Ahad, 17 Ogos 2014

Syiling Peruf 2 dalam 1 Shah Alam

Di dalam dunia numismatik Malaysia, ada banyak misteri yang tidak dapat diselesaikan kerana tidak ada penjelasan daripada pengeluar wang syiling negara, Kilang Wang Bank Negara. Salah satu daripada misteri yang sehingga sekarang masih lagi menjadi persoalan ialah Syiling Peruf 2 dalam 1 Shah Alam. Adakah wujud syiling pruf ini? Ada yang telah membelinya dan menyimpannya tetapi adakah ianya dikeluarkan secara rasmi oleh Bank Negara Malaysia.

Shah Alam
Kondisi syiling dalam gambar adalah Brilliant uncirculated

Mengikut kenyataan akhbar yang dikeluarkan pada 7 November 2000 oleh Bank Negara Malaysia, mereka secara rasminya hanya mengeluarkan syiling dwi-logam dengan nilai muka RM1 dalam bentuk coincard dan juga syiling perak dengan nilai muka RM10 didalam kotak velvet biru. Kedua-dua syiling itu hanya dibuat dalam kondisi Brilliant Uncirculated. Tidak ada dinyatakan mengenai sebarang pengeluaran syiling 2 dalam 1 atau juga syiling pruf. Syiling RM1 dwi-logam dikeluarkan dengan had kuantiti 10,000 keping dan syiling RM10 perak dikeluarkan dengan had kuantiti 1,000 keping.

Beberapa bulan ini, duit syiling peringatan coincard Shah Alam membanjiri pasaran di seluruh negara dengan jumlah yang agak banyak. Jika dulu, nak lihat sekeping syiling ini pun dah cukup sukar kerana tidak ada orang yang mahu menjual koleksi mereka. Beberapa bulan lepas ketika saya membuat tinjaun harga pasaran duit syiling Malaysia, saya dapati ada 4 orang penjual di Amcorp Mall yang menjual coincard Shah Alam. Di Facebook juga ada collector yang menjual dan berkongsi cerita bagaimana mereka dapat membeli coincard Shah Alam.

Betulkah duit syiling pruf 2 dalam 1 Shah Alam wujud? Adakah ianya dikeluarkan secara rasmi oleh Bank Negara Malaysia? Bagaimanakah rupa bentuk kotak syiling Pruf 2 dalam 1 Shah Alam? Ada yang mengatakan ianya datang didalam kotak kayu dan ada juga yang memberitahu ianya datang bersama-sama kotak velvet biru BNM sahaja. Adakah ianya turut datang bersama-sama dengan Sijil perakuan bernombor atau certificate of authenticity (COA)? Ada buku numismatik yang memasukkan syiling ini didalam buku mereka dan mendakwa yang ianya berharga RM4200.

Persoalan-soalan itu saya tidak boleh menjawabnya kerana tidak ada jawapan rasmi daripada BNM. Jika ada rakan-rakan yang ingin berkongsi cerita mengenai syiling ini, sila kongsikannya di ruangan komen atau di Facebook page Malaysia Coin.