ibn Almarhum Sultan Sir Abdullah Al Muhtassim Billah Shah.
  • Duli Yang Amat Mulia Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Sir Abdul Rahman Ibni Almarhum Tuanku Sir Muhammad.
  • Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sir Hisamuddin Alam Shah AlHaj Ibni Almarhum Sultan Sir Ala'eddin Sulaiman Shah.
  • Duli Yang Amat Mulia Sultan Kedah Sultan Sir Badlishah Ibni Almarhum Sultan Sir Abdul Hamid Halim Shah.
  • Duli Yang Maha Mulia Raja Perlis Tuanku Sir Syed Putra Ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail.
  • Duli Yang Maha Mulia Sultan Kelantan Sultan Sir Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Muhammad VI.
  • Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Sultan Sir Yusuf Izzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Sir Abdul Jalil Nasiruddin Shah.
  • Duli Yang Maha Mulia Paduka Sri Sultan Terengganu Sultan Yussuf 'Izzuddin Shah ibni al-Marhum Sultan Abdul Jalil Radziallah Hu-'an-hu.

Perjanjian Kemerdekaan

Upacara bersejarah yang berlangsung di King's House, Kuala Lumpur (Carcosa Seri Negara, rumah rasmi Pesuruhjaya Tinggi Persekutuan Tanah Melayu) ini menyaksikan seramai 15 orang penandatangan utama yang terdiri daripada Pesuruhjaya Tinggi British ke Tanah Melayu, lapan orang Raja-raja Melayu, Tengku Mahkota Johor dan lima orang Pembesar yang berkuasa dari Negeri Sembilan (selain daripada Yang di-Pertuan Besar) serta saksi-saksi kepada penandatangan-penandatangan telah menandatangani perjanjian ini.

Pen merdeka

Perjanjian ini telah ditandatangani dalam 40 salinan, 20 salinan dalam Bahasa Melayu dan 20 lagi dalam Bahasa Inggeris dengan menggunakan pena khas bertulis Federation of Malaya Agreement 1957. 2 salinan dihantar kepada Kerajaan British, Kerajaan Persekutuan pula menyimpan 2 salinan, selebihnya setiap negeri dalam persekutuan menerima satu salinan termasuk Melaka dan Pulau Pinang, bagi Negeri Sembilan diserahkan enam salinan memandangkan negeri tersebut mempunyai institusi tersendiri.

Raja-Raja Melayu

Menurut Artikel 3 perjanjian ini, menyatakan bahawa:
"Mulai 31 Ogos 1957, Negeri-negeri Melayu dan Negeri-negeri Selat akan ditubuhkan menjadi satu Persekutuan Melayu baru yang dinamakan Persekutuan Tanah Melayu atau dalam Bahasa Inggerisnya, The Federation of Malaya."

Oleh itu dengan sendirinya Perjanjian ini telah memansuhkan Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948, dan dengan itu berakhirlah kuasa dan kedaulatan Baginda Queen ke atas Melaka dan Pulau Pinang. Dan dengan itu juga segala kuasa dan jurisdiksi baginda ke atas Persekutuan Tanah Melayu berakhir.

Dua puluh enam hari kemudiannya, Perjanjian ini mula berkuatkuasa ke seluruh Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957 apabila Duke of Gloucester dengan rasminya mengugurkan kuasa dan wibawa penjajah British.

Ini telah disambut dengan lantang dan megah oleh laungan Merdeka oleh Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman, dalam upacara Pengisytiharan Kemerdekaan 1957 yang bergemuruh dan bersemangat, di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.

Sumber:
  • www.arkib.gov.my
  • www.nst.com.my
  • www.muziumnegara.gov.my