Ahad, 20 November 2016

Barang biasa jatuh harga, barang rare susah cari

Hari ini kami berkesempatan untuk melawat dan berbual dengan beberapa orang rakan penjual duit lama di Amcorp Mall Flea Market. Pelbagai isu yang kami bualkan, daripada hal berkaitan syiling peringatan, wang kertas, acara lelongan, isu BNM dan juga isu harga pasaran duit lama pada masa ini.

barang rare

Hari ini kami tidak mahu bercerita mengenai hal-hal lain, hanya isu harga pasaran duit lama yang agak lembap berbanding dengan beberapa tahun lepas. Kami berada di Amcorp Mall daripada jam 9 pagi sehingga jam 2.00 petang, hanya beberapa orang rakan collector yang datang ke Flea Market hari ini.😎😎😎

Kebanyakkan daripada rakan penjual duit lama yang kami temui hari ini berkongsi cerita yang hampir serupa; barang biasa susah nak jual, barang rare sudah nak cari.

Realitinya juga jumlah pembeli duit lama yang datang ke Amcorp Mall Flea Market sudah agak berkurangan. Ekonomi Malaysia yang kurang baik, beban cukai GST, kenaikan harga minyak yang berubah setiap bulan dan juga harga barangan yang semakin hari semakin naik adalah mungkin diantara penyebab kenapa pembeli duit lama sudah semakin berkurangan.

Beberapa minggu lepas kami ada berkongsi mengenai berita Akhbar The Star mengenai duit lama. Antara lain berita itu menyatakan ketika ini adalah saat yang terbaik untuk membeli duit lama kerana harganya yang murah. Namun, tidak semua orang mampu membeli didalam keadaan sekarang ini.

Tidaklah menghairankan juga kenapa bukan collector juga beriya-iya untuk menjual "duit lama" yang mereka ada, mencuba nasib mana tahu dapat jackpot.😆😆😆

Masalahnya, hampir kebanyakkan bukan collector ini tidak mempunyai ilmu mengenai duit lama Malaysia yang berharga. Apa sahaja "duit lama" yang mereka ada mereka akan jual. Sama ada secara online di Facebook atau dengan membuat panggilan kepada coin dealer secara rambang. Gangguan panggilan telefon dari penjual duit lama ini sememangnya sangat menyakitkan hati kerana ada diantara mereka ini yang beranggapan kesemua coin dealer tidak perlu tidur, bekerja 24 jam sehari.

Koleksi duit syiling biasa menjadi banyak dipasaran dengan adanya penjual duit lama dari kalangan bukan collector sebegini. Ada di antara mereka yang tidak tahan menyimpan koleksi biasa ini didalam tempoh yang lama kerana tidak dapat menggunakan wang yang ada sehingga sanggup menjual "harga rugi".😭😭

Lambakan koleksi ini menyebabkan harga koleksi duit syiling biasa tidak dapat bertahan lama di atas. Ada beberapa coin card yang dulunya berharga mahal sudah mula boleh didapati dengan mudah dipasaran. Namun, kebanyakkan daripada coin dealer di Amcorp Mall ini tidak mahu mempamerkannya kerana khuatir harga coin card akan jatuh dengan lebih teruk lagi.

Koleksi rare susah dicari kerana semakin ramai yang berebut-rebut membelinya sebagai pelaburan.

Selain itu, ada penjual duit lama yang tidak mahu menyimpan syiling rare kerana risau terpaksa memegang koleksi tersebut yang sudah tentu berharga mahal didalam tempoh yang lama. Ada yang membuat sistem tempahan, berikan mereka maklumat mengenai koleksi yang anda cari dan mereka akan cuba bertanya dengan rakan-rakan collector jika ada sesiapa yang ingin menjual koleksi tersebut.

Kebanyakkan collector tidak mahu menjual koleksi rare mereka kerana khuatir dengan harga pasaran yang rendah dan sudah pasti kerana sebaik dijual, mereka tidak akan terjumpa lagi koleksi sedemikian dimasa hadapan.

Terima kasih kepada rakan-rakan coin dealer yang sudi untuk berkongsi cerita dengan malaysiancoin.com.

Barang biasa jatuh harga, barang rare susah cari, betulkah begitu? Apa pendapat anda?