Rabu, 1 Julai 2015

Pengalaman jual beli duit lama

Semasa saya mula mengumpul semula pada tahun 2000, ianya tidak dirancang dan tidak ada niat saya pada masa itu untuk mula mengumpul duit lama semula. Sebelum itu, pelbagai hobi lain saya cuba kerana minat yang timbul secara tiba-tiba.

Tan Coin

Saya pernah cuba untuk mengumpul keris/senjata lama, barang-barang antik dan juga batu-batu permata yang cantik berkilauan. Bagi saya, kesemua itu ada tarikannya yang tersendiri. Namun, kos untuk memulakan hobi itu yang agak tinggi buat saya pada waktu itu menyebabkan saya tidak serius.

Saya mula tahu mengenai kewujudan Pasar Karat atau ropewalk apabila mula bekerja di Pulau Pinang. Namun, saya hanya pergi ke sana apabila ada tugasan di sebelah Pulau, pejabat saya pada waktu itu di Butterworth.

Apabila saya tahu di Butterworth ada peniaga yang menjual duit lama, saya mula beralih ke sana. Rasanya duit lama pertama yang saya beli disana adalah dengan Haji Zulkifli. Tapi saya tidak ingat pada waktu itu apa yang saya beli, tidak ada cacatan saya buat pada masa itu.

Mula-mula dulu, saya hanya beli, tidak pandai untuk menilai kondisi duit syiling. Malah tidak pandai untuk tawar-menawar harga juga. Tidak ada sesiapa yang membimbing saya pada ketika itu. Hanya buku katalog yang dikeluarkan oleh Master Sifu Steven Tan sahaja yang menjadi panduan buat saya.

Suatu hari, terdetik dihati ini, dimana para penjual duit lama ini mendapatkan duit-duit lama ini untuk dijual? Jika saya dapat tahu, saya boleh beli dengan harga yang lebih murah daripada mereka jual kepada saya.

Mulai hari itu, saya cuba bertanya kepada penjual-penjual duit lama tentang rahsia mereka.

Hahaha.... Siapalah nak kongsi dia dapat barang harga murah kat pembelinya. Hanya orang gila sahaja yang sanggup berbuat demikian, bukan?

Apabila langkah saya bertanya tidak membuahkan hasil, saya mengambil keputusan untuk mengekori ke mana mereka pergi selepas mereka habis berniaga pada hujung minggu. Selepas beberapa minggu mencuba, akhirnya, sedikit demi sedikit saya dapat tahu dimana mereka membeli duit lama mereka. Jika anda ingin tahu, saya pernah menulisnya didalam artikel; Where to find coin in Malaysia.

Pada masa itu, saya hanya membeli duit lama yang berharga dua angka sahaja kerana itu sahaja yang saya mampu dengan gaji pada masa itu.

Saya mula menjalankan perniagaan di Lelong.com.my pada tahun 2003. Saya mula mengenali website tersebut apabila saya tertipu membeli telefon PDA pada harga yang sangat murah yang tidak sampai-sampai.

Semasa memulakan perniagaan secara online, saya memang tidak mempunyai modal langsung. Di dalam iklan-iklan awal saya pada waktu itu, saya nyatakan yang saya menjual koleksi saya untuk dijadikan modal untuk menjual duit lama.

Apabila saya sudah mempunyai modal, pagi saya beli duit lama, petang saya post kat website lelong dengan harga yang murah sedikit berbanding orang lain supaya ianya dapat dijual dengan cepat.

Pada waktu itu, tidak ramai yang menjual duit lama seperti sekarang ini. Kebanyakkan pembeli duit lama saya adalah return customer yang lebih suka tawar-menawar dan meminta saya mencari koleksi yang mereka tidak ada lagi.

Apabila saya sudah tidak bekerja di Pulau Pinang pada tahun 2005, saya menghadapi kesukaran untuk mendapatkan bekalan duit lama untuk dijual kerana harga di Kuala Lumpur ini jauh lebih mahal daripada Pulau Pinang. Jika ada yang murah pun, anda perlu segera bayar dan ambil kerana akan sentiasa ada pembeli lain yang akan membelinya.

Saya beralih daripada lelong.com.my ke mudah.com.my kerana polisi mereka yang berubah pada masa itu.

Itulah serba sedikit pengalaman didalam jualbeli duit lama. Walaupun, saya sudah menjual agak lama, masih banyak ilmu numismatik yang saya tidak tahu dan perlu pelajari. Saya tertipu membeli duit syiling palsu Straits Settlements dengan banyaknya kerana saya membeli duit lama tanpa ada ilmu yang cukup. Selepas 10 tahun, baru saya tahu yang syiling-syiling itu semua palsu.

Semoga rakan-rakan yang baru bermula belajar dahulu mencari ilmu numismatik sebelum mula membeli koleksi masing-masing.