Ahad, 30 Disember 2012

10 Panduan terbaik untuk pengumpul baru

"Saya baru saja menyertai hobi ini, boleh berikan nasihat apa yang saya perlu lakukan?"

panduan

1. Beli buku rujukan
Jika anda pengumpul baru, perkara pertama yang anda perlu lakukan adalah mencari Buku rujukan duit lama Malaysia; anda boleh membaca mengenainya di sini; Buku rujukan duit Malaysia. Jangan beli buku dan simpan sahaja, baca dengan teliti dan cuba lihat koleksi yang anda ada. Belajar dari buku tersebut, duit lama yang mana satu anda akan jadikan koleksi selepas ini.

2. Belajar mengred duit lama
Di dalam buku Steven Tan dan juga KN Boon yang saya ada sebut didalam post di atas, ada diterangkan tentang pengredan duit lama (Good-G, Fine-F, Very Fine-VF, Extremely Fine-EF dan Uncirculated-UNC). Baca dan cuba untuk pelajari gred yang sepatutnya untuk duit syiling anda ada. Jika anda tidak faham, cuba buat bacaan lebih lanjut di internet atau bertanya dengan rakan-rakan kolektor yang lain. Jangan bertanya melalui internet, agak sukar untuk mempelajari bagaimana mengred duit syiling dengan hanya melihat gambar sahaja. Ini penting kerana anda perlu berjual beli dan setiap gred mempunyai harga yang jauh berbeza. Saya ingatkan sekali lagi, jangan cuci duit syiling anda. Kenapa? anda boleh membaca mengenainya disini; kenapa tidak boleh mencuci duit lama?

3. Belajar bagaimana untuk menjaga koleksi anda
Anda sudah beli duit lama mahal-mahal tetapi tidak tahu bagaimana untuk menjaganya. Duit lama terutamanya syiling pruf akan rosak jika anda tidak menyimpannya dengan betul. Coin holder perlu ditukar setiap 5 tahun sekali dan pastikan anda tidak menyimpan duit lama anda ditempat yang lembap. Anda juga perlu belajar bagaimana untuk menyimpannya di dalam album dengan coin holder. Kebanyakan coin album diperbuat daripada plastik, ramai newbie yang saya lihat meletakkan syiling mereka terus didalam coin album tanpa coin holder. Syiling yang tersentuh dengan plastik pada tempoh yang lama biasanya akan rosak. Ini kerana kebanyakan plastik diperbuat berasaskan bahan petroleum.

4. Cari kawan pengumpul duit lama
Kawan yang telah lama mengumpul duit lama mungkin lebih tahu daripada anda tentang pelbagai perkara mengenai hobi ini, belajar dari mereka. Cuma pastikan jangan terima 100% apa yang kawan anda ajar. Ada pengumpul duit lama yang lebih berusia dari anda tetapi anda berdua mungkin sama-sama baru mula mengumpul duit lama. Usia bukan pengukur ilmu seseorang didalam mengumpul duit lama. Jika anda rasa sukar untuk mencari kawan yang mempunyai hobi mengumpul duit lama, cuba untuk turut serta di dalam persatuan mengumpul duit lama. Pada ketika ini, Kelab Warisan Numismatik antara kelab yang agak aktif. Jika anda hanya berminat dengan acara lelongan, Malaysia Numismatic Society ada membuat acara lelongan setiap 4 tahun sekali.

5. Buat Budget bulanan untuk koleksi anda
Setiap bulan, tetapkan satu amaun "budget" untuk anda membeli koleksi duit lama anda. Jika anda menetapkan budget sebulan didalam RM300 tetapi duit lama idaman anda itu berharga RM500, simpan budget itu untuk bulan hadapan. Beli apabila budget anda telah cukup atau jika ada pendapatan yang terlebih pada bulan tersebut. Amalan membuat budget sebegini membantu anda untuk menguruskan kewangan. Setiap bulan bukan koleksi duit lama sahaja yang perlu dibeli kan?

6. Fokus didalam koleksi anda
Apabila anda telah melakukan kesemua perkara di atas, cuba untuk lebih fokus kepada koleksi duit lama yang anda kumpul. "Fokus" maksudnya kumpul mengikut siri tertentu. Jika anda pada ketika ini mengumpul duit syiling Malaysia, pastikan anda hanya membeli duit syiling Malaysia siri parlimen dan bunga raya sahaja. Jangan pula beralih kepada duit Straits Settlements, Malaya atau duit syiling lama Malaysia yang lain. Setiap bulan, pastikan anda menetapkan budget untuk membeli duit koleksi anda. Beli apa yang anda sasarkan sahaja sehingga koleksi anda menjadi lengkap. jangan terlampau terikut dengan kawan-kawan yang menyimpan pelbagai koleksi. Jika tidak, anda tidak akan dapat melengkapkan koleksi anda nanti.

7. Kualiti lebih utama dari kuantiti
Untuk mengumpul duit lama juga, anda perlu berfikir, adakah anda pentingkan kuantiti atau kualiti? Untuk jangkamasa panjang, saya syorkan anda lebih mencari kualiti. Harga syiling 10 sen 1971 UNC mungkin lebih dua kali ganda daripada harga VF. Namun, anda perlu ingat, UNC juga lebih sukar untuk dicari berbanding dengan VF. Justeru itu, harganya dimasa hadapan akan lebih tinggi. Namun, itu hanya cadangan sahaja, terpulang kepada budget yang anda ada.

8. Selepas beli, jangan lupa belek duit lama tersebut
Kadang-kadang semasa membeli, kita terlupa untuk membelek duit lama yang kita beli dengan teliti. Jangan terus simpan koleksi yang anda beli, belek dulu kerana adakalanya gred dan kondisi syiling tersebut tidak seperti yang dikatakan oleh penjual. Sekarang ini ada bermacam-macam syiling tiruan dikeluarkan terutamanya duit syiling lama perak. Jika anda dapati duit syiling yang anda beli itu palsu, jika anda ada masa, berjumpa semula dengan penjual tersebut dan mohon penjelasan. Ada juga duit syiling lama yang telah di perbaiki, sebagai contoh ada bekas disadur untuk dijadikan pin baju, rantai atau tali pinggang.

9. Harga terlalu murah lebih baik jangan beli
Haaaaah? Biar betul nasihat ni? Mungkin itu yang bermain di fikiran anda tetapi dari pengalaman saya, jika harga terlalu murah daripada harga pasaran, biasanya itu adalah duit syiling palsu, telah dicuci atau telah diperbaiki. Sekali lagi, ini berlaku terutamanya kepada duit syiling perak lama. Jika anda membeli dengan penjual duit lama biasa, anda tidak mungkin akan dapat harga murah. Saya dapat harga murah biasanya daripada acara lelongan, supplier atau orang perseorangan yang ingin menjual duit lama mereka kerana memerlukan wang segera. Kebanyakan penjual mulut manis, jadi berhati-hati daripada digula-gulakan oleh mereka.

10. Jangan berlumba tetapi mengumpul dengan sabar
Sabar itu separuh daripada iman. Mengumpul duit lama perlukan kesabaran yang tinggi. Beli koleksi duit lama anda sedikit demi sedikit mengikut kemampuan diri sendiri dan jangan terikut-ikut dengan apa yang orang lain ada, kecuali jika anda mempunyai kemampuan duit yang banyak. Untuk menjadikan anda lebih bersemangat, mungkin mula mengumpul koleksi yang agak murah terlebih dahulu seperti duit syiling Malaysia. 

Post lain yang anda mesti baca:
Bagaimana untuk menjual duit lama
Harga lengkap duit syiling Malaysia