Isnin, 24 November 2014

Strategi untuk mendapatkan syiling peringatan terbaru?

Pada hari Jumaat ini, secara umumnya para pengumpul duit lama sudah tahu apa yang akan berlaku. Kepada bukan pengumpul, untuk pengetahuan anda, pada 28hb November ini, Bank Negara Malaysia akan mula menjual duit syiling peringatan 75 tahun Taman Negara.

Syiling baru

Jadi.., apa strategi anda untuk mendapatkan duit syiling peringatan terbaru?

Itu soalan yang dibincangkan oleh rakan-rakan numismatik didalam perbincangan kami baru-baru ini. Ada di antara strategi yang difikirkan oleh mereka tidak pernah difikirkan oleh saya sebelum ini dan saya juga tidak melihat sesiapa menggunapakai strategi tersebut. Namun, saya tidak dapat berkongsi mengenainya kerana tuan punya idea tidak membenarkan perkongsian idea beliau.

Di sini, saya senaraikan beberapa cara dan kaedah yang boleh anda gunakan untuk mendapatkan duit syiling peringatan yang baru dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia:

1. Berbaris di tempat jualan BNM?
Kebanyakkan pengumpul duit syiling peringatan melihat ini sebagai alternatif utama mereka. Namun, sudahkah anda membuat kajian jam berapakah orang ramai mula berbaris di tempat jualan BNM? Adakah selamat untuk berbaris diluar pagar BNM dengan wang yang banyak pada waktu malam?

2. Memberi upah kepada mereka yang berbaris untuk membeli untuk anda.
Ada di antara mereka yang berbaris tidak membeli syiling yang lengkap. Oleh itu, anda mungkin berpeluang untuk meminta mereka membelikan syiling peringatan yang anda inginkan dengan sedikit upah bayaran.

3. Mengupah orang berbaris untuk anda.
Orang yang diupah ini mungkin saudara-mara, rakan-rakan atau pekerja anda. Oleh yang demikian, upah yang diberikan kepada mereka mungkin lebih murah daripada anda meminta pengumpul duit lama yang berbaris.

4. Menunggu orang menjualnya di Facebook.
Trend sekarang ini, apa-apa pun boleh dijual di Facebook. Sehinggakan ada yang membuat perkhidmatan untuk membeli syiling untuk anda dengan harga premium yang tinggi. Terpulang kepada anda untuk membuat keputusan.

5. Membelinya di kedai menjual duit lama atau Flea Market
Biasanya pada hujung minggu, ianya sudah terjual di flea market atau kedai duit lama. Ada juga yang sudah membuat "tempahan" lebih awal dan hanya datang berjumpa penjual untuk membayar dan mengambil duit syiling peringatan mereka.


Apa pun kaedah dan strategi yang anda gunakan, pastikan anda dapat meminimakan kos untuk membeli syiling peringatan yang anda idamkan. Kadang-kadang ada diantara kita yang hendak membeli cuma 5 keping coincard tetapi sanggup bercuti dan berbaris. Itu tidak termasuk duit makan, duit tol, duit minyak, duit tambang lrt dan sebagainya.

Bukan pengumpul duit lama juga biasanya terperangkap dengan cerita kawan-kawan, beli syiling peringatan ini sudah pasti untung. Sedangkan hakikatnya, bukan semua syiling boleh buat untung. Buat kajian anda sebelum terperangkap dengan pelaburan yang anda tidak ada ilmu mengenainya.

Jadi.., apa strategi anda untuk mendapatkan duit syiling peringatan terbaru?