Sunday, February 4, 2018

Soalan Lazim Tempahan Online Wang Peringatan

Berikut merupakan soalan-soalan lazim yang kerap ditanya oleh orang ramai berkenaan dengan Tempahan dalam talian (Online) Wang Peringatan yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM). Soalan dan jawapan ini dikongsi oleh BNM semasa mengumumkan tempahan online wang peringatan.

Soalan Lazim bnm


TEMPAHAN DALAM TALIAN UNTUK WANG PERINGATAN YANG DIKELUARKAN OLEH BANK NEGARA MALAYSIA
SOALAN LAZIM


Tempahan

1. Bagaimanakah cara untuk membuat tempahan?
Tempahan boleh dibuat di https://duit.bnm.gov.my

2. Saya tidak mempunyai akses kepada Internet. Bagaimanakah cara untuk saya membuat tempahan?
Anda boleh meminta bantuan orang lain untuk membuat tempahan bagi pihak anda. Namun, anda perlu mengambil sendiri wang peringatan yang ditempah. Wakil TIDAK dibenarkan.

3. Adakah Muzium dan Galeri Seni (MAG) terletak di ibu pejabat Bank Negara Malaysia di Kuala Lumpur?
Tidak, MAG terletak di bangunan Sasana Kijang, kira-kira 200 meter dari ibu pejabat Bank Negara Malaysia.

4. Adakah saya boleh membuat tempahan untuk lebih daripada seorang?
Ya, anda boleh membuat tempahan untuk lebih daripada seorang. Namun, setiap tempahan hendaklah mengandungi butir peribadi pembuat tempahan berkenaan (nama dan nombor kad pengenalan/pasport). Pengambilan wang peringatan hendaklah dibuat sendiri oleh pembeli yang berjaya. Wakil TIDAK dibenarkan.

5. Adakah terdapat had umur bagi mereka yang berminat membuat tempahan?
Tiada had umur ditetapkan. Namun, pengambilan wang peringatan hendaklah dibuat sendiri oleh pembeli yang berjaya itu. Wakil TIDAK dibenarkan.

6. Bolehkah saya membuat tempahan jika saya tidak mempunyai MyKad?
Bukan warganegara Malaysia boleh menggunakan butiran pasport untuk membuat tempahan. Pembeli yang berjaya perlu menunjukkan bukti pengenalan diri yang sah semasa mengambil wang peringatan.

7. Saya warganegara Malaysia. Bolehkah saya membuat tempahan dengan menggunakan butiran pasport?
Tidak boleh. Warganegara Malaysia hendaklah menggunakan butiran MyKad sahaja. Hanya bukan warganegara Malaysia dibenarkan menggunakan butiran pasport.

8. Terdapat kesilapan dalam tempahan saya. Bolehkah saya menghantar semula tempahan yang telah dibetulkan?
Anda tidak dibenarkan meminda tempahan setelah tempahan dihantar. Oleh itu, sila pastikan tempahan anda betul dan tepat, sebelum menghantarnya.

9. Mengapakah Bank Negara Malaysia memperkenalkan tempahan dalam talian?
Tempahan dalam talian bertujuan memudahkan orang ramai membuat tempahan di mana-mana dan pada bila-bila masa sahaja dalam tempoh tempahan yang ditetapkan, tanpa perlu berada di lokasi jualan.

10. Adakah proses tempahan baharu ini menyusahkan?
Proses tempahan dalam talian yang baharu dan lebih baik ini lebih mudah dan cepat.



Proses Pengundian

11. Bagaimanakah saya boleh memastikan bahawa tempahan saya sudah dimasukkan dalam senarai undian?
Anda boleh menyimpan/mencetak pengesahan tempahan anda selepas selesai menghantarnya.

12. Bagaimanakah saya boleh memastikan bahawa proses undian dibuat secara telus?
Proses undian dibuat dengan bantuan sistem komputer. Keseluruhan proses ini dipantau oleh juruaudit dalam Bank Negara Malaysia untuk memastikan ketelusan proses.


Pengumuman Keputusan Tempahan

13. Bagaimanakah saya boleh mengetahui keputusan tempahan?
Keputusan tempahan atau undian bagi wang peringatan akan diumumkan pada 25 Januari 2018 di www.bnm.gov.my dan di Muzium dan Galeri Seni (MAG) Bank Negara Malaysia serta Pejabat-Pejabat Bank Negara Malaysia di seluruh negara.

14. Bagaimanakah penjualan dibuat sekiranya tempahan yang diterima kurang daripada kuantiti yang dijual?
Sekiranya ini berlaku, semua tempahan wang peringatan berkenaan dianggap berjaya. Wang peringatan selebihnya akan dijual secara runcit di MAG.


Pengambilan Tempahan Yang Berjaya

15. Tempahan saya berjaya. Bilakah saya boleh mengambil wang peringatan tersebut?
Pembeli yang berjaya boleh membayar dan mengambil wang peringatan yang ditempah di lokasi pengambilan yang ditetapkan pada tarikh berikut:
25 Januari 2018 hingga 28 Februari 2018:
 Ulang Tahun Ke-60 Perjanjian Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu
 Ulang Tahun Ke-60 Arkib Negara Malaysia
22 Februari 2018 hingga 28 Februari 2018:
 Pertabalan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XV Sultan Muhammad V

Lokasi pengambilan adalah di Muzium dan Galeri Seni, Bank Negara Malaysia (setiap hari, termasuk hujung minggu dan cuti umum) dan Pejabat-Pejabat Bank di Pulau Pinang, Johor Bahru, Kota Kinabalu, Kuching dan Kuala Terengganu (hari bekerja biasa). Pembeli perlu datang sendiri dan menunjukkan bukti pengenalan diri yang sah (MyKad untuk warganegara Malaysia atau Pasport untuk bukan warganegara Malaysia) untuk mengambil wang peringatan yang ditempah.

16. Untuk pengambilan wang peringatan, bolehkah saya membawa salinan cetak dokumen pengenalan diri sebagai bukti?
Ya, salinan cetak atau bukti pengenalan diri yang asal diterima dalam proses pengambilan wang peringatan. Bukti pengenalan diri HENDAKLAH sama seperti butiran yang dinyatakan dalam tempahan yang dihantar.

17. Saya merupakan warganegara Malaysia. Bolehkah saya mengambil tempahan dengan menggunakan pasport Malaysia?
Tidak boleh. Pasport Malaysia tidak diterima sebagai dokumen pengenalan diri yang sah bagi warganegara Malaysia yang ingin mengambil wang peringatan yang ditempah.

18. Bilakah saya boleh membuat pembayaran?
Pengumuman bagi jualan atau keputusan undian wang peringatan akan dibuat pada 25 Januari 2018 dalam seksyen Notis dan Pengumuman, laman sesawang Bank Negara Malaysia (www.bnm.gov.my). Jika anda pembeli yang berjaya, anda boleh membuat pembayaran semasa mengambil wang peringatan tersebut.

19. Bolehkah saya mengambil wang peringatan bagi pihak pembeli lain yang berjaya?
Tidak boleh. Pembeli yang berjaya perlu mengambil sendiri wang peringatan yang ditempah, dengan membawa bukti pengenalan diri. Pengambilan bagi pihak pembeli yang lain TIDAK dibenarkan.

20. Saya tidak dapat mengambil wang peringatan dalam tempoh masa yang ditetapkan. Bolehkah saya mengambil wang peringatan tersebut pada masa yang lain?
Tidak boleh. Pembeli yang berjaya perlu mengambil sendiri wang peringatan dalam tempoh masa yang ditetapkan. Wang peringatan yang tidak diambil akan dimasukkan dalam senarai rizab wang peringatan.