Isnin, 17 September 2012

Duit syiling 50 sen 1976

Pelik tetapi benar, walaupun telah berkali-kali  di ingatkan kepada semua, masih ramai lagi yang mencari duit syiling 50 sen tahun 1976. Ada yang mempersoalkan kepada saya kenapa mereka dapat melihat gambar 50 sen 1976 di dalam blog-blog mistik? Saya juga tahu, ada beberapa orang Datuk, Tan Sri atau orang yang kaya dan berada membeli duit syiling ini untuk melengkapkan koleksi mereka dengan harga yang agak mahal. Tanpa mereka sedari yang mereka telah ditipu dengan duit palsu. Bila tidak ada permintaan masakan wujud barang ini untuk dijual. Kebanyakan duit syiling yang tidak dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia seperti ini di ubah daripada duit syiling yang sedia ada atau dibuat baru. Jika dibuat baru, akan kelihatan bintik-bintik seperti lubang-lubang kecil jika dilihat secara dekat kepada syiling tersebut. Jika diubah daripada syiling yang sedia ada, akan kelihatan jelas di nombor yang terbabit seperti tidak sepatutnya berada di sana.

50 sen 1976

Bukan duit syiling 50 sen tahun 1976 sahaja yang tidak dikeluarkan oleh BNM. Ada lagi beberapa duit syiling 50 sen lain yang turut tidak dikeluarkan oleh BNM menjadi sasaran penipuan penjual barang-barang mistik ini (Anda boleh membacanya disini: Duit Malaysia tiada keluaran mengikut tahun). Mereka biasanya mengatakan yang duit itu datangnya dari kerajaan langit. Pelik tetapi benar, kebanyakan daripada mereka yang menjual barang-barang mistik dan khurafat sebegini adalah Melayu Islam dan yang tertipu juga adalah Melayu Islam. Mungkin inilah yang dikatakan orang, melayu tipu melayu.

Ini di antara duit syiling 50 sen yang tidak dikeluarkan oleh BNM:
  • 50 sen 1970 parlimen
  • 50 sen 1972 parlimen
  • 50 sen 1974 parlimen
  • 50 sen 1975 parlimen
  • 50 sen 1976 parlimen
  • 50 sen 2006 bunga raya (mengikut rekod, tiada sesiapa menemuinya lagi)

Ada juga yang mengatakan duit syiling 50 sen 1988 bunga raya tidak wujud. Betulkah begitu? Pelik tetapi benar, jika anda melawat sasana kijang di Kuala Lumpur, anda akan dapat melihat duit ini. Walau bagaimanapun, tiada sesiapa lagi yang menemui duit ini didalam edaran biasa. Duit syiling tersebut kemungkinan adalah satu-satunya duit syiling 50 sen 1988 bunga raya yang ada di negara ini. Anda boleh membacanya di blog saya; 50 sen bunga raya tahun 1988. Namun, untuk pemburu duit syiling 50 sen 1976, duit yang dijual di kebanyakan blog tersebut adalah palsu. Ada juga yang membuat gambar photoshop semata-mata untuk menipu orang. Gambar ada tapi barangnya tidak akan sampai kepada anda. Memang seronok bunyinya membeli duit syiling rare tetapi berhati-hati, jangan tertipu dengan duit palsu.