Ahad, 5 Oktober 2014

Harga naik lagi 20 sen

Tahun lepas, ketika saya melaporkan berita mengenai duit 50 sen 1969 dijual pada harga tinggi didalam Auction MNS, harga minyak naik 20 sen. Minggu ini, apabila saya menyampaikan berita mengenai harga syiling yang mempunyai tahun dan denominasi yang sama dijual lebih RM81ribu, harga minyak juga naik 20 sen pada 2 Oktober 2014. Apa yang membezakannya hanyalah sisi syiling tersebut. Syiling yang dilaporkan pada tahun 2013 mempunyai sisi sekuriti dan syiling yang dilaporkan pada tahun 2014 mempunyai sisi tanpa sekuriti (Milled edge).

20 sen

Ada ramai juga dikalangan pembaca blog dan juga rakan-rakan yang bertanya, siapakah pembeli duit syiling tersebut? Harga RM81,846 untuk sekeping syiling Malaysia yang bernilai muka 50 sen itu sudah boleh membeli sebuah kereta import daripada Jepun. Tidak kurang juga yang berkata "Auction itu dijalankan secara online dan dibuat bertujuan untuk memanipulasi harga duit syiling Malaysia sahaja". Apa yang pasti, ramai yang terkejut dan tidak percaya dengan harga hilang akal yang dicapai oleh acara lelongan tersebut.

Setakat hari ini, tidak ada sebarang kenyataan rasmi daripada Collectibles Auction Asia (CAA), syarikat lelongan koleksi numismatik dari Singapura mengenai acara lelongan mereka. Namun, daripada khabar angin yang saya dengar, ianya dimenangi oleh seorang Collector dari Singapura. Untuk makluman kepada mereka yang tak tahu, perlawanan bidaan untuk koleksi tersebut berjalan di ruang bidaan CAA, Hotel Landmark Village, Singapura dan bukannya secara atas talian seperti yang digembar-gemburkan oleh sesetengah pihak.

Anda boleh melihat sendiri rekod bidaan daripada liveauctioneers yang telah saya rekod. Didalam kesemua bidaan, hanya ada satu sahaja bidaan daripada internet pada harga SGD5,000. Selain daripada itu, kesemuanya adalah floor bid. Khabar angin juga mengatakan, ada rakan kita dari Malaysia yang turut membida koleksi ini tapi tidak berjaya menandingi harga yang dibida oleh pembida lain.


Apabila saya menulis, Orang luar mula pandang numismatik Malaysia? Tidak kurang juga yang memperlekehkan tulisan tersebut kerana dikatakan sesuatu yang tidak mungkin dan mustahil untuk syiling Malaysia dibeli sebegitu mahal. Sebelum ini saya sudah memberitahu anda, sudah ada syiling Malaysia yang dinilaikan pada harga hampir sejuta ringgit, itu pun masih ramai yang tidak percaya. Terpulang kepada anda untuk membuat penilaian dan tindakan anda seterusnya. Saya hanya menyampaikan berita yang saya rasa bernilai kepada pembaca Malaysiancoin.com.

Adakah anda sudah bersedia dengan impak dari kenaikan harga 20 sen tahun ini?