Selasa, 30 Jun 2015

Sesuaikah Duit syiling Plastik di Malaysia?

Pada ketika ini, nilai Ringgit Malaysia sudah agak jauh ketinggalan berbanding dengan nilai matawang Dollar Singapura dan juga Dollar Brunei. Jika suatu hari nanti, Malaysia terpaksa menggunakan duit syiling plastik, adakah kita boleh menerimanya? Adakah ianya sesuai digunakan di Malaysia?

syiling Plastik

Syiling didalam gambar ini adalah daripada "Negara Transnistria" yang dikeluarkan sebagai syiling edaran bermula pada 22 Ogos 2014 (Boleh rujuk artikel: Transnistria Plastic Circulation Coins). Walaupun ianya mendakwa yang ia adalah sebuah negara yang bebas, kebanyakkan negara lain masih menganggap yang ia adalah sebahagian daripada Moldova.

Syiling ini mempunyai bentuk dan warna yang berbeza untuk setiap denominasi. Oleh itu, ianya diharap boleh memudahkan mereka yang cacat penglihatan untuk mengenali syiling tersebut berdasarkan rupa bentuknya.

Syiling ini juga dikeluarkan dengan ciri-ciri keselamatan sepertimana syiling-syiling lain; huruf mikro dan pantulan cahaya khusus apabila terdedah kepada cahaya ultraungu dan inframerah.

Selain itu, syiling edaran plastik ini juga adalah yang pertama dikeluarkan didunia.

Saya tidak dapat menemui maklumat mengenai penggunaan dan juga penerimaan masyarakat di "Negara Transnistria".

Namun, jika ianya digunakan di Malaysia pada suatu hari nanti, adakah kita boleh menerimanya?

Saya bukan mahu bercakap daripada segi ekonomi Malaysia tetapi persepsi yang mungkin akan kita lontarkan jika ianya terpaksa kita gunakan secara rasmi.

Mungkin perkara yang paling awal kita lihat ialah ianya hanya pernah dikeluarkan oleh sebuah "negara kecil" buat masa ini.

Syiling daripada plastik kelihatan tidak ada standard dan kelihatan "murah".

Ianya juga tersangatlah ringan dan amat mudah untuk tercicir tanpa kita sedari.

Rasanya, ia lebih sesuai untuk negara yang mempunyai taraf ekonomi yang rendah berbanding Malaysia.

Selain itu, nilai matawang yang agak rendah juga akan membantu negara tersebut berjimat jika hendak mengeluarkan wang syiling. Kos untuk mengeluarkan syiling plastik kemungkinan lebih rendah berbanding dengan kos untuk mengeluarkan syiling daripada logam.

Selain itu, walaupun ianya dikeluarkan sebagai "wear resistance" tetapi tidak dinyatakan jika ianya "fire resistance".

Itu adalah sebahagian daripada pendapat-pendapat yang di utarakan oleh rakan-rakan saya didalam perbincangan kami sebelum ini.

Namun, bagaimana pula dengan wang kertas polymer? Kenapa kita boleh menerimanya, sedangkan ianya juga diperbuat daripada plastik?

Pada pendapat saya, jika ianya sudah di umumkan secara rasmi sebagai matawang, mahu atau tidak, kita sebagai rakyat akan terpaksa menggunakannya.

Namun, saya juga berharap, jika ianya ingin digunakan secara edaran di Malaysia, kajian yang mendalam dijalankan terlebih dahulu.

Tidaklah kita nantinya terpaksa menggunakan syiling yang cantik berkilat semasa dikeluarkan dan setahun kemudian, syiling tersebut sudah berubah menjadi gelap hitam, hinggakan sukar untuk membaca nilai denominasinya.