Khamis, 11 Disember 2014

Syiling 1 sen 1982 nickel

Tahniah kepada saudari Sinyee Leong daripada Broga, Selangor yang memiliki syiling 1 sen 1982 copper nickel dan terima kasih kerana memberi peluang melihat serta memegang sendiri syiling yang amat sukar didapati ini. Walaupun, pertemuan dengan beliau tidak dirancang, ianya satu pengalaman serta perasaan yang tidak dapat dilupakan.

1 sen 1982 Nickel

Saya bertemu dengan saudari Sinyee Leong, sehari selepas jualan Syiling Peringatan 75 tahun Taman Negara. Pada hari itu, saya baru selesai membeli syiling peringatan di Sasana Kijang dan pergi ke Kedai Sifu Dickson Niew kerana telah membuat temujanji dengan beliau sehari sebelum itu.

Saudari Sinyee Leong ada bertanya dengan saya melalui email mengenai syiling beliau tetapi saya tidak berani untuk memberi sebarang komen kerana saya tahu syiling tersebut amat sukar didapati dan jika saya memberi nasihat yang tidak betul akan memberi kesan kepada nilai syiling tersebut. Saya meminta beliau untuk berjumpa dengan Sifu Dickson Niew untuk membuat pengesahan.

Mengikut Sifu Dickson, Sebulan sebelum itu, beliau ada berjumpa dengan Sifu Dickson di Kedai Cenderamata Dickson Niew di Subang Jaya. Beliau dinasihatkan untuk membuat ujian makmal bagi mengetahui kandungan logam sebenar syiling tersebut. Seminggu selepas itu, beliau memberitahu Sifu Dickson bahawa syiling tersebut telah dipotong dibahagian tepi untuk memeriksa kandungan logam sebenar dan Sifu Dickson meminta beliau datang ke kedainya di Subang Jaya untuk beliau melihat sendiri syiling tersebut.

Syiling tersebut berat sedikit (0.01gm) berbanding dengan syiling yang asal tetapi mempunyai saiz yang sama.

nickel cent 1982

Warnanya adalah sama seperti syiling copper nickel, berwarna seperti perak, jauh berbeza dengan warna syiling 1 sen 1982 yang diperbuat daripada Copper Clad Steel.

Sebelum ini, saya berpeluang untuk melihat syiling plated di kedai Steven Tan, anda boleh membacanya didalam artikel; Syiling 1 sen nickel palsu.

Saudari Sinyee Leong memberitahu, beliau sudah memiliki syiling tersebut selama 10 tahun. Beliau temui syiling tersebut dibawah karpet rumah ayahnya yang hendak dibersihkan dan hanya menyimpannya. Baru-baru ini, beliau tergerak untuk membuat carian di Google berkenaan dengan syiling 1 sen nickel Malaysia dan bertemu dengan blog malaysiancoin.com serta blog Sifu Dickson dniewcollectors.blogspot.com.

plated coin test

Beliau juga memberitahu saya, dia meminta kawannya untuk memotong tepi syiling itu untuk memastikan ianya bukanlah plated coin. Ketika memotong sedikit syiling itu, beliau masih dapat melihat sedikit warna coklat, beliau tidak berpuashati dan meminta rakannya itu membuat potongan lagi. Walaupun telah dipotong begini, warna tersebut masih dapat dilihat jika menggunakan kanta pembesar.

Beliau meminta Sifu Dickson menghantar syiling tersebut untuk digred oleh NGC dan beliau juga menyatakan yang syiling itu adalah peninggalan ayahnya yang amat beliau hargainya. Beliau berhasrat untuk menyimpan syiling tersebut sebaik sahaja ianya pulang daripada digred.

Anda juga boleh membaca lebih lanjut mengenai syiling ini didalam blog Sifu Dickson Off Metal Strike Error on 1982 cent.