Sabtu, 15 September 2012

Selamat Hari Malaysia

Selamat Hari Malaysia kepada semua rakan-rakan yang membaca blog ini. Esok, 16 September 2012, Malaysia akan menyambut Hari Penubuhan Malaysia yang ke-49. Mungkin bagi mereka yang memperjuangkannya, ini adalah Hari Merdeka Malaysia yang sebenar, bagi saya, kita ketepikan itu dulu. Saya sendiri telah menyuarakan perkara ini suatu waktu dulu, sebelum wujudnya Facebook dan twitter. Ada kebaikan dan keburukannya Merdeka itu disambut pada 31 Ogos setiap tahun tetapi biarlah itu difikirkan oleh mereka yang memimpin negara ini. 49 tahun suatu perjalanan yang agak panjang untuk negara yang suatu waktu dulu adalah berasaskan pertanian, berubah menjadi sebuah negara yang agak maju dari segi ekonominya.

Malaysia day

Tahun ini, sambutan Hari Malaysia ke-49 peringkat kebangsaan disambut di Bandar Bintulu yang pertama kali diberi mandat untuk menganjurkan antara acara terbesar di Malaysia ini. Majlis tersebut akan berlangsung di lapangan terbang lama Bintulu pada hari Ahad jam 8.30 malam dengan pertunjukan bunga api, persembahan khas janji ditepati dan lain-lain acara sampingan. Majlis akan turut dihadiri oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud. Kementerian Penerangan Komunikasi dan Multimedia telah memutuskan untuk menggunakan tema "Janji Ditepati Rakyat Sejahtera" sempena sambutan Hari Malaysia untuk tahun ini.

Pelik tetapi benar, sepertimana tahun-tahun sebelumnya.., agak sukar untuk mencari maklumat berkenaan dengan Sambutan hari Malaysia jika hendak dibandingkan dengan Sambutan Merdeka. Kebanyakkan portal dan website kerajaan tidak memberikan maklumat yang jelas berkenaan dengan sambutan Hari Malaysia, termasuklah dengan website jabatan penerangan. Kelihatan seolah-olah sambutan Hari Malaysia ini dipinggirkan, sedangkan ia sepatutnya menjadi sambutan terbesar untuk Malaysia. 16 September hari lahirnya Malaysia, negara kita.

Selamat Hari Malaysia 2012 untuk anda semua. Semoga rakyat negara ini yang berbilang kaum akan lebih bersatu-padu. Sesuatu yang saya rasakan sudah mula goyah. Tiada guna merdeka kita jika kita semua berpecah-belah hanya disebabkan politik.

Jika anda rasakan Malaysia merdeka pada 16 September 1963, retweet dan Like post ini. Supaya rakan-rakan semua lebih bersemangat untuk menyambut Hari Malaysia.