Ahad, 28 September 2014

Orang luar mula pandang numismatik Malaysia?

Antara sedar atau tidak, semakin ramai orang luar yang sudah mula memandang apa yang berlaku didalam Numismatik Malaysia. Walaupun perkara ini telah lama berlaku, pengumpul duit lama terutamanya yang baru berjinak didalm hobi ini tidak menyedarinya. Orang luar yang saya maksudkan didalam artikel ini adalah mereka yang bukan di kalangan collector atau pengumpul duit lama.

numismatik Malaysia

Orang dari negara luar sudah lama mengumpul duit syiling rare Malaysia kerana beberapa sebab. Rakan-rakan forum saya daripada Amerika Syarikat dan Australia mengambarkan numismatik di Malaysia sebagai baru saja berkembang dan kurangnya 'big player' didalam pasaran Malaysia sendiri menjadikan ianya lebih mesra pengumpul baru. Selain daripada itu, nilai matawang mereka yang lebih tinggi berbanding dengan matawang kita memberikan mereka kelebihan terutamanya apabila perlu menyimpan sesuatu koleksi dalam tempoh yang lama.

Harga koleksi numismatik Malaysia yang adakalanya sangat murah berbanding jika kita membeli di Malaysia juga turut memainkan peranan kepada minat mereka kepada numismatik kita. Sumber maklumat penjual diluar negara hanyalah maklumat yang boleh diperolehi secara online ataupun daripada maklumat yang diberikan oleh rakan collector di Malaysia. Syiling-syiling yang mereka perolehi biasanya adalah didalam kondisi UNC-BU kerana ianya disimpan oleh pengumpul duit lama yang pernah melawat dan berkerja di Malaysia suatu waktu dahulu.

Bagi pengumpul baru, cerita mengenai 10 sen 1971 dipegang didalam jumlah yang banyak oleh Collector dari Singapura mungkin adalah perkara yang pelik. Namun, bagi pengumpul lama ianya adalah perkara yang biasa berlaku. Apabila sesuatu koleksi itu ingin dijual pada harga yang mahal, tidak ramai yang dapat memilikinya melainkan mereka mempunyai dana kewangan yang besar. Justeru, ini memberi kelebihan kepada collector dari seberang tambak yang ditawarkan dengan barangan sedemikian. Apabila collector-collector kita sudah mula mempunyai dana kewangan dan harga koleksi itu telah naik berlipat kali ganda seperti sekarang, barulah sedikit demi sedikit koleksi tersebut datang semula ke Malaysia.

Semalam berlangsung Acara Lelongan Wang Kertas Special Prefix Malaysia oleh MNP Auctioneers Sdn Bhd yang dikelolakan untuk Bank Negara Malaysia.

Rakan yang saya temui sebentar tadi berseloroh, "Bersedialah.., agen hartanah akan mula menguasai numismatik Malaysia."

Tanpa kawan itu sedari, selama ini memang ramai agen-agen hartanah yang telah lama berkecimpung didalam numismatik Malaysia. Namun, apa yang berlaku didalam acara lelongan yang dijalankan oleh MNP itu adalah sesuatu yang mengejutkan. Ianya menjadi pelik apabila kesemua lot lelongan terjual 100% oleh Syarikat lelongan yang juga asalnya daripada kumpulan agen hartanah tersebut. Ianya menjadi lebih pelik apabila kebanyakkan pembeli yang berjaya didalam acara lelongan tersebut tidak dikenali oleh para collector yang hadir.

Kawan tersebut dengan berseloroh sekali lagi berkata, "Kalau setakat bawak RM5000 dalam auction tu, jangan haraplah nak merasa menang auction".

Acara lelongan tersebut berjaya "menuai" hasil sebanyak RM1.3juta termasuk sekali dengan premium pembeli. Satu rekod buat acara lelongan Wang kertas Malaysia.

Jadi selepas ini, ke mana hala tuju Numismatik Malaysia?

Collector sebagai tukang tengok sahaja atau kita akan turut sama memeriahkan suasana numismatik kita?