Tuesday, February 16, 2016

Kad Medal Peringatan SUKMA ke-10

Sukan Malaysia (SUKMA) ke-10 di adakan daripada 28 Mei sehingga 6 Jun 2004 di Negeri Sembilan. Kad Medal Peringatan SUKMA ke-10 ditempa oleh The Royal Mint of Malaysia untuk memperingati Kejohanan sukan dwi tahunan tersebut.

sukma x 2004

Medal peringatan ini diperbuat daripada Copper Nickel (75% Copper 25% Nickel) dengan rekabentuk dihasilkan oleh Tuan Ismail Ibrahim. Ia mempunyai diameter 33.7mm serta berat 16.8g. Kad Medal peringatan ini agak memanjang berbanding dengan kad syiling yang pernah dikeluarkan oleh The Royal Mint of Malaysia. Setakat ini, tidak ada direkodkan jumlah Kad Medal Peringatan (mintage) yang dikeluarkan oleh The Royal Mint of Malaysia untuk acara ini.


Rekabentuk Medalnya memaparkan gambar api pada obor serta logo SUKMA 2004 dengan perkataan "NEGERI SEMBILAN DARUL KHUSUS" pada sebelah atas rekabentuk medal tersebut.


Sebahagian lagi rekabentuknya memaparkan peserta SUKMA sedang memulakan pecutan lariannya dengan 10 bintang mengelilingi pelari tersebut. Di bahagian atas tertera perkataan "SUKMA MALAYSIA KE-10" serta "28 MEI-6 JUN 2004" di bahagian bawah.

Spesifikasi Teknikal:
Jenis: Copper Nickel
Logam: 75% Copper 25% Nickel
Kuantiti Tempaan (mintage):  tak tahu
Garis Pusat (mm): 33.7
Berat(g): 16.8
Harga Pasaran semasa: (Untuk harga terkini, rujuk: Senarai Harga Medal Peringatan Malaysia )

Selain Kad Medal Peringatan, terdapat juga Set Medal Peruf perak serta copper nickel.


Sukan Malaysia (SUKMA) adalah kejohanan Mini Sukan Olimpik yang melibatkan atlet remaja (had umur tidak melebihi 21 tahun). Kejohanan ini diadakan berselang-seli dengan Sukan SEA. Ia di adakan bertujuan untuk mencungkil bakat atlet muda di peringkat negeri dan daerah supaya dapat dilatih untuk mewakili negara di peringkat lebih tinggi.

Penyertaannya peringkat awal dibuka untuk peserta berumur 21 tahun ke bawah, bagi atlet-atlet yang tidak berada di dalam Program Jaya ’98 (iaitu program penyediaan atlet untuk Sukan Komanwel 1998) manakala atlet-atlet di dalam Program Jaya ’98 tiada had umur dikenakan.

Kejohanan pertama di adakan pada tahun 1986 di Kuala Lumpur.

Temasya SUKMA X Negeri Sembilan dibuka dengan rasminya oleh Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Ja'afar Tuanku Abdul Rahman dalam suasana penuh meriah dengan penampilan kebudayaan negeri Adat Perpatih di Stadium Tuanku Abdul Rahman (STAR), Paroi, Seremban.

Kejohanan SUKMA ke-10 adalah penyertaan pertama Negeri Sembilan sebagai tuan rumah SUKMA.

Moto Kejohanan SUKMA ke-10 di Seremban Negeri Sembilan: Sukan Cemerlang Negara Terbilang (Glory in sports, Glory in nation).

Maskot: Sang Rusa.

Ianya melibatkan 14 pasukan negeri termasuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Labuan, Polis serta negara jemputan Brunei.

Juara keseluruhan dimenangi oleh Selangor dengan 56 Pingat emas, Sarawak 52 pingat emas serta Perak dengan 47 Pingat Emas.

Atlit lelaki terbaik kejohanan dimenangi oleh atlit renang Daniel Bego dari Sarawak. Beliau memenangi 7 pingat emas; 50m, 100m, 200m, 400m gaya bebas, 50m rama-rama, 200m rampaian individu dan 4x100m rampaian. Beliau turut memecahkan rekod kejohanan 50m rama-rama.

Atlit wanita terbaik kejohanan turut dimenangi oleh atlit renang, Cindy Ong dari Perak. Cindy mengumpul enam pingat emas serta memecahkan lima rekod Kebangsaan. Cindy memecahkan rekod kebangsaan untuk acara 100m gaya bebas, 100m rama-rama, 50m kuak dada, 50m gaya bebas dan 50m rama-rama. Beliau turut memperbaharui rekod berusia 17 tahun, Nurul Huda Abdullah untuk 100m gaya bebas.