Sabtu, 19 Januari 2013

Simpan duit lama atau simpan emas perak?

Ada pembaca yang bertanya dengan saya, mana satu yang lebih baik, simpan duit lama atau simpan emas perak? Rasanya isu ini saya sudah kupas suatu waktu dahulu di blog saya; coin collecting vs bullion gold.

Walaupun artikel itu telah ditulis pada tahun 2010, rasanya artikel itu masih berguna pada masa kini. Kepada anda yang tidak faham bahasa Inggeris, apa yang saya bincangkan didalam artikel tersebut ialah mana satu lagi berbaloi untuk di simpan, duit rm100 Tunku Abdul Rahman 1971 berbanding dengan Bullion Kijang Emas.

Namun, pada ketika ini, ada collector yang sudah mula menganggap Kijang Emas sebagai "collector items" berikutan kesukaran untuk mendapatkan Kijang Emas di Maybank. Walau bagaimana pun, harga belinya tidak dapat lari jauh daripada harga pasaran bullion kijang emas di website Maybank.

Sekarang ini seperti kijang emas, duit syiling emas RM100 Tunku Abdul Rahman juga sudah semakin sukar untuk ditemui terutamanya yang dijual lengkap dengan kotak BNM. Pelabur emas sudah mula berubah kepada pelaburan duit syiling juga kerana ada pengumpul duit syiling yang menjual duit emas itu kepada pembeli emas. Harga beli biasanya kurang 30% daripada pasaran emas. Harga jual mengikut harga pasaran pengumpul duit lama, siapa yang tak nak? Jual duit lama dah boleh dapat untung paling kurang 40%.

simpan emas

Jadi berbaloi ke simpan duit lama?
Pada saya, apa-apa pelaburan pun akan memberi pulangan yang menguntungkan jika kita ada ilmu yang cukup didalam sesuatu pelaburan tersebut. Namun perlu diingat, melabur duit syiling bermakna anda perlu belajar tentang cara-cara menjaga duit syiling yang betul. Dah beli duit syiling peringatan tak bolehlah main campak jer simpan kat dalam kabinet.

Untuk mendapat pulangan yang terbaik daripada pelaburan duit lama anda, ada beberapa perkara yang saya rasa perlu anda buat, sebahagian darinya telah saya kongsikan di post ini; 10 Panduan terbaik untuk pengumpul baru.

Selain itu, jika anda betul-betul ingin memaksimumkan pendapatan anda dari pelaburan duit lama, pastikan anda membeli duit syiling pada kondisi UNC dan ke atas sahaja. Pilih kualiti berbanding kuantiti. Ini kerana duit syiling UNC/BU biasanya tidak banyak dipasaran, jika ada pun pemiliknya adalah pengumpul duit lama yang mungkin sukar untuk menjualnya. Harga syiling UNC ke atas mungkin agak mahal tetapi berbaloi menyimpannya. Namun, anda perlu belajar terlebih dahulu bagaimana untuk mengred duit syiling serta memeriksa duit syiling palsu sebelum anda mula melabur didalam duit sebegini. Jika tidak, anda akan asyik ditipu dengan dijual duit pada kondisi EF sahaja. Nanti, nak beli dan jual duit bertukar pulak menjadi beli dan lebur duit. Penjagaan duit syiling yang betul juga perlu anda pelajari supaya duit lama itu tidak jatuh grednya.

Jika anda betul-betul tidak tahu bagaimana untuk mengred duit syiling tetapi masih lagi mahu melabur didalam hobi ini, saya syorkan anda pergi ke kedai Steven Tan, KN Boon atau Dickson Niew. Saya ada kongsikan maklumat mereka di post ini; Senarai kedai duit lama seluruh Malaysia.

Jika anda ingin mendapatt pulangan yang lebih lagi dan ada modal lebih, mungkin anda boleh mencuba menghantar duit syiling rare anda kepada syarikat pengred profesional di luar negara seperti PGCS dan NGC. Anda perlu menghantar duit syiling rare tersebut kepada mereka melalui ejen-ejen mereka yang telah dilantik (anda boleh melayari website mereka untuk melihat senarai ejen tersebut) tetapi ejen mereka yang terdekat hanya berada di Singapura. Anda juga mungkin perlu membayar kos insurans duit lama anda yang dihantar tersebut, manalah tau ianya hilang kan?

Apabila anda telah mendapat duit syiling yang telah dikapsulkan beserta dengan gred dari mereka, duit syiling anda akan naik harganya lebih kurang 30% bergantung kepada gred duit syiling anda serta kesukaran untuk mendapatkannya. Seperti mana anda, pengumpul duit lama juga ragu-ragu tentang gred duit syiling mereka. Dengan adanya pengesahan pihak ketiga seperti PGCS dan NGC, mereka akan lebih yakin dengan gred syiling tersebut.

Sepertimana melabur didalam emas dan perak juga, sebaik-baiknya adalah beli ketika harga murah dan jual ketika harga sedang mahal. Namun, duit lama tidak ada panduan khusus seperti harga pasaran emas dunia dan sebagainya. Anda perlu sentiasa peka dengan harga pasaran duit lama; turun padang, baca blog-blog dan bertanya dengan kawan-kawan pengumpul lain. Harga pasaran duit lama di Malaysia sekarang ini sudah seperti harga saham, adakalanya naik tinggi dan ada kemungkinan ianya jatuh menjunam. Sebagai contoh paling mudah, anda boleh pelajari melalui duit coin card dan juga wang kertas gantian.

Jika anda sudah lama mengumpul duit lama, anda mungkin tahu, suatu waktu dahulu duit syiling perak negara China hanya berharga didalam ratusan ringgit sahaja dan boleh ditemui dengan mudah didalam pasaran Malaysia. Pada ketika ini, adalah sukar untuk menemui duit syiling mereka dipasaran duit syiling Malaysia. Harganya juga sudah mencecah beribu-ribu ringgit sekeping. Suatu hari nanti Malaysia juga akan mengalami perkara yang sama. Cuma bila masa itu berlaku kita tidak boleh menjangkanya.

Anda perlu pandai berfikir bila masanya anda perlu menjadikan duit lama anda itu sebagai pelaburan jangka panjang. Kebanyakan pelabur muda ingin untung dengan segera tanpa berusaha keras. Beli duit syiling pada hari pelancaran (kadang-kadang syiling bukan dia punya, beli untuk mereka yang telah bayar advance pada dia), kemudian jualnya semula pada harga sekali ganda. Apabila tidak ada pembeli sudah mula mengeluh, "tak berbaloilah nak simpan duit lama". Tak boleh berfikir yang satu Malaysia ada benda yang serupa, nak beli harga mahal buat apa? Tunggulah lama sikit baru jual. Lainlah jika anda beli wang kertas gantian, jual apabila harganya sedang hangat dipasaran. Kalau tidak tak pasal-pasal karang tak balik modal. Nasihat saya kepada pengumpul muda, jika jual takde pembeli, simpan jer dulu jangan jual, sabar.

Anda juga perlu buat kajian, duit koleksi yang mana satu akan memberikan pulangan kepada anda suatu waktu nanti. Tidak semestinya duit syiling rare yang dicari oleh orang pada masa kini akan memberikan pulangan yang terbaik. Harga dah mahal, anda baru nak bermula simpan, jangan haraplah nak untung banyak.

Bagi saya, simpan duit lama lebih berbaloi berbanding dengan simpan emas dan perak. Jika anda ada panduan dan ilmu yang betul didalam mengumpul dan membuat pelaburan duit lama.

Apa pendapat anda?

PS: Tahu tak menjual barang yang bukan menjadi milik kita lagi tu ada mempunyai unsur-unsur riba? Kebanyakan penjual duit lama "Internet" yang beragama Islam sekarang ini sangat suka berbuat demikian. Allahu alam.....