Selasa, 6 Januari 2015

Adakah penggunaan kad group FB masih wajar?

Persoalan ini sedikit sebanyak pernah saya bincangkan tahun lepas; Isu penipuan pembelian online. Sewaktu saya menulis mengenai Group Numismatik dan jualan atau lelongan di Facebook dulu, saya ada bertanya mengenai soal keselamatan "pembeli" di group tersebut.

Tidak lama kemudian, "kad group" digunakan didalam Kumpulan Numismatik tersebut. Adakah dengan penggunaan kad ini, pembeli dan penjual akan selamat dari penipuan?

group numismatik

Apa perlunya kad ini kepada group-group tersebut?

Apa yang saya lihat, kumpulan-kumpulan FB numismatik sekarang ini bak cendawan tumbuh selepas hujan. Jika dulu group-group ini boleh dikira dengan jari, sekarang ni, nak pinjam jari bini untuk kira berapa banyak jumlah group ni pun dah tak cukup. 

Setiap group pula akan mengeluarkan kad mereka sendiri. Sesiapa yang tidak mempunyai kad group atau kad group lain yang tidak di iktiraf oleh mereka, tidak akan dibenarkan untuk membuat sebarang jualan.

Jika kita melihat dari aspek ekonomi, kad ahli ini hanya bertujuan memberi keuntungan kepada pemilik group serta pembuat kad tersebut. 

Itu tidak termasuk mereka yang menjual kad VIP/VVIP yang ada kalanya berharga lebih dari RM100 sekeping. 

Itu tidak termasuk lagi yang menjual kad itu atas nama ingin bersedekah kepada orang lain tetapi tidak pernah menunjukkan bukti.


Ada juga admin group yang terlalu "menjaga periuk nasi" mereka. Sesiapa yang tidak sependapat dengan mereka akan ditendang keluar daripada group. Walaupun orang tersebut telah membeli kad VIP/VVIP yang berharga mahal sebelum ini. Walaupun apa yang ditegur oleh orang yang ditendang keluar itu adalah betul kerana beliau lebih berpengalaman dan lebih tahu tentang numsmatik.

Namun, apabila ada penipuan yang dilakukan oleh pemegang kad, apakah yang admin dapat lakukan? Memberi maklumat mengenai pemegang kad tersebut? 


Admin atau pengurus kumpulan sepatutnya berusaha untuk mengelakkan penipuan daripada berlaku, mendidik ahli kumpulannya tentang cara-cara penipuan online, menasihatkan ahli kumpulannya apakah cara terbaik untuk menyelesaikan urusan jual beli, memberi pendidikan mengenai numismatik (grading, harga, variety, duit palsu, duit cuci etc) dan juga memastikan ahli kumpulannya adalah mereka yang betul-betul "genuine".

Adakah admin kumpulan numismatik yang menjalankan lelongan di Facebook melakukan perkara ini?

Pada pendapat dan pengamatan saya, amat sedikit usaha admin group untuk mendidik ahlinya. Apa yang penting buat mereka adalah "mereka sendiri boleh menjual item numismatik" mereka didalam group dan ahli group itu akan menyokong kata-kata mereka. 

Tidak hairanlah jika ada Admin group sendiri yang melakukan penipuan secara senyap dengan menjual syiling yang telah dicuci, syiling palsu dan juga meminta rakan-rakannya untuk membida jualan numismatik mereka supaya harganya boleh naik melambung.

Ada group yang sudah berusia lebih daripada 2 tahun tetapi sehingga sekarang, tidak ada perubahan yang saya lihat, makin teruk lagi adalah.

Saya tegur supaya admin-admin group numismatik semua boleh berfikir, bagaimanakah caranya untuk menjamin keselamatan jual beli numismatik online dimasa hadapan.

Janganlah asyik fikir nak tegur ahli yang tidak mempunyai kad sahaja. Fikirlah perubahan untuk kebaikan bersama.