Thursday, March 1, 2018

Jualan RM60 & coincard Agong XV di Sasana Kijang bermula 5 Mac

Semalam Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan Jualan wang peringatan RM60 bersempena dengan Ulang Tahun Ke-60 Perjanjian Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu dan Coincard Pertabalan Yang di-Pertuan Agong XV akan mula diadakan pada 5 Mac 2018 di Muzium dan Galeri Seni Bank Negara Malaysia.

Jualan RM60

Ini bermakna anda boleh pergi ke Sasana Kijang bermula 5 Mac 2018 dan membeli koleksi ini pada harga jualan BNM.

Untuk makluman, wang peringatan RM60 bersempena dengan Ulang Tahun Ke-60 Perjanjian Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu dijual pada harga RM120 sekeping oleh BNM. Sebanyak 60,000 keping sahaja dicetak. Semasa ianya baru sahaja dijual, harganya di pasaran numismatik mencanak naik sehingga RM220 sekeping.

Syiling Peringatan 1 Ringgit emas nordic (coincard) Pertabalan Yang di-Pertuan Agong XV pula dijual oleh BNM pada harga RM11 sekeping dan harganya di pasaran numismatik mencanak naik sehingga RM30 sekeping.

Setakat artikel ini ditulis, tidak diketahui jika kedua-dua wang peringatan itu boleh dibeli di cawangan BNM yang lain. Namun, anda boleh menghubungi sendiri pejabat BNM yang terdekat dengan anda untuk mendapatkan maklumat.

Semalam juga pengambilan tempahan wang peringatan telah ditutup. Mengikut maklumat yang diberikan oleh BNM di laman web mereka, wang peringatan yang tidak diambil akan ditawarkan kepada pembeli yang berjaya dalam senarai simpanan undian. Pembeli yang berjaya akan dimaklumkan melalui pesanan SMS dari 2 hingga 22 Mac 2018.