Monday, January 27, 2014

Golongan bijak pandai Numismatik di Facebook

Bulan lepas, saya ada menulis mengenai isu harga duit parlimen pada gred yang tinggi naik mendadak didalam artikel; Harga Duit Parlimen naik tinggi sebab.....

Ada rakan-rakan yang bertanya saya melalui Facebook dan juga yang berjumpa dengan saya bertanya kenapa saya secara tiba-tiba menulis sesuatu yang agak racist begitu?

Jawapan, saya kepada kebanyakan daripada mereka ialah, adakah isu itu benar-benar berlaku atau tidak?

Untuk makluman juga, isu itu bukanlah berlaku kepada saya. Saya cuba menyampaikannya sebaik mungkin supaya lebih ramai daripada kita yang sedar bahawa kita adakalanya terlalu cepat menghukum hanya berdasarkan apa yang kita baca di Facebook daripada orang-orang yang mengelar diri mereka "Otai", "Orang Lama" serta "Bijak Pandai" didalam bidang numismatik.

Numismatik

Untuk makluman juga, sebelum anda berkata yang saya ni bercakap pandai saja seperti seorang pakar tapi bukannya pandai mana pun, saya telah beritahu sebelum ini yang saya bukannya seorang pakar numismatik. Boleh baca di ruangan "About Me" apa tujuan saya menulis blog.

"Golongan bijak pandai" di media sosial ini semakin ramai yang keluar di Facebook. Apa yang saya maksudkan sebagai "Golongan bijak pandai" adalah mereka-mereka yang tidak mempunyai ilmu numismatik tetapi mempengaruhi orang lain untuk kepentingan serta keuntungan mereka sendiri.

Ada di antara mereka ini yang menjual duit lama palsu tetapi mengiklannya sebagai tulen. Mereka cuba mengumpul pengikut dengan menyertai kumpulan-kumpulan numismatik di Facebook dimana tipu helah mereka masih belum lagi diketahui umum didalam kumpulan tersebut. Ini memudahkan mereka untuk mencapai status "bijak pandai" atau "otai" dikalangan rakan-rakan didalam kumpulan tersebut. Apabila mereka telah mencapai status "Bijak Pandai" didalam Facebook Group itu, maka mereka akan mula menjual duit palsu tersebut.

Namun, manusia-manusia begini tidak akan kekal lama. Pembelinya yang bijak biasanya akan cuba mendapatkan second opinion daripada orang lain. Apabila mereka yang betul-betul mahir didalam menilai ketulenan duit lama itu masuk ke dalam kumpulan tersebut dan menilai duit lama "bijak pandai" itu sebagai palsu, adakah anda dapat meneka siapakah yang akan menang?

Ada juga terdapat situasi dimana didalam sesuatu kumpulan numismatik itu, ada seorang dua yang suka bercakap lebih. Apa-apa isu pun dia lebih tau daripada orang lain. Pendapat dia sahaja yang betul dan dia mempunyai ramai penyokong yang membantu kata-katanya daripada belakang. Walaupun yang membantah itu adalah sememangnya seorang yang pakar didalam bidang tersebut (tin coins, Malaysia coins, Spanish dollar etc) tetapi ianya tidak diterima pakai oleh mereka-mereka yang ada didalam kumpulan tersebut sebab pakar sebenar itu hanya baru beberapa hari menyertai kumpulan Facebook tersebut berbanding dengan "Otai" mereka yang sudah bertahun didalam kumpulan.

Didalam numismatik, guru atau kebanyakan daripada kita mengelar mereka sebagai sifu adalah orang yang penting didalam mendidik kita kepada ilmu numismatik yang betul. Berapa lama seseorang itu berkecimpung atau menyimpan duit lama tidak bermakna beliau boleh kita anggap sebagai sifu. Usia seseorang itu juga tidak sesekali mencerminkan ilmunya didalam numismatik. Jika kita salah menilai dan mengangkat martabat seseorang menjadi sifu kita tanpa melihat ilmu numismatiknya. Akibatnya, kita mungkin akan belajar ilmu yang salah dan juga kemungkinan besar kita akan mengalami kerugian dari segi kewangan.

Sebelum kita percaya 100% kepada seseorang "otai" tersebut, sila selidik latar belakangnya terutama jika kita temui mereka didalam Facebook.

Banyakkan bertanya kepada rakan-rakan lain. Jika anda masih baru dan tidak tahu bagaimana untuk menyertai kumpulan-kumpulan didalam Facebook, anda boleh membaca artikel saya; Facebook Group yang wajib anda sertai.

Saya menulis artikel ini sebagai peringatan kepada anda yang masih baru didalam dunia numismatik supaya berhati-hati memilih cikgu numismatik anda.

PS: Kepada kumpulan pembaca yang membenci saya tetapi hari-hari dok sibuk baca blog saya tu, terima kasih. Tak suka tetapi apa saja artikel saya pun dia nak ulas dengan kawan-kawan dia. Orang macam ni, saya tak tahu nak letakkan didalam golongan mana. Hahahahaha....