Rabu, 18 Mei 2016

Perkhidmatan Pos Malaysia semakin lembap

Jika anda pengguna setia Pos Malaysia, anda pasti merasa perbezaan perkhidmatan yang disampaikan oleh Pos Malaysia hari ini berbanding 10 tahun lalu. Sekarang ini tugas Posmen amat mudah, hanya perlu menghantar notis pemberitahuan kepada pengguna, biar pengguna sendiri yang mengambil barang di pejabat pos.

Alasan penghuni tidak ada dirumah sudah menjadi perkara lumrah yang didengar oleh pengguna.

Pos Malaysia

Sudah dua tahun saya berada di tempat baru, sekali pun saya tidak pernah menerima pos berdaftar atau poslaju daripada posmen. Jika hendak diberikan alasan penghuni tidak ada dirumah, hari ini saya seharian dirumah dan kerap kali memandang ke pintu pagar, kalau-kalau ada van atau motorsikal posmen Pos Malaysia datang.

Tidak ada dengar bunyi ketukan pintu dirumah atau hon dibunyikan, apabila petang, saya hanya menerima Notis pemberitahuan untuk saya mengambil barang pos di Pejabat Pos.

Takkanlah nak pelanggan duduk depan pintu seharian untuk menunggu posmen datang?

Takkanlah setiap kali pelanggan mendapat surat berdaftar atau poslaju, perlu datang ke pejabat pos?

Macam tu baik Pos Malaysia tak perlu guna posmen menghantar surat, telefon sahaja pelanggan minta kami datang ke Pejabat Pos mengambil surat.

Sampai sekarang, apabila rakan-rakan ingin menghantar barang pos ke rumah, saya lebih rela datang ke tempat mereka mengambil sendiri barang-barang daripada mengharapkan perkhidmatan Pos Malaysia.

Moto Poslaju "Dijamin sampai esok" sudah tidak lagi terpakai berbanding dengan perkhidmatan Poslaju 10 tahun dahulu.

Saya kesian dengan rakan-rakan yang membuat perniagaan online yang terpaksa menambah masalah dengan kerenah Poslaju sekarang ini. Namun, penghantaran melalui pos juga adalah salah satu dari risiko perniagaan online yang perlu mereka hadapi.

Barang tak sampai berminggu-minggu, barang hantar ke tempat lain, barang rosak dan juga barang hilang sudah menjadi asam garam perniagaan online rakan-rakan.

Walaupun aduan sudah dibuat, tidak ada perubahan dilakukan kepada Perkhidmatan Pos Malaysia yang semakin lembap serta tidak efisen.

Bukan lagi menjadi perkara yang pelik apabila ada rakan yang mengadu, barang mereka yang di pos ke Perak, pergi ke Kota Kinabalu terlebih dahulu didalam sistem track Poslaju.

Walaupun ramai daripada rakan-rakan yang tahu dan pernah mengalami masalah dengan perkhidmatan Pos Malaysia, mereka terpaksa menggunakan perkhidmatan Pos Daftar dan Poslaju kerana pelanggan mereka tidak mahu membayar lebih untuk kos pos. Bagi pelanggan mereka, jika barang hilang semasa dihantar melalui pos, itu bukan masalah pelanggan.

Mungkin ada di antara anda yang pernah menggunakan perkhidmatan pos lain yang lebih efisen dan lebih jimat dari perkhidmatan Pos Malaysia.

Mohon kongsikan pandangan serta pendapat anda.