Sunday, August 26, 2012

Logo baru 55 tahun Merdeka?

Setelah ramai yang memprotes logo 55 tahun Merdeka-Janji ditepati sebelum ini. Dikatakan muncul logo baru 55 tahun merdeka yang boleh dilihat disekitar Kuala Lumpur pada ketika ini. Saya cuba mendapatkan pencerahan melalui laman web-laman web rasmi kerajaan berkenaan logo ini. Namun, kebanyakan web rasmi kerajaan yang sepatutnya memaparkan logo merdeka tidak ada memaparkan logo ini termasuklah web Kementerian Penerangan dan Portal Merdeka. Kebanyakan web kerajaan telah tidak lagi memaparkan logo buruk yang hangat dibincangkan sebelum orang ramai menyambut Aidilfitri baru-baru ini.

Jika dibaca melalui kenyataan akhbar, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim pada 29 Julai 2012, beliau menjelaskan tiada logo rasmi digunakan bagi sambutan Hari Kemerdekaan ke-55 tahun ini, melainkan logo 1Malaysia sepertimana sambutan pada tahun lepas.

"Bahan hiasan (artwork) yang dipaparkan oleh sesetengah pihak setakat ini hanyalah paparan selingan bukan logo rasmi,"
Sumber: Bernama.

Jika logo yang lama itu bukan logo rasmi merdeka, kenapakah ianya dipaparkan di Portal Merdeka dan juga di laman web Kementerian Penerangan sendiri sebelum ini? Rasanya Kementerian Penerangan tidak patut terlalu defensive dan tidak mahu mengakui kesalahan yang telah dilakukan. Rasanya rakyat Malaysia boleh menerima permohonan maaf berbanding kenyataan rasmi yang kedengarannya seperti "baling batu sembunyi tangan". Jika ini adalah logo rasmi merdeka, sewajarnya Kementerian yang berkaitan atau Perdana Menteri sendiri mengumumkannya kepada umum. Bukankah kerajaan mengalakkan orang ramai untuk memasang bendera menyambut kemerdekaan? Jika kerajaan sendiri tidak jelas dengan logo yang ingin digunakan, rasanya rakyat juga kurang jelas jika sambutan Merdeka kali ini perlu disambut dengan semangat cintakan negara.

55 tahun merdeka

Slogan "Janji Ditepati"
Mengikut kenyataan akhbar Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim pada 19 Julai 2012, beliau berkata bukan satu kesalahan untuk menggunakan slogan 'Janji Ditepati' sebagai tema sambutan Hari Kemerdekaan ke-55 kerana ia sememangnya mencerminkan komitmen kerajaan menunaikan janji-janjinya.

Beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dengan gagasan 1Malaysia umpamanya telah menunaikan janji-janjinya melalui proses transformasi seperti Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dan Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA).
Sumber: Bernama.

Saya tetap dengan pendirian, Tema Kemerdekaan sewajarnya perlu lari daripada perkataan yang bermotifkan politik kerana sambutan kemerdekaan itu adalah untuk rakyat dan bukannya kerajaan. Sambutan Kemerdekaan sepatutnya menyemarakkan semangat patriotik cintakan negara bukannya semangat cintakan kerajaan yang sedia ada. Apabila sambutan kemerdekaan telah lari daripada matlamat asalnya (menyemai semangat patriotik), ramai rakyat yang akan mula tidak turut serta menyambut hari merdeka. Apa-apa hal pun, itu hal politik, saya bukan ahli mana-mana pertubuhan politik. Saya cuma mengutarakan pendapat dan ketidakpuasan hati terhadap tema merdeka yang semakin hari semakin lari dari matlamatnya.

Syiling 55 tahun Merdeka
Saya mendengar khabar angin yang bertiup perlahan, syiling peringatan Hari Kemerdekaan ke-55 tahun tidak akan dikeluarkan kerana logo yang lama itu? Rasanya jika khabar angin ini betul, bertambah lagi syiling peringatan yang tidak jadi dikeluarkan selepas RMK10 dengan gambar PM Najib dulu. Ini hanya khabar angin sahaja tetapi jika angin tak bertiup, masakan pokok boleh bergoyang kan? Tapi di dunia serba maju ini, macam2 cara boleh digunakan untuk mengoyangkan pokok? Kita sebagai pengumpul duit lama, tunggu dan lihat sajalah, kumpul apa yang ada, simpan apa yang menarik pada pandangan mata.

UPDATE 28 Ogos 2012:
Saya melihat di TV semalam ada bermacam-macam logo yang digunakan, bergantung kepada iklan itu daripada siapa. Apabila saya membuat carian di internet, logo ini adalah sebenarnya hasil nukilan saudara Rizuani Yahya dan bukanlah logo rasmi merdeka. Iklan yang berkaitan Kementerian Penerangan hanya menggunakan logo 1 Malaysia dengan tulisan moto "Janji ditepati". Harap Maklum.