Ahad, 28 Januari 2018

Mengambil Wang Peringatan di Sasana Kijang, apa yang anda perlu tahu

Bukan semua orang yang memenangi undian tempahan wang peringatan pernah pergi ke Sasana Kijang, ramai yang tak tahu dimana hendak meletakkan kenderaan, dimana perlu pergi dan bagaimana pula dengan cara pembayaran di Sasana Kijang. Apa yang anda perlu tahu tentang mengambil Wang Peringatan di Sasana Kijang?


Sasana

Dimana Sasana Kijang?
Sasana Kijang terletak bersebelahan dengan Memorial Tunku Abdul Rahman dan Open Universiti Malaysia (OUM). Ianya juga terletak tidak jauh daripada bangunan Bank Negara Malaysia di Jalan Dato Onn, Kuala Lumpur.

Apa yang perlu anda bawa?
Jangan lupa Kad pengenalan atau Passport orang yang memenangi tempahan wang peringatan tersebut. Pemenang undian perlu ada semasa mengambil tempahan wang peringatan. Setakat ini tiada maklumat jika boleh membuat surat wakil jika pemenang tidak dapat hadir.

Kurangkan membawa beg untuk masuk ke Sasana Kijang kerana perlu di scan oleh pengawal keselamatan. Jika anda tidak kisah dengan perkara ini, tidak ada masalah.

Adakah Stesen LRT berdekatan Sasana Kijang?
Stesen keretapi atau LRT terdekat adalah Stesen Komuter Bank Negara tetapi anda perlu berjalan mendaki bukit sejauh 1 kilometer untuk sampai ke Sasana Kijang.

Masa terbaik untuk mengambil wang peringatan
Hari pertama dan juga Sabtu dan Ahad yang pertama pada kebiasaannya ramai orang yang akan pergi mengambil wang peringatan mereka. Hari bekerja selain daripada hari mula-mula wang peringatan boleh diambil adalah waktu terbaik kerana orang ramai sudah mula berkurangan.

Tempat letak kenderaan (Parking)
Tempat letak kenderaan (Parking) di Sasana Kijang dikenakan bayaran RM5 sekali masuk pada hari biasa dan percuma pada masa cuti hujung minggu (Sabtu Ahad) dan juga cuti umum. Anda boleh meletakkan kenderaan di Aras LG5 semasa hari biasa.

Ada dua laluan masuk ke Tempat letak kenderaan (Parking) Sasana Kijang:
i. Disebelah atas, boleh kelihatan pondok pengawal, berdekatan dengan pintu masuk Memorial Tunku Abdul Rahman.
ii. Disebelah bawah, berdekatan dengan pintu masuk Open Universiti Malaysia (OUM).

Jika boleh, elakkan untuk meletakkan kenderaan dibahu jalan sekitar Sasana Kijang kerana Dewan Bandaraya Kuala Lumpur biasanya akan menunda atau menyaman kenderaan yang meletakkan kenderaan dibahu jalan.

Tempat mengambil Wang Peringatan
Setakat 28 Januari 2018, tempat mengambil wang peringatan adalah di Auditorium Sasana Kijang bukan di Muzium & Galeri Seni seperti sebelum ini. Jika anda menaiki lif daripada tempat letak kereta, ianya disebelah kiri. Untuk lebih mudah, ianya terletak di tengah-tengah bangunan Sasana Kijang.

Kaedah pembayaran Wang Peringatan
Bayaran pembelian wang peringatan di Sasana Kijang boleh menggunakan wang tunai atau kad kredit. Di pejabat Bank Negara Malaysia di negeri juga sudah boleh menggunakan kad kredit, asalkan mesin kad kredit tidak bermasalah semasa anda datang.

Apa yang ada di Sasana Kijang?
Anda boleh baca artikel kami sebelum ini; Sasana Kijang-Muzium Bank Negara Malaysia.