Rabu, 11 Disember 2013

Bila membeli duit lama tanpa ilmu

Didalam Hobi numismatik, ilmu adalah sesuatu yang amat penting kepada pengumpul duit lama. Jika kita tidak mempunyai ilmu yang cukup, kita akan mudah tertipu dan ditipu. Apabila kita menjadi pengumpul duit lama tanpa ilmu, maka kita ada kemungkinan besar akan terbeli duit syiling palsu, terbeli duit syiling pada gred yang lebih rendah (Harga UNC tapi gred syiling sebenar hanya EF), syiling yang telah diperbaiki dan juga mungkin syiling yang tak wujud.

duit lama

Didalam perjalanan numismatik saya, saya juga banyak kali ditipu sebab saya tidak mempunyai ilmu yang cukup. Baru-baru ini, saya melihat semula duit syiling Straits Settlements yang saya telah simpan selama lebih daripada 10 tahun didalam peti besi. Saya kecewa apabila berpuluh keping duit syiling yang saya beli pada separuh harga daripada harga pasaran ketika itu adalah duit palsu. Namun, saya bersyukur sebab saya sudah mempunyai ilmu serba sedikit didalam numismatik. Kerugian saya mungkin beribu pada hari ini tetapi ilmu yang saya dapat boleh menyelamatkan saya daripada kerugian beribu ringgit pada masa depan.

Memang sakit hati apabila orang cakap duit kita itu palsu tetapi pernahkah kita terfikir untuk belajar daripada mereka, bagaimana mereka melihat duit itu sebagai palsu? Saya cuba memandang secara positif, sudah setahun lebih saya berhenti menjual duit lama saya sebab saya lebih banyak belajar, membaca dan juga melihat duit-duit lama saya.

Apabila Sifu Dickson Niew muncul dengan blognya Niewmismatic error coins, saya rasa gembira sebab bertambah tempat saya untuk mencari ilmu. Walaupun beliau lebih banyak menulis mengenai duit syiling error dan juga variety duit syiling Malaysia, saya kerapkali belajar mengenai duit syiling lama daripada beliau. Beliau tidak pernah lokek dengan ilmu yang beliau ada.

Kemunculan seorang Sifu memberi tunjuk ajar kepada warga numismatik Malaysia secara percuma online adalah satu rahmat. Sebab tidak ramai yang ingin mengajar kita bagaimana untuk melihat duit palsu. Kebanyakan "Sifu" lain hanya mengajar kita bagaimana untuk membeli duit lama mereka.

Ada ramai lagi Sifu-sifu hebat yang saya berharap suatu hari nanti sudi untuk keluar online dengan blog mereka. Kebanyakan dari mereka ini lebih suka low profile, ada yang mungkin tak ramai orang kenal pun.

Di Malaysia ni kita nak cari ilmu numismatik teramatlah susah, kalau nak beli barang, hampir semua barang-barang numismatik ada terjual kat Malaysia ni, tak seperti ilmu numismatik. Buku numismatik Malaysia pun tak banyak dan tak ramai yang nak buat buku sebab susah nak jual buku numismatik.

Apabila kita tidak mempunyai ilmu, maka muncullah cerita duit syiling 10 sen 1971 V2 itu palsu. Baru-baru ini cerita itu muncul semula, seorang pembaca bertanya kepada saya siapakah si Pondan suami isteri didalam cerita tersebut. Si Pondan tu tak suka blog saya tapi baca juga blog ni pun. Hahahaha.... Muka pompuan tapi perangai macam jantan....

Didalam tahun ini juga, muncul cerita seorang rakan numismatik yang memarahi seorang Master Sifu dari luar negara yang mengatakan duit syiling Ringgit patong miliknya adalah duit syiling palsu. Sifu tersebut sebenarnya adalah salah seorang pakar didunia ini yang mengkhususkan dirinya kepada duit syiling lama Mexico dan juga Sepanyol. Dia adalah setaraf dengan Master Sifu Steven Tan yang rasanya semua pengumpul duit lama di Malaysia kenal. Kerugian dipihak rakan numismatik dari Malaysia itu sebab tidak sabar apabila orang mengatakan duit syiling miliknya adalah palsu.

Didalam setahun ini, saya lebih banyak membaca daripada menulis sebab walaupun saya dah banyak kali menulis didalam blog ini, masih ada juga bertanyakan kepada saya benda yang sama hampir setiap hari. Semakin hari hati saya semakin kuat berkata-kata. Di Malaysia ni, mungkin tak ramai pengumpul duit lama yang hendak mencari ilmu, lebih ramai yang nak orang kata dia tu Otai, koleksi dia hebat dan lebih ramai yang cuma nak tahu jika harga koleksi dia akan naik melambung.

Saya lebih banyak membaca di blog luar negara dan juga forum luar negara yang saya ada kongsikan didalam artikel ini; Top 20 Coins websites. Didalam forum luar negara, ada banyak ilmu mengenai bagaimana untuk melihat duit lama palsu. Kebanyakan daripada artikel yang saya temui saya simpan dan kemudian mengkaji semula duit lama koleksi saya apabila saya ada masa. Saya tidak kongsi artikel-artikel tersebut didalam blog sebab saya tahu, ramai "Pakar Numismatik Malaysia" yang akan marah dengan saya sebab artikel itu akan menunjukkan kebanyakkan daripada koleksi yang kita ada adalah palsu. 

Saya masih belajar dan rasanya tidak akan berhenti belajar mengenai ilmu numismatik. Bila kita membeli duit lama tanpa ilmu, hasilnya kita akan kerugian wang ringgit. Duit palsu yang kita ada tu mungkin akan diwarisi oleh anak-anak kita yang kemudiannya akan cuba menjualnya dimasa hadapan. Bayangkanlah betapa sedihnya mereka, disaat mereka memerlukan wang, duit lama yang diwarisi mereka rupanya tidak berharga sebab ianya palsu.

Apa hal sekalipun, ilmu yang paling penting didalam numismatik adalah sabar. Jika anda kurang sifat sabar, anda akan rugi banyak didalam bidang numismatik.