Isnin, 24 Oktober 2016

Perlukah lagi Kelab Numismatik diwujudkan?

Semasa bercerita dengan rakan yang meluahkan perasaannya bagaimana ada segelintir orang yang menceburi numismatik dengan agenda tersembunyi, dia juga menimbulkan persoalan, di masa sekarang, perlukah lagi Kelab Numismatik diwujudkan?

Kelab Numismatik yang dimaksudkan disini adalah Kelab yang berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia atau lebih dikenali dengan ROS.

Kelab Numismatik

Penubuhan Kelab Numismatik secara sah disisi undang-undang diketahui umum memakan masa yang panjang untuk mendapatkan kelulusan. Penubuhan kelab juga memerlukan sedikit perbelanjaan untuk kos-kos berkaitan dengan makan minum perjumpaan ahli kelab, kos berkaitan kenderaan kepada ahli dan juga perlu memastikan laporan dihantar kepada ROS setiap tahun.

Rakan tersebut berpendapat, apa perlunya Penubuhan Kelab Numismatik sedangkan fungsi tersebut boleh dijalankan dengan membuka group numismatik di Facebook sahaja. Tidak perlu sebarang kos untuk membuka group numismatik, ahli kumpulan boleh berada dimana sahaja tanpa perlu datang beramai-ramai di sesuatu tempat dan juga setiap orang berpeluang untuk bersuara dan memberikan pendapat mereka.

Rakan itu juga memberitahu, ahli tidak perlu membayar yuran tahunan, bayar kad ahli sekali sahaja untuk seumur hidup.

Kami memberitahu rakan tersebut, pendapat yang beliau berikan hampir sama dengan apa yang kami pernah kongsikan didalam artikel sebelum ini; Persatuan numismatik vs Facebook group.

Pada pendapat kami, penubuhan Kelab Numismatik secara sah disisi undang-undang tidak kiralah sebagai persatuan berdaftar atau entiti perniagaan berdaftar masih lagi perlu.

Adalah salah disisi undang-undang di Malaysia untuk mengutip wang tanpa jual-beli serta kebenaran mana-mana undang-undang, adalah suatu kesalahan untuk menyimpan maklumat peribadi ahli dan aktiviti kelab secara offline masih perlukan wang.

Selain itu, kelab jika ditubuhkan secara online sahaja kita tidak dapat mengenali siapakah sebenarnya AJK kelab terutamanya jika ianya melibatkan hal kewangan.

Namun, kebaikan kelab secara online ialah sudah pasti ahli tidak perlu mengeluarkan kos untuk datang bersama-sama dengan ahli lain bertemu disuatu tempat untuk mengadakan perbincangan.

Ramai orang sekarang ini sibuk dengan kerja dan keluarga masing-masing, tidak ramai lagi orang yang sanggup membuang masa, tenaga dan wang ringgit untuk kepentingan ahli kelab seperti 30 tahun yang lalu.

Jika dahulu AJK Kelab dihormati sebagai VVIP, ahli kelab sanjung dan hormati tetapi sekarang ini AJK kelab dengan mudahnya boleh dicaci serta dihina kerana dikatakan tidak menjalankan tugas sebagai AJK dengan baik atau pelbagai tuduhan lain yang timbul.

Jika dulu, Kelab ditubuhkan untuk mengumpul pengaruh, fungsi itu sudah diambil alih oleh sosial media.

Realitinya sekarang, AJK kelab bukan lagi suatu status yang istimewa, kecuali jika orang tersebut mempunyai agenda yang tersembunyi.

Pendapat kami, Kelab numismatik itu masih perlu lagi diwujudkan supaya kelab tersebut ditubuhkan mengikut undang-undang negara ini. Namun, perlu juga ada group numismatik di Facebook khas untuk kelab tersebut mengadakan perbincangan dengan ahli-ahli.

Pendapat anda bagaimana?