Rabu, 27 April 2016

Muhammad Ibrahim Gabenor BNM yang baru

Tahniah kepada Datuk Muhammad Ibrahim, Gabenor baru Bank Negara Malaysia menggantikan Tan Sri Dato' Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz. Yang di-Pertuan Agong dengan nasihat Perdana Menteri Najib Razak melantik Datuk Muhammad Ibrahim untuk tempoh 5 tahun sebagai Gabenor BNM bermula pada 1 Mei 2016.

Muhammad Ibrahim

Perdana Menteri didalam kenyataan akhbarnya berkata, "Saya yakin di bawah kepimpinan beliau (Datuk Muhammad Ibrahim), Bank Negara Malaysia akan terus membantu kerajaan dengan memberikan nasihat untuk mengukuhkan lagi ekonomi Malaysia, serta menguruskan dasar kewangan, dan peraturan serta membangunkan industri perkhidmatan kewangan."

Datuk Muhammad Bin Ibrahim telah dilantik ke jawatan Timbalan Gabenor Bank Negara sejak Jun 2010. Beliau menganggotai Dasar Monetari Bank Negara Malaysia dan Jawatankuasa Kestabilan Kewangan.

Beliau bertanggungjawab untuk pembangunan pasaran kewangan dan operasi Perbendaharaan termasuk pertukaran matawang asing dan pengurusan rizab Bank Negara. Beliau juga menyelia pembangunan perbankan termasuk kewangan Islam dan sektor insurans.

Beliau juga bertanggungjawab untuk mempromosikan agenda Malaysia untuk bertukar kepada e-Pembayaran bertujuan untuk menjana kecekapan kos dan operasi untuk perniagaan. Beliau juga terlibat secara aktif dalam usaha kerjasama dengan bank-bank pusat serantau untuk membangunkan platform penyelesaian pembayaran pelbagai mata wang yang bertujuan untuk meningkatkan hubungan dalam urus niaga merentas sempadan dalam perdagangan dan pelaburan.

Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz berkata pelantikan Datuk Muhammad Ibrahim sebagai Gabenor sudah tentu memberikan kesan yang positif kepada negara.

"Sebagai salah seorang ahli pasukan dasar di Bank Negara Malaysia, beliau akan dapat meneruskan kesinambungan dan kepastian yang begitu diperlukan dalam tempoh semasa yang amat tidak menentu ini. Saya yakin sepenuhnya dengan kebolehan dan keupayaan beliau untuk memacu Bank Negara Malaysia mengorak langkah ke masa hadapan," tambah beliau.

Sementara itu, Datuk Muhammad Bin Ibrahim menerima pelantikan sebagai Gabenor dengan rasa rendah diri.

"Bagi saya, ini merupakan peluang untuk saya terus berkhidmat kepada negara. Saya akan berusaha melaksanakan tanggungjawab sebagai Gabenor Bank Negara Malaysia dengan sebaik mungkin. Saya ingin merakamkan penghargaan kepada YAB Perdana Menteri dan pihak Kerajaan atas keyakinan dan kepercayaan yang diberikan kepada saya."

"Bank pusat bertanggungjawab untuk mengekalkan kestabilan monetari dan kewangan, dan terus memberikan tumpuan pada agenda strategik di samping berusaha menyumbang kepada masa depan yang lebih cerah untuk semua rakyat Malaysia."

"Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz atas kepimpinannya yang cemerlang serta sumbangannya yang amat besar kepada Bank dan negara."

Beliau juga berkhidmat sebagai:
  • Pengerusi Akreditasi Agensi Kewangan;
  • ahli Lembaga Pengarah Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan;
  • ahli Institut Akauntan Malaysia;
  • ahli panel daripada Kumpulan Wang Amanah Negara;
  • Pengerusi Senat Pusat Antarabangsa Pendidikan Kewangan Islam;
  • Pengerusi Jawatankuasa Fisher Irving (Statistik Bank Pusat), Bank for International Settlements;
  • Fellow Asian Institute of Chartered Banker.

Beliau memegang ijazah Sarjana Muda dalam bidang perakaunan dari Universiti Malaya dan Ijazah Sarjana dari Universiti Harvard dan diploma lepasan ijazah dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Tahniah sekali lagi kepada Datuk Muhammad Bin Ibrahim sebagai Gabenor Bank Negara Malaysia.

Semoga dengan Gabenor yang baru, BNM akan lebih mesra kepada numismatik dan membantu perkembangan numismatik Malaysia.