Rabu, 2 Januari 2013

Ada parlimen simpan dulu jangan jual

"Ada parlimen simpan dulu jangan jual"

Kalau anda bukan pengumpul duit lama dan terbaca tajuk post ni, mesti terfikirkan pilihanraya PRU13 yang bila-bila masa sahaja akan menjelang. Aduuuuh.., blog saya ini bukan blog politik, jangan silap faham pulak.

Apa yang saya maksudkan "parlimen" di dalam ayat di atas adalah Duit Syiling Siri Pertama Malaysia yang mempunyai lambang bangunan Parlimen. Tidak ada kena mengena dengan PRU13 tau. Saya juga bukan bercakap tentang duit pilihanraya tetapi duit koleksi pengumpul duit lama. Saya juga bukan bercerita mengenai duit syiling 100 ringgit yang tertera gambarnya dibawah.

duit parlimen

Jika anda masih baru didalam hobi mengumpul duit lama ni, sila baca terlebih dahulu entri khas yang saya karang untuk anda; 10 Panduan terbaik untuk pengumpul baru. Nak baca post ini pun boleh tapi lebih baik baca dulu entri panduan untuk pengumpul newbie tersebut.

Kalau anda masuk ke blog saya ini hanya bertujuan untuk bertanyakan harga duit syiling yang anda ada, maaf disini bukan tempat bertanya. Tujuan saya menulis blog ini untuk mengajak anda berkongsi bersama-sama saya mengumpul duit lama bukan menjual duit lama. Jika anda tak puas hati dan nak marah-marah pasal saya tak nak jawab pertanyaan anda, itu hak anda. Tapi jangan lupa saya juga ada hak saya. Saya dah kongsikan di post ini; Nak tahu nilai & harga duit lama, kenapa saya tidak mahu menjawab soalan anda.

Pelik tetapi benar, ramai rakyat Malaysia yang tak tahu pasal hobi mengumpul duit lama. Hobi tahu tapi banyak sangat salah faham dikalangan rakyat Malaysia. Saya nak cerita dalam ni rasanya sampai tahun depan pun tak habis.

Bila nampak duit syiling yang dah beratus tahun, mulalah ingat akan dapat durian runtuh, boleh jadi kaya-raya, banyak sangat yang angan-angan mat jenin. "Old is not always gold" di dalam hobi mengumpul duit lama. Ada banyak faktor yang menyebabkan harga duit lama itu menjadi tinggi, anda boleh membacanya di post ini; Kenapa duit lama berharga tinggi.

Semalam saya ada berkongsi tentang Infografik Top 3 Duit Malaysia termahal, ada yang dah mula pasang angan-angan nak dapat duit ribu-ribu apabila terpandang infografik tersebut. Ada yang tak baca pun post yang ada didalam blog ini, terus nak cakap yang dia ada banyak duit Top 3 tu. Mungkin sebab malas nak membelek post yang ada didalam ni terlalu banyak sangat (ada 85 post sahaja pun). 

Setakat ada duit 50 sen parlimen 1967, 1968 dan 1969 berparit sekeping pun nak jual. Nak sangat pakai duit ke? Ingat duit syiling parlimen yang biasa tu harga beratus-ratus? Nak sangat pakai duit dan nak jual duit syiling tu boleh baca Panduan menjual duit lama disini; bagaimana untuk menjual duit syiling lama

Jual seribu sekeping rasanya collector yang berfikiran waras tidak akan beli duit anda tu. Setakat dapat harga RM3-RM10 sekeping tu, baik simpan untuk anak cucu. Simpanlah duit syiling 50 sen parlimen yang mempunyai gred yang cantik dan tidak dicuci, kalau ada lebih tu, nak jual pun tidak apa. Harga pasarannya ada saya paparkan di post ini; Harga duit syiling 50 sen.

Suatu hari nanti, anak cucu kita tidak akan dapat merasa memegang duit syiling Parlimen ini sebab anda telah menjualnya. Anda dan cucu mungkin hanya dapat melihatnya di blog atau buku dan mulalah keluar ayat, "Atuk dulu ada banyak duit ni tapi dah jual". Apa salahnya jika anda lengkapkan koleksi duit syiling Parlimen anda dan suatu hari nanti tunjukkan kepada cucu anda. Bukan mahal pun kos untuk melengkapkan duit syiling Parlimen (Jika anda tolak Duit Parlimen yang rare dan sukar dicari), anda masih boleh menemui kebanyakan duit syiling parlimen didalam edaran semasa.

Jadi, lain kali jika anda jumpa duit Parlimen, jangan jual. Simpanlah untuk anak cucu anda.