Isnin, 25 Ogos 2014

Apa dah jadi dengan harga coincard?

Hari minggu yang baru lalu, saya bertemu dengan seorang rakan numismatik yang bertanya kepada saya Apa dah jadi dengan harga coincard? Jika dua tahun lepas, ramai yang sibuk membeli coincard kerana harganya yang semakin naik dan mahal. Dengan bermodalkan hanya lebih kurang RM10 sekeping coincard, ada yang boleh mendapat keuntungan sehingga RM500 sekeping.

harga coincard

Ketika ini, harga pasaran coincard Malaysia menjadi suam-suam kuku. Ditambah lagi dengan kebanjiran coincard-coincard lama didalam pasaran numismatik Malaysia, ada harga coincard yang jatuh. Terbaru adalah kebanjiran coincard Shah Alam yang dilaporkan dijual oleh seseorang di seluruh Malaysia. Dilaporkan oleh rakan-rakan, beliau menjual lebih daripada 200 keping coincard Shah Alam dan juga lebih dari 50 set 2 dalam 1. Ini jelas akan menurunkan harga coincard Shah Alam didalam masa terdekat ini. Jika anda ada membaca Senarai Harga Coincard Malaysia, harganya pada ketika ini saya letakkan pada harga RM400. Awal bulan Jun yang lalu saya baru sahaja meminta rakan-rakan saya melakukan tinjauan harga pasaran.

Harganya yang paling murah jika hendak dibandingkan dengan syiling-syiling peringatan jenis lain (perak, set 2 dalam 1, set 3 dalam 1 dan emas) yang dikeluarkan oleh BNM menjadikannya sasaran mudah untuk pelabur kecil-kecilan. Ini boleh dilihat dengan kebanjiran sesetengah coincard dipasaran, dijual oleh mereka yang baru menceburi jualbeli duit lama di Facebook atau di Mudah.my. Kebanjiran syiling-syiling ini membuatkan harganya agak sukar untuk meningkat naik didalam masa terdekat ini. Perlu menunggu sehingga "banjir" betul-betul surut, mungkin barulah boleh melihat harga yang lebih baik lagi.

Selain itu, jumlah 25 ribu keping yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia juga turut memainkan peranan sebagai penyebab kenapa harganya sukar untuk berganjak. Diluar negara, jumlah coincard yang dikeluarkan oleh mereka paling banyak pun 10 ribu keping untuk edaran seluruh dunia. Di Malaysia, jumlah sebenar collector yang ingin membeli coincard untuk koleksi tidak sampai 10,000 orang. Kebanyakannya adalah "pelabur coincard" yang berharap suatu hari nanti harga coincard itu akan naik melambung.

Rekabentuk coincard Malaysia sejak akhir-akhir ini juga kurang menarik berbanding coincard sebelumnya.

Seperti yang saya cakap sebelum ini, harga coincard yang tinggi adalah lebih kepada spekulasi harga dan kawalan pasaran yang dijalankan oleh mereka yang mempunyai modal besar. Bagaimana mereka melakukannya tidak perlulah saya kongsikan disini nanti lebih ramai yang mula mengikut jejak langkah mereka.

Sepertimana yang saya cakap sebelum ini juga, jika ada yang menjual pelaburan/simpanan coincard mereka sekaligus. Ianya secara tidak langsung akan menjejaskan harga coincard. Namun, harga akan naik seperti asal apabila ianya sudah mula berkurangan di pasaran.

Isu ini adalah isu lama yang akan berulang-ulang. Kepada mereka yang baru sahaja menceburi hobi ini, pasti sedikit sebanyak rasa takut dengan apa yang berlaku kan? Saya telah membicarakan mengenai isu ini pada bulan Disember 2012 lagi; Isu lambakan coincard dipasaran.

Saya masih menanti jika Bank Negara Malaysia ada berusaha untuk membuat coincard siri terbaru (12 coincard per set) yang sudah lama tidak dikeluarkan. Mana tahu mereka akan buat coincard personaliti sukan Malaysia yang masih hidup, bolehlah kita beramai-ramai berusaha mendapatkan tandatangan mereka pada coincard kita kan? Hahahaha.... Anda rasa mereka akan buat ke?